SHAH ALAM - Kerajaan perlu menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bagi menetapkan dasar dan polisi terbaik sekiranya mahu mengeluarkan kad pelarian khusus di Malaysia.
Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata, buat masa ini Malaysia tidak ada undang-undang khusus dan jelas mengenai kedudukan pelarian yang masuk ke negara ini.
"Tiada perundangan khusus yang dikenakan terhadap golongan ini, yang ada hanya amalan goodwill, Malaysia baik hati terhadap pelarian yang menumpang sementara di sini.
"Justeru kerjasama antara kerajaan dan UNHCR penting bagi menjelaskan perundangan terhadap mereka dan hanya pertubuhan itu sahaja boleh mengesahkan sama ada seseorang itu berstatus pelarian atau tidak,” katanya kepada Sinar Ahad.
Pada Jumaat, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan, kerajaan sedang merancang untuk mengeluarkan sendiri kad perakuan pelarian melalui agensi yang bertanggungjawab.
Mengulas lanjut Abdul Halim berkata, undang-undang yang jelas mengenai pelarian perlu ditetapkan terlebih dahulu sebelum melaksanakan kad tersebut bagi mengelakkan isu salah guna kuasa dan rasuah dalam kalangan pegawai penguat kuasa serta penjawat awam.
"Sebab itu bila guna goodwill sahaja, banyak timbul isu rasuah dan salah guna kuasa, ugut pelarian sebab tiada peraturan yang akan disandarkan.
"Apabila syarat dan undang-undang sudah ditetapkan, individu berstatus pelarian dibenarkan bekerja dan cari makan untuk menampung kehidupan, sekali gus tidak membebankan perbelanjaan negara,” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan mampu menghasilkan pendapatan dengan mengenakan bayaran terhadap kad yang dikeluarkan.
"Katakan kita buat kad dan daftarkan mereka yang telah memenuhi syarat, kenakan bayaran sebagai contoh satu kad RM1,000, jika ada 20,000 pelarian sudah ada RM200,000. Ini duit yang akan digunakan oleh agensi berkenaan untuk menyelia dan menyelenggarakan pelarian yang ada.
"Selain itu cara ini juga dapat membantu kewangan negara yang mana kerajaan sudah tidak perlu mengeluarkan duit untuk menyara mereka,” jelasnya.
Sementara itu, pakar hal ehwal undang-undang antarabangsa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Mohd Yazid Zul Kepli berpandangan, Malaysia mempunyai kelebihan sekiranya kad pelarian diwujudkan antaranya boleh membuat penilaian secara individu terhadap mereka sekali gus memberi pengiktirafan kepada negara.
"Buat masa ini Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, jadi tidak terikat.
"Namun Malaysia tetap tertakluk pada undang-undang antarabangsa yang terpakai ke atas semua negara,” tegasnya.
Klik di sini untuk terus membaca