PUTRAJAYA - Penyertaan syarikat kecil khususnya bumiputera dalam pensijilan halal adalah masih lagi rendah, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff. Bagaimanapun beliau berkata, terdapat... Klik di sini untuk terus membaca

PUTRAJAYA - Penyertaan syarikat kecil khususnya bumiputera dalam pensijilan halal adalah masih lagi rendah, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Bagaimanapun beliau berkata, terdapat sedikit peningkatan peratusan industri yang telah dipersijilkan.

"Jika sebelum ini hanya 20 peratus tetapi pada tahun lalu ia meningkat kepada 39.7 peratus,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Ahad di pejabatnya.

Hakimah baru dilantik sebagai Ketua Pengarah Jakim pada 21 Mac lalu.

Menurutnya, Jakim menjalinkan hubungan kerjasama dengan agensi lain bagi meningkatkan kefahaman mengenai keperluan pensijilan halal.

"Jalinan kerjasama dengan agensi pembimbing seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medec) adalah bagi membantu industri mengenai kefahaman pensijilan halal dan pematuhan terhadap standard sedia ada,” ujarnya.

Beliau berkata, sekiranya industri memahami dengan mendalam mengenai pensijilan halal, proses tersebut menjadi lebih mudah.

"Apatah lagi produk-produk yang dimohon pensijilan itu bukan dalam kategori kritikal ataupun sensitif iaitu tidak menggunakan bahan ramuan kritikal. Itu sebenarnya lebih mudah,” jelas beliau.

Hakimah berkata, pihaknya mendapati ada pihak industri yang tidak memahami keperluan sijil halal seterusnya membuat persepsi sendiri antaranya sukar, mahal dan sebagainya.

"Sebenarnya bayaran pensijilan halal di negara ini adalah rendah iaitu RM200 dikenakan bagi tempoh dua tahun untuk industri mikro,” katanya.

Ujarnya, pensijilan halal telah mengalami perkembangan positif berbanding ketika awal pelaksanaannya.

"Jika dahulu sektor halal ini berdepan dengan ketidakseragaman, contohnya pensijilan yang berbagai dan tiada peruntukan undang-undang yang kukuh.

"Namun selepas beberapa tahun, usaha untuk menyatukan kesemua sistem telah berhasil.

"Hari ini kita boleh berbangga mempunyai satu undang-undang kukuh di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan penyeragaman sistem pensijilan bersama negeri,” ulas beliau.

Pada masa sama Hakimah berkata, Jakim kini hanya mempunyai satu standard yang digunakan, sistem pensijilan melalui aplikasi dalam talian selain sijil dan logo sama.

"Ini merupakan satu kejayaan yang besar perkembangan sijil halal,” jelasnya.

Tambahnya, Jakim telah memperkenalkan sistem halal dalaman di sesebuah syarikat.

"Kalau dulu pada awal pensijilan halal, kita memberi sijil halal kepada syarikat yang mematuhi standard atau garis panduan dan tanggungjawab itu hanya terletak pada badan pensijilan semata-mata.

"Namun hari ini, kita perkenalkan keperluan mewujudkan sistem halal industri itu sendiri dengan mewajibkan mereka mempunyai eksekutif halal,” ujarnya.

Menurutnya, langkah itu dilaksanakan pada tahun 2014 dengan permulaannya di syarikat multinasional, kemudian perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro.

Mengulas mengenai prosedur pensijilan halal oleh syarikat bukan Islam yang menghasilkan produk makanan, beliau berkata, pensijilan halal Malaysia adalah berdasarkan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 dan ia terpakai untuk semua syarikat sama ada Muslim atau bukan Muslim.

"Dalam erti kata lain, tiada perbezaan prosedur atau keperluan pensijilan baik dari segi agama, bangsa mahupun kedudukan sosial seseorang apabila mahu mengemukakan permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) asalkan mematuhi segala garis panduan dan peraturan serta perundangan berkaitan,” jelasnya.

Ditanya jumlah pegawai Jakim yang menguruskan pensijilan halal, Hakimah berkata, sehingga kini terdapat 172 kakitangan yang menguruskannya.

"Ia meliputi 152 orang di Bahagian Pengurusan Halal dan 20 lagi daripada Sekretariat Majlis Halal Malaysia Jakim,” terang Hakimah.

Menurutnya, jumlah keseluruhan tenaga kerja yang terlibat dalam pengurusan halal di bawah Jakim dan Jabatan agama Islam negeri (JAIN) adalah 392 orang.

"Mereka ditempatkan di Bahagian Pengurusan Halal yang terdiri daripada pelbagai cawangan dan unit termasuk pentadbiran, pengurusan maklumat (ICT), pengkeranian, pengauditan, proses, pemantauan dan penguatkuasaan, polisi dan dasar serta di Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC),” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca