KUALA LUMPUR - Pendirian terkini pengurusan tertinggi syarikat Sapura Energy Bhd, yang menyatakan keyakinan terhadap pelan pemulihannya sendiri tanpa memerlukan penyelesaian bail out membuktikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Pendirian terkini pengurusan tertinggi syarikat Sapura Energy Bhd, yang menyatakan keyakinan terhadap pelan pemulihannya sendiri tanpa memerlukan penyelesaian bail out membuktikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekadar menangguk di air keruh.

Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, kenyataan pengurusan Sapura Energy berhubung kedudukan terkini syarikat itu juga jelas menunjukkan Najib sekadar mahu menjadi hero tanpa berniat untuk membela nasib ribuan pekerja dan vendor terkesan.

Susulan itu, beliau mempersoalkan niat sebenar Najib yang begitu komited memperjuangkan isu Sapura Energy, sama ada terdapat golongan tertentu berada di belakang beliau dan bakal meraih laba lumayan sekiranya kerajaan memutuskan untuk menjamin hutang syarikat berkenaan.

"Saya tidak pasti mengapa beliau (Najib) sangat komited bersuara mengenai krisis hutang Sapura Energy. Adakah terdapat golongan tertentu di belakang beliau dan mungkin meraih laba lumayan sekiranya kerajaan bersetuju menyuntik modal ke dalam syarikat itu?

"Setahu saya, pimpinan mengemudi Sapura Energy sekarang ini sedang menjalankan langkah pemulihan syarikat yang betul sebagaimana sepatutnya dilakukan oleh mana-mana pengurusan syarikat yang baik.

"Apabila mereka berkeyakinan mampu menyelamatkan Sapura Energy tanpa membazirkan wang rakyat dalam keadaan rizab simpanan fiskal semakin susut, sepatutnya pengurusan sebegini harus diberi peluang dengan kerajaan kena yakin terhadap keupayaan mereka,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Premium pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy Bhd, Datuk Mohd Anuar Taib yang berkeyakinan dengan pelan penyelesaiannya sendiri untuk memulihkan hutang syarikat itu tanpa mencari jalan mudah, termasuk bail out oleh mana-mana pihak.

Sapura Energy ketika ini sedang mengharungi tempoh getir susulan kemelut hutang ditanggung melebihi RM10 bilion ekoran ketidaktentuan industri minyak dan gas serta kesan peningkatan kos akibat pandemik Covid-19.

Melalui pelan penyelesaian yang dirangka untuk memulihkan syarikat itu yang dipanggil Pelan Reset, Mohd Anuar menegaskan pihaknya amat komited untuk melaksanakannya, termasuk menstruktur semula hutang secara menyeluruh tanpa mengambil jalan mudah, meskipun ia dijangka amat mencabar.

Dengan prestasi industri minyak dan gas global ketika ini dilihat semakin positif, Sapura Energy ingin merebut peluang untuk memulihkan keadaan syarikat menerusi langkah penstrukturan semula hutang dan penambahbaikan operasi syarikat sebagaimana digariskan menerusi Pelan Resetnya.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan mengalu-alukan kenyataan terkini pengurusan Sapura Energy itu dengan menjangkakan Najib bakal terperangkap dengan propagandanya sendiri apabila isu ini kembali dibangkitkan dalam debat khas bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 Mei hadapan.

Jelas beliau, daripada maklumat dalaman yang diterima, pelan pemulihan hutang Sapura Energy dianggap masuk akal kerana syarikat itu akan memfokuskan usaha membayar penuh kesemua jumlah hutang vendor-vendor kecil yang terdiri syarikat bumiputera kecil disebut-sebut Najib sebelum ini.

"Sekiranya ada sekalipun proses penstrukturan hutang, ia hanya melibatkan syarikat-syarikat besar yang mewakili sebahagian besar nilai jumlah hutang, berbanding ribuan vendor-vendor kecil yang jumlah keseluruhan hutang terkumpul mungkin tidak sampai 10 peratus daripada hutang keseluruhan Sapura Energy,” ujarnya.

Berikutan itu, Rafizi akan terus membentangkan beberapa perkara bagi mengukuhkan lagi hujah bahawa kerajaan dan ahli politik tidak perlu campur tangan dalam isu pengurusan syarikat korporat berdaya saing seperti Sapura Energy pada masa hadapan.

"Saya masih ada beberapa perkara penting untuk disebut mengenai krisis Sapura Energy.

"Namun saya tidak cukup masa untuk mengupas mengenainya sebelum ini, susulan masih sibuk berkempen pemilihan PKR sejak dua minggu lalu,” tegasnya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca