TINJAUAN ringkas yang saya buat terhadap kawan-kawan mendapati rata-ratanya tidak akan mengeluh jika terpaksa bersesak di atas lebuh raya untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri.
Bagi mereka, kesesakan kali ini adalah saat dinanti-nantikan kerana ia menghidupkan suasana ceria sambutan hari raya yang sebelum ini tertangguh akibat Covid-19.
Lagipun, sudah dua tahun terpaksa beraya dengan pelbagai sekatan dan pernah terkurung di rumah sendiri di pagi raya, nikmat pulang ke kampung adalah nikmat yang tiada tolok bandingnya.
Ditambah pula dengan pengumuman kerajaan memberikan hadiah tol percuma pada hari-hari tertentu, maka beban mengharungi kesesakan akan jadi ringan.
Namun, dalam kita ghairah dan berkobar-kobar untuk pulang ke kampung, pastikan segala persiapan dilakukan dengan teliti. Misalnya, keadaan kenderaan dan tayar perlulah berada dalam kondisi baik untuk melakukan perjalanan jauh dalam tempoh yang lama.
Pastikan dalam kenderaan ada makanan supaya jika tersekat di lebuh raya, anak-anak tidak kebuluran dan menangis kelaparan. Penting juga untuk sediakan ‘alat’ bagi membuang air kecil ketika kecemasan kerana kebiasaannya hentian rehat dan rawat (R&R) akan sesak dengan manusia.
Bagi saya, yang amat penting adalah melakukan pemeriksaan berkali-kali sebelum meninggalkan rumah kerana pengalaman sebelum ini amat memenatkan jiwa dan raga. Kejadian tiga tahun lalu itu berlaku ketika saya bersama keluarga hendak pulang ke kampung halaman di Kedah dari Shah Alam, Selangor.
Setelah bersusah-payah mengharungi kesesakan di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan tiba di Behrang, tiba-tiba otak saya ligat memikirkan sama ada suis seterika dah tutup ke belum? Suis penapis air masih ON atau sudah tutup?
KEBIMBANGAN BERASAS
Setelah ditanya kepada isteri dan anak-anak, mereka pun tidak dapat memberikan jawapan pasti, maka muncul macam-macam gambaran buruk seperti rumah terbakar dan sebagainya.
Dalam perjalanan memang hati tak senang memikirkan dua perkara itu dan bagi merungkai segala persoalan serta mengelak kejadian tidak diingini, saya berpatah balik ke rumah di Shah Alam untuk periksa dengan mata kepala sendiri.
Lagipun saya fikir masih berada di Behrang dan tidak terlalu jauh untuk berpatah balik. Jadi, adalah lebih baik membuat pemeriksaan semula daripada terpaksa beraya dengan hati tidak tenang.
Apabila sampai di rumah, rupa-rupanya kebimbangan saya itu tidak berasas kerana semuanya sudah ditutup, cuma saya jadi sangsi kerana tidak melakukan pemeriksaan jitu sebelum meninggalkan rumah.
Apabila saya menceritakan pengalaman itu kepada rakan-rakan yang lain, rupa-rupanya ada antara sahabat saya yang pernah hadapi situasi sama. Bahkan lebih dahsyat apabila tertinggal tudung raya isteri ketika hendak pulang ke kampung berhari raya.
Yang menjadikan keadaan bertambah parah, tudung yang ditinggalkan itu adalah tudung yang sukar dicari di pasaran menurut golongan wanita.
Kawan saya yang dikenali sebagai Azmi berkata, tudung itu bukan biasa-biasa kerana sepanjang mereka sekeluarga membeli kelengkapan raya, sudah banyak kedai dijelajahi tetapi tiada satu pun memenuhi kehendak isterinya.
Apabila sudah dapat tudung dengan warna diidamkan, boleh tertinggal pula menyebabkan Azmi ketika itu yang sudah berada di Ipoh terpaksa berpatah balik ke rumah mereka di Klang untuk mengambil semula tudung isterinya itu.
Tegas Azmi, memang perit sebenarnya apabila hendak pulang ke kampung di Pulau Pinang perlu berpatah balik dan terpaksa mengharungi kesesakan sekali lagi. Tapi apakan daya salah dirinya juga.
Katanya, walaupun bagi sesetengah orang ia isu remeh tetapi hikmah daripada kejadian itu mengajarnya lebih bersedia sebelum memulakan perjalanan dan sentiasa membuat checklist agar tragedi pilu tertinggal tudung raya tidak berulang lagi.
* Badruldin Zakaria ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca