SHAH ALAM - Kerajaan perlu membuat ketetapan berhubung kesediaan menerima pelarian seperti Rohingya sedangkan negara tidak meratifikasi dan menandatangani Konvensyen Berkaitan Status Pelarian 1951.
Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Saidatul Nadia Abd Aziz berkata, tindakan kerajaan yang membenarkan Rohingya untuk masuk ke negara ini tanpa meratifikasi konvensyen tersebut telah mengundang pelbagai masalah.
Menurutnya, Malaysia ketika ini seolah-olah seperti separuh baik dan separuh jahat apabila menerima pelarian masuk ke negara ini namun memberikan layanan yang kurang baik kepada mereka.
"Masalah berlaku apabila kita tak tandatangan konvensyen sekali gus kita tidak mempunyai mekanisme untuk menguruskan mereka.
"Sebelum ini, siapa yang membenarkan mereka masuk (ke negara ini) adalah atas dasar kemanusiaan. Tetapi, apabila kita benarkan mereka masuk, layanan kita pula tidak berperikemanusiaan.
"Kita ini seperti separuh baik dan separuh jahat. Maka, umpamanya ketika ini kita kena buat keputusan nak jadi baik atau jahat. Seperti Singapura mereka tutup terus pintu negara mereka kepada pelarian. Jadi, kerajaan perlu buat keputusan tegas," katanya dalam Wacana Sinar Harian bertajuk Rohingya: Ditatang atau Dibenci pada Jumaat.
Saidatul Nadia juga menjelaskan kerajaan ketika ini hanya mengklasifikasikan Rohingya tersebut sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).
Beliau berkata, ia menyebabkan Rohingya ini tidak mendapat apa-apa hak perlindungan sekali gus mengundang masalah kepada pelarian etnik itu.
"Kalau kita betul-betul nak masukkan mereka atas konsep kemanusiaan, jadi kita kena betul-betul jaga mereka.
"Tetapi, kalau kita tak sedia untuk melakukan sedemikian (bawa masuk pelarian), jadi tutup sahajalah (pintu sempadan negara). Jangan bagi masuk dalam negara kita. Jika kerajaan tidak bertindak tegas maka masalah ini akan terus berlaku," katanya.