JAKARTA - Jutaan warga kota di Indonesia ‘mudik’ ke kampung halaman bermula Khamis untuk menyambut ketibaan 1 Syawal setelah tradisi itu terpaksa dihentikan selama dua tahun kerana pandemik Covid-19. Kementerian Pengangkutan... Klik di sini untuk terus membaca

JAKARTA - Jutaan warga kota di Indonesia ‘mudik’ ke kampung halaman bermula Khamis untuk menyambut ketibaan 1 Syawal setelah tradisi itu terpaksa dihentikan selama dua tahun kerana pandemik Covid-19.

Kementerian Pengangkutan menjangkakan kira-kira 85 juta penduduk akan melakukan perjalanan pulang sempena sambutan Aidilfitri berikutan pemerintah telah melonggarkan sekatan Covid-19 di bawah era normal baharu.

Ia termasuk kira-kira 14 juta yang dijangka mula meninggalkan kota metropolitan Jakarta, beberapa hari sebelum Ramadan berakhir yang turut mencetuskan kesesakan lalu lintas luar biasa.

Ribuan kenderaan mula membanjiri laluan keluar dari Jakarta di Karawang Timur.

"Saya sangat gembira kerana akhirnya dapat bertemu semula keluarga di kampung pada tahun ini,” kata Ika Siti Mariamah yang sanggup melalui perjalanan sejauh 260 kilometer dengan menaiki bas dari Jakarta ke Jawa Barat bersama suami dan anak mereka.

Ketika ini, laluan ke pelabuhan utama yang menghubungkan Pulau Jawa dan Sumatera juga telah sesak teruk.

Laluan satu arah terpaksa dibuka bagi mengatasi kesesakan sepanjang 10 kilometer di Tol Jakarta-Cikampek (Japek) berikutan peningkatan kenderaan sebanyak 110 peratus.

"Ini adalah pertama kali saya dapat kembali ke kampung halaman sejak pandemik Covid-19 bermula,” ujar seorang lagi ‘pemudik’ dikenali sebagai Husni Rifandi.

Keghairahan untuk ‘mudik’ turut menghidupkan semula industri pengangkutan yang terjejas sejak tahun 2020.

Pengusaha syarikat bas di Jakarta menyambut baik keputusan pemerintah yang membenarkan tradisi ‘mudik’ yang dikatakan dapat memulihkan semula sektor tersebut yang semakin tenat.

Pada tahun ini, pemerintah mengambil peluang menggunakan ‘mudik’ bagi menggalakkan rakyat mengambil suntikan penggalak Covid-19 sebagai syarat untuk pulang ke kampung yang membolehkan golongan tersebut melakukan perjalanan tanpa perlu menjalani ujian saringan.

Sebahagian warga kota yang selamat tiba di pelabuhan di Surabaya.

Bagaimanapun, penerima dua dos yang masih belum mendapatkan suntikan penggalak perlu menunjukkan keputusan negatif ujian pantas antigen, manakala individu yang hanya menerima satu dos atau belum divaksin perlu menjalani ujian PCR dalam tempoh tidak lebih 72 jam sebelum melakukan perjalanan.

Data terbaharu menunjukkan kira-kira 80 peratus daripada 208 juta populasi sasaran di negara itu telah menerima dua dos suntikan, manakala 36 juta sudah mendapatkan dos penggalak.

Pada minggu lalu, pemerintah menzahirkan keyakinan tradisi ‘mudik’ tidak akan mencetuskan gelombang baharu jangkitan Covid-19 walaupun mereka menjangkakan mungkin terdapat sedikit peningkatan selepas cuti musim perayaan berakhir.

"Kita akan selamat selagi tiada kemunculan varian baharu yang lebih berbahaya,” jelas jurucakap Pasukan Petugas Covid-19 Nasional, Wiku Adisasmito.

Peniaga cincau di tepi jalan Kabupaten Cianjur mampu meraih ratusan ribu rupiah sehari selepas minuman tersebut menjadi pilihan kebanyakan pengguna lalu lintas dari Jakarta dan Bandung yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sempena tradisi 'mudik'.

Sejak dua tahun lalu, gelombang baharu jangkitan di Indonesia berlaku selepas peningkatan mobiliti awam ketika cuti musim perayaan.

Gelombang pertama melanda beberapa minggu selepas sambutan Hari Natal dan cuti Tahun Baharu 2020 ketika kira-kira 10 juta penduduk melakukan perjalanan ke seluruh negara.

Ia menyaksikan kes jangkitan meningkat kepada 122 peratus dan kes harian mencecah 14,500 kes pada Januari 2021 akibat penularan varian Alpha.

Klik di sini untuk terus membaca