KUALA LUMPUR - Kehadiran ribuan pengunjung di Bazar Aidilfitri Kuala Lumpur 2022 di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) ternyata memberi pulangan lumayan kepada peniaga. Tinjauan Sinar Ahad mendapati rata-rata peniaga mampu menjana keuntungan... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Kehadiran ribuan pengunjung di Bazar Aidilfitri Kuala Lumpur 2022 di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) ternyata memberi pulangan lumayan kepada peniaga.

Tinjauan Sinar Ahad mendapati rata-rata peniaga mampu menjana keuntungan antara tiga hingga empat kali ganda melalui jualan pelbagai kelengkapan hari raya.

Peniaga baju raya, Muhammad Rijalul Haq Emmen Muhamad, 22, berkata perniagaannya pada tahun ini mendapat keuntungan lebih 80 peratus berbanding tahun lalu.

Muhammad Rijalul Haq

"Keuntungan itu memang boleh saya katakan dalam tiga kali ganda berbanding tahun lepas sampaikan stok di sini habis dan kita bawa masuk stok dari tahun lepas.

"Jualan tahun ini memang bagus, ramai orang beli sebab masa Covid-19, orang tak boleh keluar sepanjang dua tahun lepas.

"Tahun ini mereka macam lepas geram, ditambah prosedur operasi standard (SOP) lebih ringan berbanding dulu,” katanya.

Sementara itu, peniaga songkok, Rustam Munap, 60, berkata dia amat berpuas hati kerana mendapat untung 70 peratus tahun ini.Rustam yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan berkata, dia juga akan membuat jualan harga lelong secara besar-besaran pada malam raya bagi menghabiskan semua stok.

Rustam

"Tahun lepas untung dalam 30 peratus sahaja, tahun ini naik mendadak.

"Saya sangat gembira, pelanggan datang dari merata tempat. Ada yang datang dari Kuala Selangor, Melaka, Seremban dan lain-lain,” ujarnya

Peniaga kasut dan sandal wanita, Muhamad Hazrul Hamzah, 35, berkata, stok perlu ditambah lebih daripada biasa kerana bilangan pembeli yang ramai."Tahun ini memang lain macam sebab saya kena tambah stok barang banyak kali,” jelasnya.

Peniaga air minuman, Rahimah Abdul Manap, 60, pula memberitahu, faktor yang mendorong kepada peningkatan keuntungan jualan perniagaannya adalah disebabkan pengunjung bebas untuk pergi ke mana-mana gerai tanpa sekatan.

"Yang penting tahun ini tidak ada sekatan. Jadi mungkin rezeki kita tahun ini dapat untung,” katanya yang sudah berniaga di kawasan itu selama lebih 20 tahun.

Nurul Farhana

Peniaga sampul duit raya, Nurul Farhana Abdul Shukor, 36, juga mengakui seronok apabila berjaya memperoleh untung.

"Orang sekarang macam tak sayang duit. Kalau dulu orang sayang duit nak berbelanja, nak beli satu barang pun orang terasa susah,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca