DEMOKRASI moden sering dicirikan secara khusus sebagai konsep yang membenarkan interaksi minoriti-majoriti di ruang lingkup koridor kuasa tanpa perlu dibatasi dengan mana-mana sekatan sosiopolitik. Namun begitu, jika konsep ini tidak... Klik di sini untuk terus membaca

DEMOKRASI moden sering dicirikan secara khusus sebagai konsep yang membenarkan interaksi minoriti-majoriti di ruang lingkup koridor kuasa tanpa perlu dibatasi dengan mana-mana sekatan sosiopolitik.

Namun begitu, jika konsep ini tidak diimbangi dengan baik, interaksi tersebut cenderung untuk terperangkap dalam ruang lingkup konflik. Sebab itulah walau apa jua sistem amalan bernegara, nilai-nilai politik harmoni dijadikan ukuran sejagat asas.

Penghujahan tersebut disandarkan menerusi hujah sarjana Sains Politik Islam, Al-Mawardi dalam karyanya, Al-Ahkam al-Sultaniyyah. Karya tersebut asasnya melihat pengukuhan peranan institusi berjaya sebagai teras politik bernegara yang harmoni.

Al-Mawardi melihat Sultan (baca: institusi beraja) sebagai satu entiti signifikan terutama sekali dalam konteks politik Islam di mana ia turut disifatkan sebagai suatu simbol kuasa yang memiliki kesahan disepakati.

Cuma pada zaman ini, skop dan peranan institusi beraja dalam kerangka politik kontemporari dilihat lebih mencabar. Akibat itu, cerapan provokasi mula menghiasi ruang rasionalisasi.

Maka timbul perbincangan yang menggugat dan memperkecilkan peranan institusi tersebut.

Demokrasi hari ini tidak hanya berdiri sebagai satu proses dipraktikkan semata-mata tanpa mendatangkan apa-apa implikasi nilai kepada amalan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan, tetapi keabsahannya disantuni dengan institusi beraja sebagai punca kuasanya.

Dalam konteks Malaysia pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), penyaluran demokrasi diuji dengan kadar agak kritikal. Tidak ketinggalan ancaman ketidakstabilan politik sering kali memaksa orang ramai untuk terbabit secara tidak langsung ke atas percaturan kepartian yang dahagakan kuasa, sekali gus menjadikan tuntutan sosial itu lebih terkehadapan.

Faktor luaran seperti pandemik Covid-19 menambahkan lagi masalah yang akhirnya meletakkan catur politik itu sepenuhnya di atas tangan penguasa yang bebas daripada mandat rakyat.

Apabila demokrasi menemui jalan buntu, peranan institusi beraja dilihat sekadar menghiasi enklaf politik kuasa yang diwujudkan sesetengah aktor. Ia dilihat jauh daripada semangat kewujudan institusi beraja yang sepatutnya membawa gagasan pembudayaan politik sihat, rukun dan sejahtera.

Karya dan penulisan Barat mungkin lunak dengan kebergantungan sepenuhnya sistem demokrasi ke atas bahu pilihan raya yang menjadi pemutus hakiki kepada semua persoalan politik, yang berpaut kepada pemikiran menghormati suara majoriti dan kebaikan bersama.

Namun, apabila kecurangan politik mula dilazimi demi untuk mengukuhkan hegemoni penguasaan, demokrasi kadang-kadang perlu membayar harga yang mahal untuk terus diamalkan. Dalam aspek inilah peranan institusi beraja menjadi sangat signifikan.

Yang pasti, saluran demokrasi tidak boleh mati selepas pilihan raya tamat. Sebab itu institusi beraja wajib berfungsi sebagai pengantara menghubungkan subjek (rakyat) secara terus kepada perwakilan yang diamanahkan.

Merujuk kembali Al-Ahkam al-Sultaniyyah, peranan dan orientasi institusi beraja itu sebenarnya tidak tertakluk kepada penelitian simbolik semata-mata tetapi perlu difahami dengan tafsiran lebih luas. Justeru, keterangkuman aspek perhubungan Raja dan rakyat wajib menjadi manifesto yang unggul, dijunjung dan diiktiraf. Kerana ketika pergolakan sosiopolitik dicatatkan, institusi ini menjadi benteng terakhir bagi demokrasi dipertahankan dan seterusnya diselamatkan.

Dalam mana-mana konflik jelas retorik kestabilan yang direncanakan aktor politik sebagai modal utama bagi menyaingi lawan masing-masing cenderung untuk melangkaui batas rasional dan perundangan.

Apabila kuasa menjadi matlamat utama dalam persaingan politik, peranan institusi beraja untuk memantau dan mengimbal persaingan tersebut adalah satu keperluan supaya hierarki kuasa itu tidak tergelincir serta tidak melangkaui sempadan.

Kunci kepada keharmonian sosial dan politik itu akan terbentuk sekiranya kesepakatan membezakan ideologi itu dicapai dengan mudah dan sepertimana hujah Al-Farabi bahawa politik membabitkan kesedaran ke atas kebaikan bersama dikecapi rakyat melalui keseimbangan interaksi perhubungan yang dikenali sebagai ‘bernegara’.

Tanpa institusi beraja, amalan demokrasi negara mungkin bergelut untuk mencari titik keseimbangannya. Justeru, peranan institusi beraja dalam kerangka ini saling melengkapi antara satu sama lain kerana ia menjadi penampan yang menyeimbangkan kesemua institusi politik dan pentadbiran negara.

* Mujibu Abd Muis ialah Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM) Universiti Teknologi Mara

Klik di sini untuk terus membaca