BANTING - Usahawan kerepek di daerah ini menyasarkan pendapatan sehingga RM1.5 juta sepanjang Ramadan hasil jualan kerepek ubi kayu, ubi keledek, pisang dan sukun.
Berkongsi perkara itu, Mahmudin Abas, 67, pemilik perusahaan Fazz Enterprise Kerepek House berkata, pendapatan kasar sebanyak RM1.5 juta itu mampu diperoleh dalam tempoh sebulan Ramadan.
Malah, beliau mengakui mampu meraih pendapatan kasar sekitar RM5 juta setahun daripada perniagaan kerepek ubi kayu dan makanan ringan lain yang diusahakannya sejak tahun 1983.
Lebih menarik apabila perusahaan itu tidak bermula dengan modal besar, bahkan bapa 11 anak itu tidak perlu bersusah payah membuat sebarang pinjaman bank bagi memulakan perniagaan.
"Semuanya dibuat secara sedikit-sedikit pada awal 1980-an namun perniagaan diusahakan secara industri kampung ini meningkat dari sehari ke sehari sehingga saya berjaya membina sebuah kilang.
"Kami peroleh pendapatan kasar sekitar RM350,000 sebulan pada hari biasa dan dijangka meningkat lima kali ganda ketika Ramadan kerana kerepek turut menjadi antara juadah ketika Aidilfitri,” katanya kepada Sinar Ahad.
Mahmudin juga boleh berbangga kerana produk kerepek dihasilkan juga tidak terhad untuk pasaran dalam negara sebaliknya turut dipasarkan ke Singapura, Dubai, Brunei dan Hong Kong.
Sementara itu, seorang lagi pengusaha, Yaummi Ikhsan, 62, pemilik Kerepek Umi House mengakui meraih pendapatan berganda pada Ramadan berbanding bulan-bulan lain.
Bagaimanapun menurutnya, persaingan menjadi semakin sengit kerana semakin ramai orang menceburi perniagaan makanan ringan itu ditambah dengan harga barangan yang kian meningkat.
Yaummi memberitahu, oleh itu aspek pemasaran menjadi faktor penting dalam perniagaan itu bagi memastikan nama kerepek Banting terus menjadi sebutan ramai sejak dahulu hingga sekarang.
"Kami juga menawarkan harga rendah kepada pelanggan, bagi lima kilogram kerepek ubi ia dijual pada harga RM50. Ini adalah peket besar dan biasanya laris terjual pada bulan Ramadan.
"Dari segi pendapatan, saya juga mengakui ia meningkat pada Ramadan. Di sini kami menyediakan pelbagai jenis kerepek iaitu lebih 50 jenis,” ujarnya.
Selain Kampung Kanchong Darat, kampung lain yang terkenal dengan perusahaan kerepek di sini ialah Kampung Sungai Lang, Kampung Sungai Kelambu dan Kampung Batu Laut.
Sementara itu, seorang pelanggan, Norshahrul Zakaria, 46, berkata, kerepek dari Banting tidak perlu diperkenalkan lagi malah menjadi pilihan ramai pada Aidilfitri.
"Kami sekeluarga selalu datang ke sini namun sudah dua tahun tidak berbuat demikian kerana Covid-19. Tahun ini kami berpeluang untuk datang semula dan bawa pulang kerepek segar,” katanya.
Seorang lagi pelanggan, Norsuhaida Othman, 32, berkata dia sanggup datang ke Kampung Kanchong Darat dari Seremban, Negeri Sembilan untuk membeli kerepek ubi kayu dan keledek.
"Pilihan keluarga saya ialah kerepek ubi pedas selain yang asli. Kami sekeluarga selalu datang ke sini untuk mendapatkan kerepek dari peniaga di sini,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca