SETIAP kali kadar tukaran ringgit merosot atau penarafan ekonomi kita diturunkan, pemimpin kerajaan dan pengurus ekonomi pun berkokok mengatakan asas-asas ekonomi kita kukuh.
Lantas diungkitkanlah fundamental seperti rizab antarabangsa yang tinggi, kadar pertumbuhan ekonomi yang sihat, inflasi yang rendah, imbangan perdagangan yang positif dan pengaliran masuk modal asing yang banyak.
Yang jarang mereka sebut adalah jika dibandingkan dengan negara-negara jiran, semua atau sebahagian fundamental yang disebutkan itu tidaklah sekukuh mana. Tetapi bagi rakyat jelata yang tidak arif tentang ekonomi, mereka percaya dan berasa lega.
Keciciran kita bukan sahaja dalam perbandingan dengan negara-negara jiran malah juga dengan prestasi yang kita sendiri capai sebelum ini. Dalam erti kata lain, pencapaian ekonomi kita telah merosot teruk.
Itu belum diambil kira faktor-faktor bukan ekonomi yang turut mempengaruhi penarafan dan keyakinan antarabangsa seperti tadbir urus, ketelusan, keutuhan institusi, pencegahan rasuah, kestabilan politik, integriti dan pendemokrasian.
Pertumbuhan ekonomi Malaysia mendatar sejak lebih satu dekad bermula 2009 dan kadar tukaran ringgit berbanding dolar Amerika mula merosot pada tahun 2013 apabila Perdana Menteri dan Menteri Kewangan adalah Datuk Seri Najib Razak.
Saya sendiri mula menulis mengenai tindak tanduk kerajaan dalam mengurus ekonomi yang pada pandangan ramai penganalisis tidak lestari atau meragukan seperti penyusunan semula aset Felda melalui FGV Holdings Berhad dan projek-projek raksasa yang berasaskan hutang dari luar negara.
Waktu itu skandal 1MDB belum meledak walaupun sudah mula dihidu oleh media massa antarabangsa dan beberapa wartawan tempatan.
Kalau ramai orang merasa tindakan Tun Mahathir Mohamad mengikat tukaran ringgit pada kadar RM3.80 bagi satu dolar Amerika pada tahun 1998 sebagai membebankan, faktanya kadar tukaran hari ini jauh lebih teruk.
Tun Mahathir menambat ringgit kepada dolar bagi menyekat spekulasi mata wang ketika berlaku krisis kewangan Asia 1997 hingga 98.
Tambatan itu berlangsung hingga 2005 apabila Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, menamatkannya.
Sejak itu, dalam tempoh kira-kira sedekad nilai ringgit menjadi lebih kukuh daripada dolar tetapi ia jatuh teruk pada 2015 serentak dengan pendedahan skandal 1MDB di seluruh dunia. Menjelang September tahun sama, untuk membeli AS$1 kita memerlukan RM4.39. Pada 2016, kadarnya naik hingga RM4.47.
Menurut analisis, sudah lebih sedekad ringgit gagal mencatatkan prestasi baik dengan nilainya merosot berbanding dolar dan banyak mata wang lain, termasuk mata wang negeri-negeri serantau.
Heboh mengenai kadar tukaran ringgit jatuh ke paras paling rendah berbanding dolar Singapura mungkin kerana pintu sempadan negara itu dibuka semula dengan kegiatan menukar mata wang.
Realitinya, kejatuhan ringgit berbanding dolar Singapura sudah berlarutan berdekad lamanya. Sepatutnya apabila rakyat Singapura membeli mata wang ringgit menggunakan mata wang mereka, nilai ringgit akan naik.
Namun, kadar tukaran dalam tempoh sebulan hingga Jumaat 29 April, nilai ringgit terus merosot.
Yang pasti, ia membebankan kita, kerana secara automatik ia menyebabkan kenaikan harga semua jenis barang, perkhidmatan import dan kadar inflasi.
Apabila ekonomi negara-negara lain berkembang lebih pantas dan saiz ekonomi global membesar, sumbangan Malaysia menjadi semakin kecil.
Pada 2020 misalnya, ekonomi kita mengikut anggaran Bank Dunia bernilai AS$336.66 bilion (kira-kira RM1,414 bilion) atau 0.30 peratus ekonomi dunia.
Dengan sumbangan yang lebih kecil kepada ekonomi dunia, peranan mata wang ringgit akan menjadi lebih kecil. Kesimpulannya, pemerintah Malaysia, khususnya menteri-menteri yang menjaga hal ehwal monetari dan fiskal, pelaburan, pengilangan dan pengeluaran makanan gagal melakukan yang terbaik untuk negara dan rakyat jelata.
Malaysia bukan sahaja perlu mempercepatkan pemulihan ekonomi, bahkan terpaksa bersaing dengan negara-negara jiran dalam aspek-aspek bukan ekonomi dan perlu bebas rasuah.
Wallahuaklam.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Klik di sini untuk terus membaca