HIDUPAN liar merupakan antara khazanah negara yang perlu dipelihara bagi memastikan kelangsungan habitatnya. Malaysia beruntung kerana sebagai sebuah negara beriklim tropika mempunyai kepelbagaian flora dan fauna yang merupakan anugerah... Klik di sini untuk terus membaca

HIDUPAN liar merupakan antara khazanah negara yang perlu dipelihara bagi memastikan kelangsungan habitatnya.

Malaysia beruntung kerana sebagai sebuah negara beriklim tropika mempunyai kepelbagaian flora dan fauna yang merupakan anugerah tiada nilainya.

Namun di sebalik anugerah dikurniakan ini, masih terdapat para pemburu dan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab bersikap tamak dan rakus mengakibatkan hidupan liar yang dilindungi kian menyusut jumlahnya.

Bagi menangani jenayah ke atas hidupan liar, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menubuhkan unit khas anjing pengesan dikenali Unit K9 Perhilitan. Walaupun kewujudan unit itu kurang dikenali dalam kalangan masyarakat di negara ini tetapi banyak jasanya dalam membanteras kegiatan memburu hidupan liar.

SEJARAH KEWUJUDAN UNIT K9 PERHILITAN

Berkongsi kepada Sinar Harian, Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, Unit K9 Perhilitan telah ditubuhkan pada Jun 2019.

"Unit ini ditubuhkan dengan kerjasama sebuah NGO iaitu NGO Rimba.

"Ia ditubuhkan sebagai salah satu usaha penggemblengan tenaga bagi membendung jenayah ke atas hidupan liar,” katanya menerusi temu bual khas di Ibu Pejabat Jabatan Perhilitan Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini,” katanya.

Menurut beliau, penubuhan unit itu selaras dengan keperluan Perhilitan dalam memastikan kelancaran penugasan yang dilaksanakan.

"Sekali gus dengan adanya anjing pengesan, ia dapat menggunakan keistimewaan deria hidu haiwan ini dalam operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan.

"Tugasan unit ini adalah mengesan kedudukan hidupan liar, atau bahagian hidupan liar yang disembunyikan atau diseludup oleh penjenayah,” katanya.

Abdul Kadir

DUA EKOR ANJING JANTAN BANTU OPERASI

Abdul Kadir memberitahu, Perhilitan mempunyai dua ekor anjing jantan daripada baka Labrador yang disumbangkan oleh NGO Rimba.

"Dua ekor anjing pengesan hidupan liar ini bernama Ronan dan Atos,” katanya.

Menurutnya, Ronan berasal dari Afrika dan berumur lima tahun, manakala Atos berasal dari Hungary dan dilatih di Belanda sebelum ini.

"Ronan merupakan anjing pengesan yang cergas dan tenang. Ia akan melakukan tugasan mengesan sebaik mendapat arahan daripada pengendalinya. Apabila ia dapat mengesan bau hidupan liar atau bahagian hidupan liar yang disembunyikan, ia akan menunjukkan reaksi sifat pasif pada objek atau kawasan tersebut.

"Atos pula anjing cergas dan periang, la sangat aktif semasa melakukan tugas sehingga akan menarik pengendalinya, jika mengesan bau hidupan liar atau bahagian hidupan liar yang tersembunyi, ia akan menunjukkan reaksi sifat emosi pada objek atau kawasan tersebut,” kata beliau.

Menurutnya, Atos dan Ronan boleh dianggap wira bagi Unit K9 Perhilitan.

Tugasan K9 Perhilitan adalah mengesan kedudukan hidupan liar atau bahagian hidupan liar yang disembunyikan atau diseludup oleh penjenayah.

TUGAS TIDAK SEMUDAH DISANGKA

Abdul Kadir berkata, tugas mengendali anjing pengesan tidak semudah disangka kerana ia memerlukan kemahiran dan kesabaran yang tinggi.

"Mengendali dan melatih anjing pengesan tidak mudah, di mana seorang pengendali anjing pengesan perlu bersifat ceria, tegas dan bersabar dalam melatih dan bekerja dengan anjing pengesan.

"Ini bagi memastikan anjing pengesan patuh pada arahan dan juga memahami bahasa pengendalinya,” ujarnya.

Kewujudan anjing pengesan amat penting dalam memastikan setiap operasi atau penugasan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

"Sebanyak 57 operasi penguatkuasaan Jabatan telah menggunakan khidmat bantuan Unit K9 Perhilitan ini.

"Penggunaan anjing pengesan ini melibatkan penugasan di lapangan terbang, pelabuhan, pintu sempadan dan turut melibatkan pelbagai operasi yang dilaksanakan Jabatan Perhilitan,” katanya.

Jelasnya, kewujudan anjing pengesan turut menimbulkan ketakutan kepada penjenayah hidupan liar ini.

"Setakat ini tugasan yang mana kita sertakan dengan anjing pengesan menjadikan tugasan berkenaan berjalan dengan lancar.

"Sekali gus ia akan dapat mematahkan semangat dan menggerunkan orang awam yang hendak melakukan aktiviti-aktiviti jenayah hidupan liar di kawasan tersebut,” katanya.

Anjing pengesan menggunakan keistimewaan deria hidu dalam operasi penguatkuasaan yang dilakukan.

ANJING PENGESAN JADIKAN OPERASI LEBIH BERKESAN

Penggunaan anjing pengesan dalam melaksanakan tugasan melibatkan pelbagai operasi bukan satu perkara yang asing.

Abdul Kadir memberitahu, negara seperti Jerman, India, Kenya, Tanzania, Rusia, Thailand dan United Kingdom merupakan contoh negara yang mempunyai anjing pengesan.

"Penguatkuasaan menggunakan anjing pengesan membuktikan keberkesanan membanteras dan menghalang penyeludupan hidupan liar di negara tersebut.

"Anjing yang digunakan oleh Unit K9 Perhilitan adalah anjing baka bekerja dan telah dilatih untuk mengesan bahagian hidupan liar sebelum dibawa masuk ke Malaysia,” katanya.

JENAYAH DIDALANGI WARGA TEMPATAN

Warga tempatan yang seharusnya menjadi antara benteng memerangi jenayah hidupan liar ini bagaimanapun antara yang dikesan bergiat aktif dalam jenayah ini.

Abdul Kadir berkata, bagi tahun 2022, siasatan mendapati dalang kegiatan ini kebanyakannya melibatkan orang tempatan."Siasatan mendapati warga tempatan antara yang tertinggi terlibat dalam jenayah melibatkan hidupan liar.

"Ia meliputi kumpulan atau individu yang memburu hidupan liar, antaranya terdiri daripada kijang, ayam hutan dan landak bagi tujuan makan sendiri serta jualan kepada penduduk setempat,” jelas beliau.

Katanya, untuk statistik, sejumlah 1,833 kes melibatkan kesalahan berkaitan hidupan liar meliputi 1,562 kes teknikal dan 271 kes jenayah telah direkodkan.

"Seramai 307 orang pesalah telah ditahan untuk siasatan telah direkodkan sepanjang tahun 2020 sehingga Mac 2022.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 256 orang pesalah adalah terdiri daripada warga tempatan, manakala 51 orang pesalah adalah warga asing.

"Kesemua kes ini adalah melibatkan kesalahan jenayah berkaitan hidupan liar dengan jumlah nilai sitaan RM34.019 juta,” katanya.

Kewujudan Unit K9 Perhilitan kurang dikenali dalam kalangan masyarakat di negara ini biarpun banyak jasanya dalam membanteras kegiatan memburu hidupan liar.

JENAYAH BERI KESAN KEPADA EKOSISTEM ALAM

Jenayah hidupan liar merupakan kegiatan tidak bertanggungjawab dan mengakibatkan kepupusan kepada ekosistem haiwan berkenaan.

Abdul Kadir berkata, Rang Undang-Undang pindaan Akta Pemuliharaan Hidupan liar Akta 716 telah diluluskan pada 10 Februari 2022.

"Pindaan Akta ini meliputi 63 seksyen yang akan dipinda, tujuh seksyen dimansuhkan dan enam seksyen baharu.

"Pindaan ini juga melibatkan penyelarasan dengan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dan peningkatan penalti bagi kesalahan-kesalahan dengan denda maksimum sehingga RM1 juta dan penjara sehingga 15 tahun,” katanya.

Tambahnya, dengan pindaan akta baharu dan pelbagai kejayaan operasi yang dijalankan, akan memberikan satu impak dan mesej yang jelas kepada semua pihak.

"Sekali gus dengan pindaan ini menunjukkan kerajaan amat tegas dan serius dalam melindungi khazanah negara ini."Ia juga merupakan amaran kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti pemburuan haram hidupan liar, aktiviti pencerobohan dan pelbagai kesalahan berkaitan jenayah hidupan liar yang lain agar menghentikan aktiviti terbabit, atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang yang tegas,” katanya.

INFO

Antara kawasan di Semenanjung Malaysia yang menggunakan kepakaran anjing pengesan hidupan liar dalam operasi penguatkuasaan adalah seperti berikut:

i) Lapangan Terbang Antarabangsa seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Senai, Pulau Pinang dan Langkawi.

ii) Pelabuhan Utama Persekutuan seperti di Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas Pelabuhan Johor, Pelabuhan Kuantan, Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan LKIM Linggi.

iii) Pintu Sempadan Darat Malaysia-Thailand seperti di ICQS Padang Besar, ICQS Bukit Kayu Hitam, ICQS Durian Burung, ICQS Pengkalan Hulu, ICQS Rantau Panjang, ICQS Pengkalan Kubor dan ICQS Bukit Bunga.

iv) Operasi Bersepadu Khazanah seperti di kem-kem dan kongsi-kongsi balak dan juga kongsi-kongsi ladang.

- Info anjing pengesan Unit K9 Perhilitan

Ronan merupakan anjing jantan yang berumur lima tahun dan berasal serta dilatih di Afrika serta dibawa masuk ke Malaysia pada 2 Julai 2019.

Atos merupakan anjing jantan yang berumur lima tahun dan berasal daripada Hungary dan dilatih di Netherlands serta dibawa masuk ke Malaysia pada 4 Mei 2021.

- Info peruntukan undang-undang melibatkan jenayah hidupan liar

Kes-kes Jabatan Perhilitan disiasat di bawah Akta 716 Akta Pemuliharaan hidupan Liar tahun 2010.

Lain-lain kes yang melibat tangkapan bersama senjata api, warga asing, pencerobohan kawsan hutan simpan dan lain-lain kesalahan akan disiasat oleh agensi-agensi yang bertanggungjawab di bawah Akta Senjata Api 1960, Akta Perhutanan Negara 1984, Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan 2011 (Akta 613) dan akta-akta lain-lain mengikut jenis kesalahan.

Tugasan unit ini adalah mengesan kedudukan hidupan liar, atau bahagian hidupan liar yang disembunyikan atau diseludup oleh penjenayah.

Antara kawasan di Semenanjung Malaysia yang menggunakan kepakaran anjing pengesan hidupan liar dalam operasi penguatkuasaan adalah seperti berikut:

i) Lapangan Terbang Antarabangsa seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Senai, Pulau Pinang dan Langkawi.

ii) Pelabuhan Utama Persekutuan seperti di Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas Pelabuhan Johor, Pelabuhan Kuantan, Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan LKIM Linggi.

iii) Pintu Sempadan Darat Malaysia-Thailand seperti di ICQS Padang Besar, ICQS Bukit Kayu Hitam, ICQS Durian Burung, ICQS Pengkalan Hulu, ICQS Rantau Panjang, ICQS Pengkalan Kubor dan ICQS Bukit Bunga.

iv) Operasi Bersepadu Khazanah seperti di kem-kem dan kongsi-kongsi balak dan juga kongsi-kongsi ladang.

Info anjing pengesan Unit K9 PerhilitanRonan merupakan anjing jantan yang berumur lima tahun dan berasal serta dilatih di Afrika serta dibawa masuk ke Malaysia pada 2 Julai 2019. Atos merupakan anjing jantan yang berumur lima tahun dan berasal daripada Hungary dan dilatih di Netherlands serta dibawa masuk ke Malaysia pada 4 Mei 2021.

Info peruntukan undang-undang melibatkan jenayah hidupan liarKes-kes Jabatan Perhilitan disiasat di bawah Akta 716 Akta Pemuliharaan hidupan Liar tahun 2010.

Lain-lain kes yang melibat tangkapan bersama senjata api, warga asing, pencerobohan kawsan hutan simpan dan lain-lain kesalahan akan disiasat oleh agensi-agensi yang bertanggungjawab di bawah Akta Senjata Api 1960, Akta Perhutanan Negara 1984, Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan 2011 (Akta 613) dan akta-akta lain-lain mengikut jenis kesalahan.

Klik di sini untuk terus membaca