MARIUPOL - Baru-baru ini, media Barat memperbesar-besarkan berita tentang penemuan kubur besar yang terletak di kampung Manhush tidak jauh dari Mariupol, Ukraine. Kubur itu mungkin 20 kali lebih besar daripada kubur besar di Bucha yang... Klik di sini untuk terus membaca

MARIUPOL - Baru-baru ini, media Barat memperbesar-besarkan berita tentang penemuan kubur besar yang terletak di kampung Manhush tidak jauh dari Mariupol, Ukraine.

Kubur itu mungkin 20 kali lebih besar daripada kubur besar di Bucha yang terletak di dalam kawasan pentadbiran Kiev Oblast.

Apa yang lebih mengejutkan ialah Majlis Bandar Raya Mariupol pernah mendakwa bahawa ia boleh memuatkan sehingga 9,000 mayat.

Berita penemuan itu telah menyebabkan timbulnya dakwaan bahawa Rusia melakukan pembunuhan orang awam selepas ia menyerang Ukraine bermula 24 Februari lalu.

Maxar Technologies iaitu penyedia imej satelit berkata, menerusi satu kenyataan bahawa saiz kubur besar tersebut telah berkembang secara beransur-ansur apabila tentera Rusia terus mengangkut mayat Ukraine keluar dari Mariupol.

Imej satelit tersebut disiarkan oleh syarikat milik Amerika Syarikat (AS) pada 21 April lalu.

Menurut Maxar, imej itu menunjukkan barisan kubur yang panjang, lebih daripada 200 berhampiran dengan tanah perkuburan yang sedia ada.

Maxar kemudian menyatakan bahawa kubur itu digali pada akhir Mac lalu dan diperbesarkan kemudian.

Saiz keluasannya adalah lebih besar daripada tiga padang bola sepak, menjangkau kira-kira 340 meter panjangnya.

BENARKAH KEJADIAN ITU?

Bagaimanapun, berita-berita yang dikeluarkan media Barat itu disanggah oleh seorang pemberita bebas dari Kanada iaitu, Eva Bartlett yang meninjau sendiri lokasi kubur besar tersebut.

Wanita itu sebelum ini telah membuat liputan berita di zon perang di Timur Tengah terutamanya di Syria dan Palestin.

Beliau meninjau lokasi yang didakwa sebagai terdapatnya kubur besar itu pada hujung April lalu bersama seorang wartawan RT, Roman Kosarev.

Apa yang dilihatnya adalah hanya plot kubur baru yang teratur termasuk beberapa lagi yang masih kosong lanjutan daripada tanah perkuburan yang sudah wujud di tempat itu.

Mereka mendapati tiada lubang besar di kawasan yang didakwa sebagai perkuburan besar-besaran itu.

Sebaliknya, mereka menemui banyak kubur yang mempunyai pelekat dengan nama dan tarikh lahir si mati.

Sebuah kubur yang terdapat di lokasi yang didakwa menempatkan kawasan kubur besar-besaran di pinggir Mariupol.

Sebelum ini tersebar dakwaan daripada pihak Ukraine bahawa mayat-mayat mungkin telah dikebumikan secara berlapis-lapis dan tentera Rusia menggali parit dan mengisinya dengan mayat pada setiap hari pada bulan lalu.

Datuk Bandar Mariupol sebelum ini, Vadym Boychenk yang dipetik menerusi siaran Telegram pernah membandingkan keadaan kubur besar tersebut dengan kejadian pembunuhan beramai-ramai Nazi di Kiev yang mana lebih 30,000 orang Yahudi Ukraine telah dihukum bunuh secara sistematik selama dua hari semasa Perang Dunia Kedua.

Ketika itu, Boychenk dilaporkan berkata bahawa Presiden Rusia, Vladimir Putin sedang memusnahkan penduduk Ukraine apabila beliau sudah membunuh berpuluh ribu orang awam di Mariupol.

Justeru, beliau meminta dunia memberikan reaksi yang kuat daripada seluruh dunia dan menggesa pembunuhan beramai-ramai dihentikan.

TOHMAHAN YANG TIDAK DAPAT DISAHKAN

Pada hakikatnya, kawasan kubur yang dikunjungi oleh kedua-dua wartawan tersebut mempunyai kira-kira 400 plot individu termasuk hampir 100 plot kosong.

Menurut Bartlett, sebanyak 9,000 mayat dan dakwaan jenayah perang terbesar pada abad ke-21 itu merupakan tohmahan yang tidak dapat disahkan.

Katanya lagi, dakwaan itu dibuat oleh Datuk Bandar Mariupol dan dipromosikan oleh media yang mengaku tidak dapat mengesahkan maklumat berkenaan namun kerosakan telah dilakukan.

Penggali kubur di kawasan tersebut turut menyangkal dakwaan terdapatnya kubur besar-besaran.

Semasa berjalan di sekitar kawasan perkuburan berkenaan, dua orang lelaki yang diamanahkan untuk kerja-kerja pengebumian tiba.

Ketika mereka diajukan dengan tuduhan bekas Datuk Bandar Mariupol yang telah melarikan diri itu mengenai kubur besar yang didakwa sebelum ini, mereka menafikan tentang kewujudannya.

Seorang lelaki yang dipertanggungjawabkan dengan kerja-kerja pengebumian itu memberitahu Bartlett bahawa kawasan itu bukan kubur besar-besaran dan tiada siapa yang membuang mayat ke dalam lubang.

Putin juga baru-baru ini menafikan bahawa tentera Rusia melakukan pembunuhan orang awam di Ukraine.

Penafian itu dibuat ketika beliau dikunjungi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres di Moscow pada Isnin lalu.

Klik di sini untuk terus membaca