IPOH - Kelonggaran demi kelonggaran sesuai fasa peralihan endemik memberi limpahan rezeki kepada pengusaha spa dan salon apabila pendapatan mereka melonjak ke tahap tertinggi lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri.
Ini susulan mereka boleh menerima pelanggan semaksimum mungkin.
Bagi pemilik Erma Ayu Spa & Salon, Irmalini Amir Hamzah, 37, jualan dan keuntungan yang diperoleh pada masa ini begitu memberangsangkan.
Menurutnya, ketika pandemik sebelum ini jumlah pelanggan sangat terhad disebabkan prosedur operasi standard (SOP) yang menetap kan bilangan tertentu bagi mengelak orang ramai bersesak-sesak.
"Alhamdulillah, purata sehari saya boleh dapat dalam RM1,500 hingga RM3,000.
"Kalau dulu memang susah sebab banyak kekangan tapi sekarang mungkin orang pun dah ada lebih wang untuk buat rawatan muka dan spa.
"Memang tahun ini hasil yang paling boleh dibanggakan sejak spa ini dibuka dua tahun lalu.
"Pada tahun ini juga kedai berjaya berkembang dari hanya tingkat atas bangunan kini sudah buka di tingkat bawah,” katanya kepada Sinar Ahad.
Irmalini berkata, dari segi keuntungan pula, perniagaannya pernah meraih pendapatan sehingga RM50,000 sebulan dan jumlah itu dijangka bertambah dengan pengenalan produk serta pakej disediakan.
Katanya, sehingga kini hampir 60 pakej ditawarkan khusus untuk golongan wanita berbanding hanya 15 pakej semasa awal pembukaan.
Namun begitu, ujarnya, menjelang Aidilfitri semua tempahan untuk perkhidmatan di spa dan salon terpaksa ditutup kerana tidak lagi mampu menampung permintaan.
Klik di sini untuk terus membaca