SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pusat beli-belah pakaian raya pada tahun ini mendapat sambutan luar biasa susulan keterujaan orang ramai untuk meraikan hari lebaran seperti sebelum era pandemik Covid-19. Pengasas jenama pakaian raya Bulan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pusat beli-belah pakaian raya pada tahun ini mendapat sambutan luar biasa susulan keterujaan orang ramai untuk meraikan hari lebaran seperti sebelum era pandemik Covid-19.

Pengasas jenama pakaian raya Bulan Bintang, Azzim Zahid berkata, jualan di lima butik dan lebih 6,000 ejen sah seluruh negara telah melonjak sehingga 400 peratus.

Ini kerana menurutnya, pihak syarikat telah melakukan persediaan awal dengan meningkatkan jumlah pengeluaran sebanyak empat kali ganda untuk Aidilfitri kali ini.

Azzim

"Jualan tahun ini memang beza mendadak. Jika tahun lepas kami hanya menjual baju Melayu dewasa tapi tahun ini, kami turut keluarkan baju Melayu dan baju kurung untuk kanak-kanak serta dewasa.

"Secara keseluruhan, tahun ini kita mengeluarkan lebih 200,000 helai pakaian. Sememangnya jualan jadi tinggi berbanding tahun lepas.

"Ada juga kedai yang terpaksa ditutup awal disebabkan tiada stok. Sekarang, tinggal bawah 10 peratus lagi daripada jumlah pakaian yang dikeluarkan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Sementara itu, Pengarah Jakel Seksyen 7, Shah Alam, Mohamed Izani Mohamed Jakel berkata, jualan di butiknya mencatatkan peningkatan sehingga 200 peratus.

Mohamed Izani

Menurutnya, peningkatan jualan itu sama seperti sebelum negara dilanda pandemik pada tahun 2019.

"Sebaik sahaja kerajaan mengumumkan kebenaran pulang berhari raya, sudah ada pelanggan yang datang mencari baju raya.

"Paling laris adalah baju yang telah siap iaitu baju Melayu, baju kurung dan tudung. Semua stok ini mencukupi dan masih dapat menampung pembelian pada saat-saat akhir nanti,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca