RAMAI berpandangan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seolah-olah diam membisu apabila sering kali berlakunya isu-isu sensitif sehingga menyebabkan sesetengah pihak memandang rendah undang-undang sedia ada.
Dalam wawancara bersama Sinar Ahad, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff bagaimanapun menafikan perkara itu dan tindakan sebenarnya dilakukan oleh mereka.
Menurutnya, kadangkala tindakan yang dilakukan itu memerlukan strategi tertentu yang perlu diatur dan tidak boleh diuar-uarkan.
Ikuti wawancara Sinar Ahad bersama Hakimah yang dikendalikan wartawan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid dan Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan bersama jurufoto, Rosli Talib di pejabatnya baru-baru ini.
SINAR AHAD: Tahniah diucapkan kepada Datuk kerana menjadi wanita pertama memegang jawatan Ketua Pengarah Jakim. Apa pandangan Datuk mengenai penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam?
HAKIMAH: Berkaitan dengan penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam, kita tahu sebelum ini pun di kementerian lain telah ramai penglibatan wanita.
Kalau di Jakim sendiri, terdapat penglibatan wanita sebagai pengarah-pengarah bahagian. Saya sendiri telah menjadi Timbalan Pengarah Dasar dan sebagainya.
Ini merupakan amalan biasa dalam perkhidmatan awam dan bukanlah sesuatu yang baharu. Ini juga merupakan satu pengiktirafan kepada wanita untuk bersama-sama di dalam pasukan perkhidmatan awam untuk membuat keputusan ataupun terlibat dalam penentuan dasar dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, suka untuk saya menyebut penglibatan wanita di peringkat tertinggi itu ada dalam perkhidmatan awam ini satu penghormatan, tetapi ia bukanlah untuk bersaing atau menafikan kebolehan lelaki, sebaliknya kehadiran wanita itu adalah bersama-sama berganding bahu dalam kepimpinan lelaki atau sedia ada untuk memberikan yang terbaik kepada masyarakat.
Kita tahu di dalam sebuah jabatan kerajaan, keputusan bukanlah menjadi milik mutlak satu kepimpinan atau ketua jabatan, di Malaysia ini khususnya Jakim, kita amat menyanjung konsep syura dan keputusan yang besar selalunya kita buat secara bermusyawarah.
Bagaimana kerjasama Datuk dengan pegawai-pegawai lain di dalam jabatan?
Alhamdulillah, kita bekerjasama erat baik di dalam mesyuarat atau jawatankuasa berkaitan mahupun dalam program yang dilaksanakan. Jadi masing-masing ada peranan.
Setiap pegawai ada tugas diberikan dan kita memang bekerja bersama. Ini menjadi gagasan baharu untuk Jakim bekerja di dalam pasukan yang kita namakan Jakim Sejiwa.
Dengan konsep ini, kita mengharapkan kerjasama erat dalam pasukan dengan penuh rasa tanggungjawab dan kasih sayang dalam warga Jakim sendiri dan dalam masa sama memastikan setiap program dan inisiatif yang ingin dilaksanakan lebih bersifat menyantuni isu, memahami keadaan isu yang berlaku dalam masyarakat.
Datuk telah berkhidmat hampir 30 tahun khususnya di Jakim. Apa misi dan visi baharu Datuk selaku peneraju jabatan ini?
Perkara pertama sekali sudah tentulah kita berada di dalam pengurusan tertinggi kita ada wawasan dan hasrat tertentu yang ingin kita sampaikan atau kita harapkan.
Pertama sekali sudah tentu tanggungjawab saya dalam memastikan misi dan visi jabatan ini untuk menjadi peneraju pengurusan hal ehwal Islam terunggul di negara ini dapat kita capai.
Hari ini apabila kita bercakap tentang pengurusan hal ehwal Islam ia tidak lagi melibatkan pengurusan hanya satu organisasi sahaja. Kita bercakap tentang kolaborasi antara agensi-agensi bukan sahaja agensi pengurusan hal ehwal Islam tetapi juga dalam pentadbiran kerajaan mahupun NGO.
Masing-masing ada peranan dan tanggungjawab tetapi kita mempunyai matlamat yang satu iaitu untuk memastikan kehidupan sejahtera di negara ini dan dari situ kolaborasi itu sangat penting. Itu menjadi gagasan baharu untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan.
Mungkin ada penekanan khusus Datuk dalam menerajui Jakim?
Tadi saya sebut Jakim Sejiwa. Kita mempunyai tanggungjawab dan amanah berat untuk memastikan kehidupan beragama Islam ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
Perkara pertama yang saya ingin tekan di permulaan pelantikan saya adalah memperuntukkan sumber modal insan dalam Jakim. Pertama adalah melibatkan peningkatan kecekapan pegawai.
Kedua adalah memastikan pegawai mempunyai sikap dan sifat yang benar-benar positif untuk pastikan pegawai dapat beri perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Ini memerlukan gerakan bersama antara kepimpinan dan para warga jabatan itu sendiri. Insya-ALLAH perkara ini kita sedang usahakan untuk bersama-sama membina kekuatan dalaman Jakim.
Logo halal sangat penting sebagai rujukan umat Islam ketika membeli sesuatu produk. Berapakah jumlah kes kesalahan menggunakan label logo halal palsu dalam tempoh lima tahun ini dan apa inisiatif terbaharu Jakim untuk menangani isu ini?
Saya melihat perkembangan halal bukan isu-isu atau kes penyalahgunaan. Saya ingin menarik perhatian kepada perkembangan positif halal.
Sebenarnya sebelum ini kita tahu kalau awal penglibatan, sektor halal ini menghadapi masalah ketidakseragaman. Contohnya, pensijilan yang berbagai, kita tiada satu kekuatan dari segi perundangan dan sebagainya.
Selepas beberapa tahun kita berusaha untuk menyatukan semua sistem pensijilan, hari ini kita boleh berbangga apabila mempunyai satu undang-undang yang kukuh di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan penyeragaman sistem pensijilan bersama negeri.
Kita juga ada satu standard yang digunakan, sistem pensijilan melalui aplikasi online dan juga ada satu sijil dan logo yang sama. Ini merupakan satu kejayaan besar perkembangan sijil halal.
Satu perkara lagi yang saya ingin jelaskan adalah berkaitan perkembangan industri halal itu sendiri. Kalau dahulu di awal pensijilan halal, kita memberi sijil halal kepada syarikat yang mematuhi standard atau garis panduan tetapi kebertanggungjawaban hanya terletak pada badan pensijilan semata-mata.
Tetapi hari ini apabila kita perkenalkan sistem halal dalaman di syarikat dengan mewujudkan sistem halal Industri itu sendiri. Alhamdulillah kita tidak menghadapi masalah dengan secara normal baharu pada ketika itu.
Kalau dulu kita membuat audit secara fizikal, semasa pandemik kita telah pun berjaya melaksanakan 'pengauditan remote'.
Jadi jika tidak ada sistem halal dalaman yang dibangunkan di pihak industri, perkara ini agak sukar untuk kita laksanakan tetapi dengan sistem tersebut kaedah pematuhan yang sangat berkesan, kita boleh laksana dengan jaya.
Sistem ini mewajibkan kehadiran eksekutif halal di dalam syarikat atau industri sejak 2014. Langkah tersebut dimulakan dengan dengan syarikat multinasional dan sekarang ini kita mewajibkan kepada SME.
Secara perlahan-lahan kita ingin memberi pemahaman dan pendidikan kepada industri kecil dan mikro. Apabila kita buat pensijilan, cabaran yang kita hadapi ialah penyertaan dalam kalangan syarikat kecil terutamanya bumiputera Islam masih lagi rendah.
Apa yang kita buat sekarang, kita bekerjasama dengan agensi pembimbing seperti FAMA, MARDI RISDA, Felcra dan Medec kita membantu industri dalam kefahaman pensijilan halal ini. Pematuhan terhadap standard sedia ada.
Jadi, daripada latihan dan program yang dilaksanakan, alhamdulillah kita lihat ada peningkatan dari segi bilangan pemegang sijil halal dari kalangan bumiputera itu sendiri.
Apa punca mereka yang tidak memohon pensijilan halal terutamanya Muslim?
Pertama sekali kita melihat mereka tidak faham tentang keperluan halal itu sendiri dan apabila tidak faham sesetengah itu membuat persepsi sendiri iaitu sukar, mahal dan sebagainya, tetapi apabila beri penjelasan dan pemahaman lebih mudah untuk mereka mematuhi sebenarnya.
Bayaran pensijilan halal adalah sangat rendah. Kalau industri mikro itu adalah RM200 setiap dua tahun. Jadi dari segi pemahaman juga adalah memerlukan kesedaran kepada industri itu sendiri.
Pematuhan keperluan halal itu sekiranya difahami dengan baik, ia bukanlah merupakan suatu yang sukar. Apatah lagi produk-produk yang dimohon pensijilan itu bukan dalam kategori kritikal ataupun sensitif. Iaitu tidak menggunakan bahan ramuan kritikal.
Itu sebenarnya lebih mudah. Yang penting mereka perlu faham standard dan keperluan pensijilan halal. Perlu bersedia untuk diberi bimbingan dan sebagainya.
Jika sebelum ini hanya 20 peratus industri yang mempunyai pensijilan halal bagi perusahaan kecil terutamanya bumiputera, namun pada tahun lalu, ia meningkat kepada 39.7 peratus.
Apa cabaran jabatan dalam proses pensijilan halal?
Kita banyak menghadapi ketidakseragaman dalam pelbagai perkara tetapi selepas beberapa tahun, hari ini kita bangga mempunyai Akta Perihal Dagangan 2011 dan penyeragaman dengan negeri.
Industri halal sendiri turut menunjukkan perkembangan positif. Di awal pensijilan, kita beri kepada syarikat yang mematuhi standard dan garis panduan tetapi kebertanggungjawaban itu terletak pada badan pensijilan halal.
Sejak tahun 2015, industri mewajibkan mempunyai kehadiran eksekutif halal di dalam syarikat. Langkah ini dimulakan dengan syarikat multinasional dan SME serta secara perlahan-lahan kita beri perusahaan kecil dan sederhana serta mikro.
Ia membuatkan hasil apabila pengurusan pensijilan halal lebih mudah dilakukan. Apabila pegawai Jakim melakukan audit dan pemantauan, kadar ketidakpatuhan menurun dengan banyak.
Di era pandemik tahun 2020, sekiranya kita tidak mempunyai sistem kukuh, ia memberi kesan tidak baik kepada industri halal. Kita perlu faham permohonan sijil halal ini bukannya mendapat kelulusan. Ada kes-kes yang tidak patuhi standard dan keperluan, kita terpaksa gagalkan.
Jakim merupakan agensi utama pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan. Apa cabaran besar Jakim pada zaman serba canggih ketika ini terutama reaksi orang ramai di media sosial?
Hari ini kita hidup dalam dunia digital yang serba pantas dan canggih. Kita merasakan maklumat-maklumat juga perlu sepantas teknologi.
Cabaran pada hari ini adalah bagaimana kita nak bersaing untuk memastikan maklumat-maklumat tentang perkara berkaitan dengan Islam dan pengurusan Islam dapat disampaikan kepada masyarakat sepantas mungkin. Itu yang pertama.
Yang kedua, kita melihat dengan adanya perkembangan teknologi baharu ini, maklumat-maklumat disampaikan melalui media itu ada pelbagai bentuk. Ada yang betul, ada yang fitnah dan ada yang perlu diperjelaskan lagi.
Dalam masyarakat, kita memang melihat respons yang pantas. Tetapi harus kita pastikan sebelum memberikan respons, perkara-perkara yang disebarkan dan ditularkan itu dibuat pencerahan terlebih dahulu.
Kita bimbang sekiranya perkara ini tidak kita tangani dengan bijak, satu hari nanti perkara-perkara yang melibatkan fitnah mengambil alih tanggungjawab pihak berautoriti. Jadi perkara-perkara yang belum jelas dan dibuat kepastian perlu pencerahan terlebih dahulu.
Saban hari ada sahaja isu sensitif membabitkan umat Islam yang ditularkan di media sosial antaranya kandungan video dan gambar tidak bermoral seperti baru-baru ini melibatkan usahawan terkenal yang berkongsi klip video raya seakan mempromosikan budaya LGBT. Adakah sudah tiba masanya diperuntukkan undang-undang syariah terhadap umat Islam yang sengaja memuat naik kandungan tidak bermoral di media sosial?
Undang-undang syariah sebenarnya telah ada. Akta Kesalahan Jenayah Syariah di Wilayah Persekutuan itu (iaitu) Akta 559 memperuntukkan kesalahan jenayah syariah berhubung dengan akidah kesucian agama Islam, institusi dan kesusilaan.
Namun perkara begini juga merupakan perkara yang kita rasa melibatkan tanggungjawab agensi-agensi lain yang ada di bawah perkhidmatan awam.
Di Jakim kita bekerjasama dengan pihak-pihak ini dengan kementerian atau agensi-agensi penguatkuasaan berkenaan bagi memastikan perkara-perkara ini dapat kita bendung daripada awal.
Bila melibatkan isu sensitif, ramai berpandangan bahawa Jakim seolah-olah diam membisu dan mungkin disebabkan kelembutan Jakim menyebabkan mereka ‘memijak’ undang-undang?
Satu perkara yang perlu difahami, kuasa perundangan untuk perkara-perkara yang melanggari hukum syarak itu merupakan bidang kuasa negeri. Jakim hanya dapat bekerjasama dengan agensi-agensi dan pihak berkuasa di peringkat Persekutuan dan negeri untuk memastikan perkara-perkara ini diberi perhatian serta diambil tindakan.
Apabila kata Jakim diam dan membisu, sebenarnya ada tindakan. Kadang-kadang ia memerlukan strategi tertentu yang perlu kita atur dan tidak boleh diuar-uarkan.
Jakim juga berperanan membantu menggubal dan menyeragam undang-undang syariah. Apa perkembangan terkini usaha untuk menyeragamkan undang-undang syariah agar konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan bagi mengelak keputusan mahkamah syariah dicabar di Mahkamah Persekutuan?
Kita di Jakim di bawah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam ada satu jawatankuasa yang telah ditubuhkan. Kalau dahulu, Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak Sivil.
Jawatankuasa ini berperanan untuk mengambil langkah-langkah positif dalam usaha penyeragaman dan penyelarasan undang-undang Islam di Malaysia dan menjadikannya sebagai satu keutamaan di Jakim memandangkan undang-undang syariah ini merupakan sebahagian daripada undang-undang di Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Walau bagaimanapun kuasa berkaitan hal ehwal Islam sudah tentu terletak di bawah kuasa negeri. Perkara ini telah diselaras dan sudah ada peruntukan-peruntukannya dalam Perlembagaan Persekutuan.
Namun, di peringkat Persekutuan, terdapat juga peruntukan yang memberi tanggungjawab kepada pihak berkuasa Jakim di dalam Fasal 2 Perkara 74 Butiran 1 Senarai 2 Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa hal undang-undang Persekutuan dan negeri di bawah Perkara 74 (1) Butiran 1 tanpa menjejaskan apa-apa kuasa untuk membuat undang-undang yang diberikan kepadanya oleh mana-mana perkara lain, Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai perkara-perkara yang disebut satu persatu dalam senarai Persekutuan atau senarai bersama.
Dalam perkara-perkara di dalam senarai Persekutuan dan senarai bersama, masih boleh diusahakan penggubalan satu draf undang-undang atau usaha-usaha penyeragaman dan sebagainya tanpa menjejaskan kuasa di negeri.
Jakim sememangnya menjadi tempat rujukan umat Islam di Malaysia. Apa nasihat Datuk kepada orang ramai dalam mendepani cabaran pada masa sekarang dan akan datang?
Alhamdulillah kita rasa kebergantungan masyarakat Malaysia ini masih lagi kepada pihak berautoriti untuk dijadikan tempat rujukan.
Itulah yang sewajarnya kerana apabila berlaku isu-isu tular di media sosial dan sebagainya, saya berharap agar masyarakat memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa dalam perkara-perkara berkaitan hal ehwal agama.
Kita tidak mahu satu hari nanti sekiranya kebergantungan kepada isu-isu tular itu menjadi terlalu tinggi, kita bimbang perkara-perkara fitnah itu mengatasi autoriti.
Klik di sini untuk terus membaca