TAHUN ini, umat Islam akan meraikan sambutan Hari Raya Aidil Fitri dalam suasana berbeza. Selepas dua tahun tidak dapat pulang beraya di kampung, kemeriahan kali ini begitu luar biasa. Jalan raya sesak sejak beberapa hari sebelum raya.
Dengan keputusan Perdana Menteri dan kerajaan untuk memberikan ganjaran ‘balik kampung’, ini memberi maksud dan makna yang istimewa.
Pasar raya juga dipenuhi dengan kunjungan berpusu-pusu untuk belian barangan keperluan berhari raya.
Lagu raya yang kedengaran sejak hampir sebulan merancakkan lagi persiapan untuk memastikan sempurna sudah rukun Islam ketiga ini.
Kesederhanaan menjadi keutamaan. Kekangan Covid-19 dan baru melangkah ke alam ‘kebiasaan’ fasa endemik mengikat amalan kita.
Ini juga menjadikan satu peringatan kepada kita semua agar kemeriahan dikekalkan tanpa mengenepikan nilai kasih sayang dan amalan berukun.
Ada yang masih bergelut dengan kehidupan mereka; namun masyarakat di negara ini terkenal dengan nilai budi dan bersyukur dengan ketetapan yang ditentukan olehnya.
Perayaan kali ini menjadi milik bersama walau jurangnya ada kerana sifat kebergantungan antara kita masih utuh dan saling bantu-membantu sudah menjadi amalan sejak dahulu kala lagi.
Kurniaan tuhan bahawa syukur dan doa akan memberikan ketulusan dan rasa cinta yang besar nilainya menjadi pegangan ramai. Reda dengan nikmat yang kecil juga sering menjadi amalan kerana tahu ada ganjaran besar kepada kita.
Syawal menjelang, kehangatan pilihan raya juga terasa. Walau dalam bulan Ramadan digalakkan beribadah dengan berbuat baik kepada semua, ada juga yang membuka pekung dada politik merata.
Dari soal debat Datuk Seri Mohd Najib Razak - Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khemah Besar kerjasama parti pembangkang dan Leak PAS sehingga wujud pelbagai andaian, ini juga meraikan pengurusan persepsi tanpa mengira masa.
Ada juga yang menggunakan bulan Ramadan untuk menghentikan ketaksuban berpolitik, persengketaan yang ada gencatan dan melakukan muhasabah untuk memberikan keutamaan merapatkan saf.
Pegangan politik tidak terkecuali dalam kemeriahan beraya. Kematangan dan berhemah dalam melengkapi bucu-bucu politik perlu sentiasa ada. Perbezaan pandangan politik wujud dalam satu rumah sekalipun.
Walaupun proses sosialisasi yang dilalui oleh anggota keluarga barangkali sama, ikutan amalan berpolitik tidak semestinya sama.
Apakah ‘balik kampung’ kali ini juga akan diraikan bersama dengan perbincangan soal pilihan raya, pemimpin, parti politik dan masa depan negara?
Adakah apabila pulang selepas beraya, suhu politik akan mendidih semula dengan masing-masing mahukan tarikh pilihan raya apabila sudah menjadi Perdana Menteri di rumah masing-masing dengan argumentasi mengapa ia perlu diawalkan atau kekal sehingga tempoh matangnya.
Politiking di Malaysia tidak berakhir sebaik pilihan raya umum selesai malah ia menjadi-jadi sehingga boleh mempengaruhi kestabilan dan kesejahteraan rakyatnya.
Hatta, beraya dengan isu pilihan raya bukan baharu dan menjadi amalan kerana topik ini menarik ramai untuk turut memberikan pandangan mereka.
Jangan sampai ada yang terlalu beremosi kerana hari raya tidak boleh tercalar dengan perselisihan faham dalam mahupun luar keluarga.
Hari raya adalah masa untuk bersama bukan untuk memusuhi satu sama lain. Wasatiyah jika dijadikan pegangan, perbezaan akan diraikan dan kekuatan persamaan dipertahankan.
Menjelang penghujung Ramadan, menjadi tradisi pemasangan lampu pelita yang acap kali dipanggil sebagai malam tujuh likur.
Keseronokan melihat tradisi memasang panjut terasa di kampung, Jalan Ketoyong Tanjong Malim. Suasana malam memberikan sinar semangat beraya. Begitu juga kepada yang ternanti-nanti hari pilihan raya.
Syawal pula memenuhi harapan agar pengampunan, penyucian jiwa dan fikiran dilakukan terutama mereka yang sebelum ini menganiaya, iri hati dan sentiasa buruk sangka agar dapat membina semula perwatakan jati diri, keluarga, masyarakat dan negara ini. Selamat Hari Raya Aidil Fitri.
*Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah profesor di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca