PADA 24 April 2022 genap setahun Konsensus 5 Point ASEAN yang telah dipersetujui oleh para pemimpin ASEAN ketika Persidangan Khas ASEAN di Jakarta, Indonesia mengenai Myanmar.
Pemimpin tentera Myanmar Jeneral Min Aung Hiang telah turut menyertai dan bersetuju.
Konsensus 5 Point terdiri daripada pertama, segala bentuk keganasan di Myanmar harus dihentikan segera; kedua, pihak yang bertelagah harus mencari penyelesaian damai untuk menamatkan krisis ini melalui dialog konstruktif.
Ketiga, negara yang mempengerusikan ASEAN bertanggungjawab untuk melantik Perutusan Khas untuk menjadi orang tengah dalam krisis Myanmar; keempat, ASEAN akan memberikan bantuan kemanusiaan kepada negara itu; dan kelima, Perutusan Khas ASEAN akan pergi ke Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak dalam krisis.
Namun selepas setahun, keadaan politik dan kes pelanggaran hak asasi manusia di Myanmar semakin membimbangkan.
Walaupun Konsensus 5 Point memperjuangkan menghentikan keganasan tentera Myanmar terhadap rakyatnya, keadaan di Myanmar sangat menyedihkan.
Hampir 1,800 orang, kebanyakannya penunjuk perasaan pro-demokrasi, telah dibunuh oleh pasukan tentera Myanmar, sejak rampasan kuasa.
Ramai lagi telah ditahan kerana faktor politik tetapi dilayan seperti penjenayah. Kediaman dan rumah ibadah dibakar oleh tentera Myanmar.
Selain, Perutusan Khas ASEAN walaupun dibenarkan melawat Myanmar tetapi operasi beliau disekat oleh kerajaan tentera Myanmar. Misalnya, pada penghujung Mac 2022, kerajaan tentera Myanmar telah menyekat Prak Sokhonn, selaku Menteri Luar Kamboja dan Perutusan Khas ASEAN daripada bertemu dengan pemimpin yang digulingkan Aung San Suu Kyi semasa lawatan tiga harinya ke Myanmar.
Adakah Konsensus 5 Point sudah gagal? Sejauh manakah ia masih relevan? Apakah tindakan ASEAN? Baru-baru ini, masyarakat antarabangsa mengecam pencerobohan Rusia ke atas Ukraine tetapi tidak mampu menghentikan tindakan Rusia daripada meneruskan serangan.
Selain itu, organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) masih belum berjaya menghentikan pendudukan haram dan penindasan Israel ke atas penduduk Palestin.
Lebih menyedihkan, segelintir nasionalisYahudi telah mencerobohi Masjid al-Aqsa sehingga menimbulkan kemarahan penduduk Palestin.
Akhirnya, berlaku pertembungan antara penduduk Palestin dan tentera Israel sehingga lebih 300 penduduk Palestin tercedera.
Jelas sekali masyarakat antarabangsa termasuk PBB gagal. PBB ada kekangan kerana negara anggota PBB mempunyai kepentingan.
Begitu juga ASEAN. Negara-negara anggota ASEAN seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Filipina yang mahukan tindakan yang lebih tegas terhadap Myanmar.
Antaranya, teguran yang lebih keras dan mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan pemimpin Kerajaan Perpaduan Kebangsaan Myanmar (NUG) iaitu kerajaan buangan, pergantungan keahlian Myanmar.
Bagaimanapun, bukan semua negara anggota ASEAN bersetuju untuk mengambil tindakan yang keras misalnya Thailand, Laos dan Kemboja.
Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mendedahkan bahawa beliau telah mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan perwakilan NUG secara dalam talian.
Tindakan beliau selaku Menteri Luar Malaysia memberi isyarat kepada para Menteri Luar ASEAN lain supaya mereka tidak boleh berdiam diri.
Para pemimpin ASEAN perlu sedar bahawa kebuntuan Konsensus 5 Point akan mengundang kritikan masyarakat antarabangsa akan kredibiliti ASEAN itu sendiri. Misalnya, apakah respons pemimpin ASEAN kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengenai kelewatan Konsensus 5 Point untuk mencapai matlamat ketika Sidang Kemuncak ASEAN-AS pada pertengahan Mei nanti?
Pada Sidang Kemuncak ASEAN-AS, Biden akan cuba mempengaruhi para pemimpin ASEAN untuk bertindak lebih tegas terhadap Myanmar.
Oleh yang demikian, para pemimpin ASEAN melalui Menteri-Menteri Luar harus mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan kebuntuan Konsensus 5 Point dan mencari kaedah untuk memastikan ia lebih berkesan daripada terus diperlekeh oleh kerajaan tentera Myanmar.
Antara cadangan termasuklah mewujudkan tempoh masa bagi Myanmar untuk mematuhi Konsensus 5 Point dan ASEAN mengadakan komunikasi alternatif dengan NUG untuk memberi isyarat kepada kerajaan tentera Myanmar bahawa ASEAN sudah meluat dengan tindakan mereka.
Bagaimanapun cadangan-cadangan ini tidak membawa apa-apa makna sekira para pemimpin ASEAN tidak bersatu dalam isu Myanmar. Malangnya, itulah realiti.
* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya
Klik di sini untuk terus membaca