SABAN tahun bulan Mei merupakan bulan yang signifikan kepada rakyat Malaysia dan seluruh dunia yang meraikan tanggal 1 Mei sebagai Hari Pekerja. Sejarah tercipta dengan bermula pada Hari Pekerja pada tahun ini negara telah bergerak menuju... Klik di sini untuk terus membaca

SABAN tahun bulan Mei merupakan bulan yang signifikan kepada rakyat Malaysia dan seluruh dunia yang meraikan tanggal 1 Mei sebagai Hari Pekerja.

Sejarah tercipta dengan bermula pada Hari Pekerja pada tahun ini negara telah bergerak menuju kepada fasa endemik Covid-19 yang bakal menyaksikan lebih banyak permintaan tenaga kerja dalam pasaran.

Justeru, agenda pemerkasaan tenaga buruh tempatan amat sinonim dengan kesinambungan kegemilangan negara yang telah memasuki 65 tahun usianya dengan menggunakan acuannya yang tersendiri.

Walau bagaimanapun, ketika negara berhadapan dengan gelombang penularan Covid-19 sejak Mac 2020, urusan terpenting kini adalah ke arah peralihan ke fasa endemik agar kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan rakyat yang terhimpit dalam ekonomi, sosial dan emosi termasuk tenaga buruh di Malaysia dapat dipulihkan.

Melihat kepada keadaan pasaran pekerjaan semasa di Malaysia, Statistik Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati situasi tenaga buruh pada Februari 2022 menunjukkan pemulihan apabila bilangan tenaga buruh naik 0.2 peratus berbanding bulan sebelumnya (Januari 2020) yang mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh seramai 16.4 juta orang.

Kadar pengangguran juga menyusut kepada 4.1 peratus berbanding 5.3 peratus pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bulan Mei 2020.

Berdasarkan situasi berkenaan, golongan pekerja merupakan kelompok yang paling terkesan setelah berlakunya pandemik Covid-19.

Untuk memastikan operasi berterusan semua aktiviti ekonomi dan sosial pada fasa pemulihan ini, usaha untuk memastikan pembangunan modal insan yang berdaya tahan penting untuk dilakukan secara lebih menyeluruh melibatkan semua agensi pelaksana dan pemegang taruh.

Justeru, intipati utama program pembangunan kompetensi tenaga buruh tempatan perlu menekankan aspek pembangunan kemahiran baru (upskilling), memperkasa kemahiran sedia ada (reskilling) dan menyilangkan tenaga buruh sedia ada dengan kemahiran lain (cross-skilling) supaya mampu melaksanakan kepelbagaian tugas agar selari dengan keperluan semasa ketika berhadapan dengan suasana endemik Covid-19 yang semakin mencabar.

Melalui Belanjawan 2022, kerajaan turut memanjangkan usaha pembangunan modal insan dalam kalangan belia dengan mewujudkan insentif berkonsepkan ‘Place and Train’ antaranya dengan menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun sebanyak RM900 sebulan bagi tempoh enam bulan, pelan pembiayaan sebanyak 150 juta bagi belia yang bergiat menceburi bidang keusahawanan, program MySTEP yang menawarkan sejumlah 80 ribu peluang pekerjaan dalam sektor awam dan syarikat berkepentingan kerajaan.

Selain itu, bagi memastikan agenda untuk memulih, membina dan memangkin semula tenaga buruh muda tempatan yang berdaya tahan dalam era endemik, program latihan dan peningkatan latihan misalnya melalui HRD Corp, Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) dan Kementerian Pengajian Tinggi serta SIP Gig dan Program Jamin Kerja oleh Perkeso seharusnya dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Antara syor untuk memastikan modal insan yang berdaya tahan pada fasa endemik adalah dengan menggalakkan lebih banyak pemain industri terutamanya syarikat korporat dalam menyediakan latihan, pengalaman dan peluang pekerjaan kepada tenaga buruh tempatan termasuk golongan belia dan graduan.

Walau bagaimanapun, penglibatan tenaga buruh tempatan perlu diperluaskan dan disaran untuk merebut peluang dan insentif yang tersedia untuk dimanfaatkan sebaiknya bagi membangunkan kompetensi diri.

Pada masa yang sama, usaha menyemarakkan peluang kolaborasi antara institusi pengajian tinggi dan pemain industri perlu dilakukan secara berterusan agar graduan yang dihasilkan sepadan dengan keperluan industri pada masa kini.

Selain itu, corak pendekatan pengajaran dan pembelajaran terutamanya di institusi pengajian tinggi perlu berubah kepada berorentasikan kajian kes dan pembelajaran berasakan masalah dengan membawa cabaran semasa ke dalam kuliah.

Antara peluang pekerjaan yang berpotensi untuk dikembangkan khusus kepada golongan pencari kerja adalah peluang pekerjaan yang berorentasikan pendigitalan yang secara tidak langsung membolehkan tenaga buruh tempatan tidak bergantung kepada pekerjaan yang ‘makan gaji’ semata-mata, tetapi golongan belia yang mampu mencipta peluang pekerjaan sendiri.

Penjanaan pendapatan melalui Ekonomi Gig (Gig Economy) merupakan ruang yang berpotensi besar dalam suasana pendigitalan pada hari ini. Usaha penjenamaan sektor 3D (dirty, dangerous dan difficult) perlu dipergiat secara berterusan dengan penawaran gaji yang setimpal bagi menarik minat tenaga buruh tempatan yang sebelum ini banyak dipelopori oleh tenaga buruh asing.

Kesimpulannya, usaha bersepadu dalam melahirkan modal insan yang berdaya tahan dapat memacu tenaga buruh tempatan agar selari dengan peningkatan berterusan dalam sektor pekerjaan.

Ini berikutan lebih banyak permintaan buruh fasa oleh pembukaan sektor ekonomi serta pewujudan peluang pekerjaan untuk mengekalkan pasaran perniagaan dalam era endemik yang semestinya akan menentukan kejayaan Malaysia yang lebih cemerlang pada masa hadapan.

Pekerja Tonggak Keluarga Malaysia dalam Pemulihan Negara. Selamat Hari Pekerja 2022!

* Prof Madya Dr Mohd Mursyid Arshad ialah Jabatan Pemajuan Profesional & Pendidikan Lanjutan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca