MINGGU ini Belalang hendak menyentuh tentang insiden dua beradik perempuan di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa lalu, yang meninggal dunia setelah motosikal ditunggangi mereka terbabas lalu digilis sebuah lori. Mereka baru berusia 11 dan 15 tahun.
Dalam kejadian pada jam 8.54 malam itu, mereka dikatakan menaiki motosikal untuk membeli barangan runcit tetapi terbabas lalu jatuh sebelum dilanggar lori dari arah yang sama. Kedua-duanya meninggal di tempat kejadian.
Bagi Belalang, insiden ini sebenarnya sangat menyayat hati. Tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut hari raya dan keluarga ini terpaksa menanggung keperitan kehilangan dua orang anak serentak.
Belalang difahamkan, itulah sahaja anak yang keluarga ini ada dan kematian mereka bermakna, ibu dan ayah mangsa kehilangan kesemua anak mereka.
Namun yang lebih mengganggu fikiran kita semua ialah bagaimanakah dua anak yang masih di bawah umur ini dibenarkan menaiki motosikal di atas jalan raya yang sibuk dengan kenderaan termasuklah kenderaan berat?
Melihat budak berusia sedemikian menunggang motosikal di kampung-kampung adalah pemandangan biasa walaupun hakikatnya tetap salah di sisi undang-undang. Namun orang dewasa tutup mata kerana ia adalah jalan kampung.
Tapi ini di kawasan bandar dengan lalu lintas yang sibuk. Hakikat bahawa terdapatnya lori melalui jalan berkenaan adalah bukti ia tidak selamat untuk kanak-kanak menunggang motosikal.
Walau apa pun alasannya, kanak-kanak berusia 11 dan 15 tahun tidak patut menunggang motosikal di atas jalan raya. Mereka tidak memiliki lesen dan mereka adalah kanak-kanak. Apa yang mereka tahu tentang undang-undang dan soal keselamatan?
Yang patut tahu dan mencegah ialah orang dewasa tapi apa yang orang dewasa buat? Orang dewasa sekadar menjadi saksi kepada insiden dan kejadian yang menyayat hati itu.
Sebaliknya insiden itu boleh dielak dan dicegah seandainya semua pihak termasuk ibu bapa dan keluarga tidak mengambil mudah dan lebih tegas dalam membimbing dan mengawal selia anak-anak.
Kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku lagi jika semua pihak mengambil iktibar di atas insiden lapan remaja dan kanak-kanak mati dilanggar kereta pada jam 3.20 pagi di Johor Bahru, lima tahun lalu kerana bermain basikal lajak.
Orang menyalahkan pemandu kenderaan tersebut dan tertuduh telah dijatuhkan hukuman tapi apa budak-budak itu buat di luar rumah pada jam 3 pagi tanpa pengetahuan ibu bapa?
Perbuatan tersebut juga harus diberi perhatian oleh masyarakat dan ibu bapa agar kejadian yang serupa tidak berulang lagi.
Sekali lagi, Belalang ingin tegaskan, ibu bapa bertanggungjawab terhadap aktiviti anak-anak. Di manakah letaknya kawalan ibu bapa terhadap anak-anak jika mereka bebas keluar rumah sehingga jam 3 pagi serta menaiki dan membonceng motosikal di atas jalan pada usia 13 atau 15 tahun sendirian?
Belalang - Sentiasa takut dengan ibu bapa walaupun dah dewasa dan besar panjang...
Klik di sini untuk terus membaca