SETELAH dua tahun tidak pulang ke kampung berhari raya akibat pandemik Covid-19, tahun ini umat Islam dapat meraikan hari kemenangan bersama sanak saudara dengan mematuhi SOP.
Ibadat puasa di bulan Ramadan diibaratkan suatu ‘madrasah’ atau sekolah yang mendidik jiwa umat Islam. Bukan saja menahan lapar dahaga malah juga mengekang hawa nafsu daripada merajai jiwa.
Disiplin yang dipupuk oleh madrasah Ramadan ini amat kental kerana umat Islam bukan hanya berpuasa di hadapan orang tetapi juga apabila bersendirian. Inilah kejayaan Islam mendidik peribadi mulia dan amanah.
Manifestasi kemuliaan Ramadan dapat dilihat daripada sudut amalan umat Islam seperti bersolat tarawih, bersedekah, bertadarus al-Quran dan banyak lagi.
Hampir sebulan mengikuti institusi Ramadan, kini tiba pula masa untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri.
Selama sebulan di bulan Ramadan kita berlatih meninggalkan perkara yang halal marilah kita selepas Ramadan ini pula meninggalkan perkara yang haram.
Bagi yang merayakan Aidilfitri tanpa orang tersayang, perayaan ini masih tetap diteruskan memandangkan ia adalah tuntutan hukum syarak.
Namun, sudah tentulah kehibaan di jiwa tidak dapat dielakkan semasa menyambut Aidilfitri.
Dari segi bahasa, Aidilfitri bermakna kembali kepada fitrah. Kita sebenarnya kembali kepada fitrah iaitu suci dan bebas daripada dosa.
Tatkala Aidilfitri, umat Islam suci daripada dosa kerana madrasah Ramadan telah membersihkan segala dosa kita.
Namun tidak kurang juga yang kecundang dan gagal mendapat pengiktirafan daripada madrasah Ramadan ini apabila mereka kembali kepada fitrah iaitu sikap negatif sebelum Ramadan.
Mereka kembali kepada kehidupan penuh dosa dan menindas golongan lemah, makan makanan yang tidak tentu halalnya. Mereka ini adalah golongan yang sangat rugi kerana tidak mengambil iktibar daripada ajaran ALLAH.
Pada hari kemenangan ini, semangat persaudaraan Islam mesti diutamakan di samping mengeratkan silaturahim sesama umat Islam. Aidilfitri bukanlah semata-mata adat, tetapi lebih kepada ibadat.
Oleh itu, hari besar ini wajar dipenuhi dengan ibadat yang dituntut ALLAH. Ia tidak hanya ziarah menziarahi, tetapi mengeratkan silaturahim, menegakkan syiar dan dakwah Islamiah.
Ia bukan sekadar menyanyi kegembiraan, tetapi menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa.
Pemborosan dan pembaziran semata-mata bagi menyambut Aidilfitri sebenarnya adalah tergelincir dari apa dianjurkan Islam.
Islam menggalakkan umatnya merayakan hari kemenangan ini, tetapi dalam sukatan dan kadar tidak menjurus kepada pembaziran. Alangkah baiknya jika wang lebihan itu digunakan bagi manfaat perjuangan Islam dan membantu golongan memerlukan.
Ramai dalam kalangan umat Islam tidak mahu keluar rumah mengunjungi sanak saudara. Ia seolah-olah menjadi budaya masyarakat Islam di Malaysia.
Ia berlaku kerana umat Islam khususnya kalangan muda mudi menumpukan perhatian kepada rancangan hiburan.
Rancangan itu hendaklah tidak menghakis semangat hari raya itu sendiri. Apatah lagi apabila rancangan itu pula disiarkan pada waktu prima oleh media arus perdana menarik perhatian segenap lapisan masyarakat.
Syawal lazimnya dipenuhi program rumah terbuka yang menyajikan pelbagai juadah dan makanan. Ada kalanya kita tidak dapat memenuhi jemputan.
Dari sudut pembaziran makanan pun sudah cukup menyedihkan, apatah lagi jika dikaji kesan produktiviti, betapa lama masa yang diluangkan menghadiri majlis berkenaan. Saya tidak menyarankan ia diberhentikan, tetapi biarlah semua tindakan itu dibuat dengan berpada-pada.
Dalam keghairahan meraikan Aidilfitri, sewajarnya kita merenung sejenak apakah kita akan bertemu lagi pada Ramadan akan datang?
Apakah pula persiapan kita menemui Tuhan Maha Pencipta? Kebeningan Ramadan sudah pasti dirindui dan syahdunya menunggu Ramadan tahun hadapan. Tiada janji pasti kita akan bertemunya lagi. Segala-galanya terserah kepada qada dan qadar-Nya.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Klik di sini untuk terus membaca