SHAH ALAM - Kerajaan perlu melaksanakan pelan pemutihan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk pelarian etnik Rohingya bagi membendung lambakan golongan itu yang dilihat memberi ancaman terhadap keselamatan orang ramai.
Presiden Pertubuhan Ikatan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, kerajaan perlu mengutamakan keselamatan rakyat berbanding kepentingan warga asing bagi menjamin kemakmuran negara.
"Isu berperikemanusiaan, kita kena jaga hak asasi rakyat Malaysia terlebih dahulu kerana bimbang sampai satu tahap, mereka (PATI) dapat makan isi ayam, kita makan tulang.
"Jika kita terus biarkan PATI dan etnik itu dalam negara, saya rasa Malaysia akan berdepan dengan satu masalah besar kerana mereka bukannya faham adat resam orang Melayu dan bangsa lain.
"Pada satu peringkat, mereka akan bertindak liar apabila kita terlalu bagi muka dan ruang, mereka akan lebih berani untuk bertindak seperti kes yang berlaku baru-baru ini, seorang warga Bangladesh ugut anggota polis yang sedang jalankan tugas," katanya pada program Wacana Sinar Harian siri ke-342 bertajuk Rohingya: Ditatang atau dibenci yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
Turut diundang sebagai panelis Setiausaha Agung Malaysia Relief Agency (MRA), Dr Shahrizal Azwan Samsudin dan pakar undang-undang antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Saidatul Nadia Abd Aziz manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Mengulas lanjut Mohd Ridzuan mendakwa, segelintir PATI dan etnik Rohingya yang menetap di negara ini menggunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) palsu bagi mengaburi pihak berkuasa.
Katanya, sindiket pemalsuan kad tersebut juga sudah lama bertapak di negara ini dan di paras membimbangkan.
"Yang memiliki kad UNHCR lebih 100,000 orang dan mereka gunakan kad tersebut apabila ditahan oleh pihak berkuasa, ini yang berlaku.
"Kita kena ambil kira masa depan negara, apa akan berlaku sekiranya sampai satu masa mereka diberi kad pengenalan dan lahirkan anak di sini. Sudah tentu kita tidak mahu semua ini berlaku," katanya.