KUALA LUMPUR - Rawatan perubatan estetik di pusat kecantikan oleh juruterapi kecantikan dan bukan oleh doktor berkelayakan amat membimbangkan, kata Pakar Perubatan Estetik, Dr Nazelia Thibroni kepada Bernama.
"Apatah lagi sepanjang Ramadan ini pelbagai promosi ditawarkan pada harga tidak masuk akal dengan majoriti pusat tersebut menawarkan rawatan yang sepatutnya dilakukan oleh doktor berkelayakan sahaja.
"Sebenarnya, masyarakat sedar akan risiko melakukan rawatan wajah di pusat kecantikan tidak bertauliah, tetapi disebabkan ramai yang ingin tampil cantik ketika raya membuatkan ada yang tidak berfikir panjang tentang risiko,” ujarnya baru-baru ini.
Beliau yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang itu dan mempunyai tiga buah klinik yang dilesenkan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998, tidak menafikan rawatan plasma kaya platelet atau PRP bagi merawat jeragat merupakan antara rawatan yang dicari-cari ketika Ramadan ini.
Beliau mengakui, PRP adalah antara kaedah yang digunakan untuk menangani masalah jeragat, namun katanya tidak semua pesakit sesuai menjalani rawatan itu.Jelas beliau, antara yang tidak dibenarkan menerima rawatan PRP ialah pesakit kanser yang sedang menjalani kemoterapi, individu yang mempunyai masalah alergi serta penghidap anemia.
"Difahamkan ada pakej rawatan jeragat menggabungkan laser dan PRP yang ditawarkan oleh pusat kecantikan tidak bertauliah. Mereka sekadar scan muka tanpa menyelidik dahulu masalah kesihatan pelanggan.
"Ini sangat bahaya kerana berisiko mengundang komplikasi kemudian hari, khususnya mereka yang ada penyakit.
"Jangan ambil mudah kerana rawatan ini berisiko mengancam nyawa,” katanya yang turut menyuarakan kebimbangan tentang tindakan sesetengah pihak menawarkan rawatan tersebut untuk dilakukan di rumah.
Dr Nazelia yang mengharapkan pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih agresif, berkata, komplikasi akibat menerima rawatan daripada mereka yang tidak bertauliah bukan isu baharu dengan ada pesakit yang mengalami kecacatan kekal selain turut berdepan maut.
Beliau memberi contoh insiden seorang pendandan rambut menyaman dua doktor di sebuah klinik estetik dengan menuntut ganti rugi RM2.7 juta baru-baru ini kerana didakwa mengakibatkan kecacatan pada hidungnya selepas menjalani prosedur di klinik tersebut.
"Ini antara kes mendapatkan rawatan daripada pakar tidak bertauliah. Malah, klinik saya juga didatangi ramai pesakit yang ingin mendapatkan rawatan selepas raya untuk membetulkan kembali wajah yang rosak akibat menggunakan khidmat pusat kecantikan tidak bertauliah semasa Ramadan,” katanya.
Beliau turut mendedahkan, sepanjang Ramadan kali ini kliniknya menerima banyak pesakit yang berdepan komplikasi akibat rawatan benang (threadlifting) bagi menegangkan kulit wajah, leher dan meremajakan kulit yang dilakukan oleh pihak tidak bertauliah.
Antara komplikasi yang dialami ialah bernanah, bengkak, bahagian di mana hujung benang ditanam menjadi keras selain ada kes hidung pesakit yang tidak lagi kelihatan seperti hidung normal, kongsinya. - Bernama
Klik di sini untuk terus membaca