MINGGU lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan pemberian lesen bank digital kepada lima konsortium iaitu Boost Holdings Bhd-RHB Bank Bhd, GXS Bank Pte Ltd-Kuok Brothers Sdn Bhd, Sea Ltd-YTL Digital Capital Sdn Bhd, AEON Financial... Klik di sini untuk terus membaca

MINGGU lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan pemberian lesen bank digital kepada lima konsortium iaitu Boost Holdings Bhd-RHB Bank Bhd, GXS Bank Pte Ltd-Kuok Brothers Sdn Bhd, Sea Ltd-YTL Digital Capital Sdn Bhd, AEON Financial Service Co Ltd-AEON Credit Service (M) Bhd-MoneyLion Inc dan KAF Investment Bank Sdn Bhd.

Menurut BNM, tiga konsortium iaitu Boost-RHB Bank, GXS Bank-Kuok Brothers dan Sea Ltd-YTL Digital Capital dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK), manakala dua lagi iaitu konsortium AEON Financial Service-AEON Credit-MoneyLion dan KAF Investment Bank dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI).

Mereka yang diberi lesen ini dijangka memulakan operasi dalam tempoh antara 12 hingga 24 bulan akan datang.

Antara negara yang telah dan sedang membangunkan bank digital ialah Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom, Singapura, India, Afrika Selatan, Brazil, China, Filipina, Hong Kong, Jerman, Kanada, Republik Korea dan Taiwan dan UK.

Secara asasnya, bank digital bermakna institusi perbankan yang menawarkan perkhidmatan perbankan secara dalam talian sepenuhnya tanpa cawangan fizikal atau urusan fizikal.

Walaupun kebanyakan bank di negara ini telah menawarkan perkhidmatan yang hampir sama, namun terdapat isu-isu teknikal antara platform dalam talian bank sedia ada.

Menurut laporan Belanjawan 2021, bank digital berbeza daripada platform mudah alih kerana ia memerlukan pendigitalan sepenuhnya.

Aspek utama bank digital memerlukan teknologi canggih seperti Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API), Pembelajaran Mesin AI, Pengkomputeran Awan, Data Raya, Keselamatan Siber, Visualisasi Data, Antara Muka Pengguna (UI) - Reka Bentuk Pengalaman Pengguna (UX) dan Blockchain. Teknologi ini membolehkan pelbagai lapisan proses dijalankan secara serentak merentasi semua saluran penyampaian.

Pentadbir kawal selia kewangan negara menyifatkan pengenalan bank digital akan menyumbang kepada cara yang lebih mudah, pantas dan murah untuk mengakses perkhidmatan serta mengurus kewangan.

Menurut Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, penerapan teknologi digital secara lebih meluas untuk transaksi harian, akan memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk mengambil bahagian dalam kegiatan ekonomi tanpa halangan geografi, mengurangkan kos transaksi dan pengurusan kewangan yang lebih baik.

Bagi institusi kewangan, ia menjimatkan kos operasi dan pengurusan seperti penggajian dan sewaan bangunan.

Bagaimanapun, kos pembangunan teknologi, penjagaan keselamatan siber dan integrasi sistem dengan skala yang besar bukanlah sesuatu yang murah.

Dalam pada itu, pemberian lesen perbankan digital kepada institusi kewangan baharu menimbulkan persoalan mengenai limpahan institusi kewangan yang mungkin tidak sepadan dengan saiz pengguna bagi membolehkan industri ini berkembang dengan mampan.

Pada krisis kewangan pada 1997/98, Malaysia telah mengenal pasti antara kelemahan ialah mempunyai terlalu banyak bank.

Justeru, kerajaan memperkenalkan penggabungan dan rasionalisasi dalam sistem perbankan negara bagi memastikan industri ini kekal stabil dan mampu bertahan dalam krisis.

Pemberian bank digital kepada pemain industri yang baharu akan menjejaskan bank-bank sedia ada dan ketahanan ekosistem kewangan negara dalam masa krisis pada masa hadapan.

Persaingan bank digital juga mungkin akan menekan bank-bank sedia ada untuk mengenakan caj yang lebih tinggi kepada pengguna di kaunter dan mesin pengeluaran wang tunai yang tidak ditawarkan oleh bank digital.

Tidak diragui, bank digital adalah langkah masa depan, namun memastikan ia menjadi nilai tambah kepada pengukuhan ekosistem kewangan negara adalah satu cabaran yang memerlukan perancangan teliti BNM.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca