SHAH ALAM - "Sakit macam nak putus nyawa.” Itu antara luahan Qaseh Amani, 33, yang menerima kesan daripada perkhidmatan drip pemutih kulit yang dilakukan oleh individu tidak bertauliah, dua tahun lalu.
Ceritanya, dia mengambil keputusan berbuat demikian berikutan mengalami masalah kulit yang teruk akibat memakai produk kosmetik yang mempunyai racun berjadual seperti merkuri.
"Saya mula ambil drip sebab kulit saya rosak. Saya pernah pakai produk yang ada bahan merkuri. Waktu itu saya dah putus asa sangat, tak tahu macam mana nak rawat kulit saya. Duit pun dah habis banyak.
"Jadi, saya ternampak satu iklan di media sosial yang beritahu drip pemutih kulit ini boleh mencerahkan kulit, hilangkan parut, mengecilkan pori dan sesuai kepada mereka ada masalah kulit sensitif,” kongsinya kepada Sinar Harian.
Dia yang berbelanja hampir RM5,000 untuk perkhidmatan tersebut berkata, untuk sesi pertama, dia mengambil suntikan drip sebanyak 10 kali, kemudian menukar servis yang lain kerana tidak memberikan kesan yang diingini.
"Selalunya mereka akan syorkan satu rawatan detoks dan perlu habiskan sekurang-kurangnya dua botol. Kesannya, saya alami muntah, sakit kepala dan sakit pinggang. Akibat tidak tahan sakit selama dua jam, saya alami pitam secara tiba-tiba,” ceritanya lagi.
Sebelum ini, seorang pengguna TikTok yang dikenali sebagai @ladyvin_official turut berkongsi kesan dialaminya selepas mengambil drip pemutih kulit untuk kelihatan lebih putih.
Segalanya bermula apabila dia diajak rakan untuk melakukan prosedur kecantikan itu sehingga lah dia disahkan menghidap penyakit kanser payudara.
@ladyvin_official turut menjelaskan, dia melalui kemoterapi pada tahun 2019 dan menjalani pembedahan masektomi selain perlu mengikuti sesi fisioterapi untuk berjalan kembali.
Klik di sini untuk terus membaca