SHAH ALAM - Klinik estetik bertauliah dan berlesen tidak akan melayan kerenah atau permintaan pelanggan yang menawarkan bayaran mahal tanpa mempedulikan risiko kepada nyawa sendiri semata-mata mahu segera kelihatan cantik.
Pengamal Perubatan Estetik, Dr Rasool Shaik Mohamed mengakui ada menerima pelanggan sedemikian, namun terpaksa menolaknya berikutan perlu mematuhi etika dan juga garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia Malaysia (KKM).
Jelas beliau, mana-mana rawatan termasuklah kecantikan perlu mempunyai perancangan terlebih dahulu, tidak boleh dibuat sesuka hati.
"Memang ada pelanggan yang mahu cantik segera. Minta drip pemutih kulit pun ada, tapi kita tak buat sebab tak ada kelulusan KKM. Jadi, untuk saya sendiri memang tidak akan layan kalau tak ikut garis panduan KKM.
"Tambahan pula kita yang ada lesen estetik ini, apa-apa rawatan perlu ada garis panduan dan perancangan. Bukan dengan satu sesi terus nampak cantik."Nak buat lesung pipit pun sama. Bukan semua doktor boleh buat. Hanya doktor pembedahan plastik yang dibenarkan,” katanya kepada Sinar Harian.
Turut senada ialah Pengamal Perubatan Estetik dan Kulit, Dr Nurul Aina Aszeme.
Beliau memberitahu ada pelanggan yang mendesak, malah sanggup membayar kos yang tinggi untuk kelihatan cantik sesegera yang boleh.
"Kita memang akan bantu tetapi perlu ikut garis panduan, tak boleh langgar etika sebagai doktor estetik.
"Ada setengah pesakit dia nak cepat, sanggup bayar lebih pun tak apa. Tapi sebagai doktor, saya tak nak ambil risiko dan saya memang akan tolak. Kita akan jelaskan kenapa, berdasarkan fakta dan sains,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Nurul Aina berkata, kebanyakan individu yang terdesak untuk cantik segera adalah mereka yang mengalami masalah psikologi seperti gangguan dismorfik badan, kebimbangan melampau dan tekanan.
"Sebagai contoh, kalau nak dekat raya, mesti mereka akan rasa berdebar dan tak boleh nak tidur sebab risau muka tak cantik, berat badan tak turun-turun.
"Ada kalanya berlebihan menganggap penampilan diri banyak kekurangan sedangkan tidak dianggap begitu oleh orang lain,” jelasnya.
Beliau menambah, jika berkeperluan doktor estetik, perlu merujuk kes pesakit ke pakar psikiatri untuk rawatan lanjut.
"Mereka tak boleh nak jadikan rawatan ini sekali sesi sahaja. Keputusan paling awal pun ambil masa sebulan. Kalau nak putih kita perlukan sekurang-kurangnya sebulan untuk kurangkan melanin.
"Kalau nak kurus pula, kita perlu cairkan lemak menggunakan mesin. Lemak yang telah cair perlu disingkir daripada badan terlebih dahulu. Kemudian, memerlukan beberapa sesi rawatan untuk mendapatkan kesan yang positif,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca