SEWAKTU artikel ini diterbitkan, saya dan ahli keluarga telah pun berada di Kelantan bagi meraikan hari lebaran beberapa hari sahaja lagi. Memandangkan cuti raya pada tahun ini bertembung dengan cuti Hari Buruh, ramai yang peroleh manfaat... Klik di sini untuk terus membaca

SEWAKTU artikel ini diterbitkan, saya dan ahli keluarga telah pun berada di Kelantan bagi meraikan hari lebaran beberapa hari sahaja lagi. Memandangkan cuti raya pada tahun ini bertembung dengan cuti Hari Buruh, ramai yang peroleh manfaat cuti panjang.

Bagi mereka yang tidak mengambil cuti sekalipun, boleh menikmati cuti secara automatik selama lima hari. Apatah lagi mereka yang telah memohon cuti, sudah tentu dapat menikmati cuti raya dengan lebih lama.

Sebetulnya, sambutan hari lebaran tahun ini amat meriah setelah dua tahun tidak dapat meraikannya dengan sempurna kerana pandemik Covid-19.

Kemeriahan sambutan raya kali ini bukan sahaja berlaku di negara kita, malah seluruh dunia. Malah Pak Jokowi, Presiden Indonesia telah mengumumkan sejak awal-awal lagi bahawa cuti bersama bagi sambutan Aidilfitri di Indonesia bermula pada 29 April sehingga 6 Mei 2022.

Sejajar dengan kemeriahan sambutan raya, secara langsung kenderaan di atas jalan raya pun turut meriah. Natijahnya, akan memberi impak besar kepada keletihan fizikal dan emosi. Situasi sebegitu boleh mendorong seseorang itu menjadi ‘koyak’ sekiranya gagal menguruskan akal dan hati dengan baik.

Pendek kata, menekan hon, membebel dan mencarut sudah menjadi kelaziman apabila bertembung dengan situasi berkenaan. Apa yang dikhuatiri, segala refleksi negatif boleh bertukar kepada tragedi yang menyayat hati jika berterusan ‘koyak’ sepanjang perjalanan.

Selain ‘koyak’ sepanjang perjalanan, masih ramai juga yang ‘koyak’ dalam hubungan silaturahim. Walaupun balik beraya, ada kalanya hubungan sesama adik beradik, saudara-mara dan rakan taulan yang keruh selama ini masih tetap tidak dijernihkan.

Tambahan pula dengan kematian kedua-dua orang tua, hubungan adik beradik semakin tawar kerana tiada tempat untuk berkumpul seperti sebelum ini.

Yang nyata, masing-masing ada ego dan alasan tersendiri. Jika hendak ke rumah abang, apa kata kakak pula? Jika ke rumah adik beradik yang lain, apa pula kata kakak dan abang?

Malah, ada ketikanya adik-adik lebih ‘hebat’ berbanding abang dan kakak sehingga menjarakkan diri daripada bersilaturahim bertahun-tahun lamanya. Beruntunglah mereka yang ambil serius soal hubungan silaturahim.

Sesungguhnya, hubungan silaturahim amat dititik beratkan dalam Islam. Tambahan pula hubungan adik beradik yang sama-sama berkongsi rahim ibunya.

Keutamaan hubungan silaturahim sejajar dengan firman ALLAH SWT: "Dan bertakwalah kepada ALLAH yang kamu selalu meminta dengan menyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat, kerana sesungguhnya ALLAH sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (Surah al-Nisa’, 4:1).

Selain itu, terdapat satu hadis ketika Nabi Muhammad SAW sampai ke kota Madinah, baginda bersabda: "Hai orang ramai. Sebarkanlah salam, berilah makan, sambungkan silaturahim dan solatlah di waktu malam ketika mana manusia sedang tidur, nescaya kamu dapat masuk syurga dengan sejahtera dan selamat.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Berbicara soal ‘koyak’, sepatutnya sifat koyak tersebut boleh dihindari oleh kita semua setelah melalui tarbiah sebulan pada bulan Ramadan.

Namun begitu, ia bergantung kepada didikan keimanan serta kesungguhan kita untuk mendapat hidayah daripada ALLAH SWT.

Bagi mereka yang tidak serius tingkatkan keimanan, sampai bila pun perangai lama tetap sebati dalam diri dan amat payah untuk diubah.

Pada hemat saya, kita perlu menjadi hamba ALLAH SWT yang kekal beriman agar tidak ‘koyak’.

Selagi ragu-ragu dengan pedoman di dalam al-Quran dan sunah, selagi itulah kita akan ‘koyak’ untuk selamanya.

Jangan berhenti bermuhasabah dan perbaiki diri. Selamat Hari Raya Aidilfitri.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Klik di sini untuk terus membaca