SHAH ALAM - Bilik hotel untuk kucing habis ditempah sejak dua bulan lalu. Pekerja Catswell Wangsa Maju, Siti Nur Baiti berkata, permintaan terhadap perkhidmatan itu mendapat sambutan luar biasa kerana ramai pemilik haiwan berkenaan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bilik hotel untuk kucing habis ditempah sejak dua bulan lalu.

Pekerja Catswell Wangsa Maju, Siti Nur Baiti berkata, permintaan terhadap perkhidmatan itu mendapat sambutan luar biasa kerana ramai pemilik haiwan berkenaan merancang pulang ke kampung lebih lama bagi menyambut Aidilfitri.

"Catswell mempunyai tiga cawangan iaitu di Wangsa Maju, Subang dan Ampang dengan semua cawangan memiliki 42 buah bilik berbeza saiz mengikut kesesuaian jumlah kucing.

"Pada tahun ini, kami membuka slot tempahan untuk perkhidmatan jagaan sempena raya sejak bulan Mac lagi berikutan permintaan sangat tinggi dan semua cawangan Catswell telah penuh sehingga 7 Mei ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Siti Nur Baiti memberitahu, pelanggan Catswell tidak hanya terdiri daripada penduduk setempat, malah melibatkan mereka yang tinggal di luar daerah.

Sementara itu, pengusaha hotel kucing, Dirna Meow Boarding, Norsalina Mohd Shah pula berkata, dia menyediakan 200 bilik hotel kucing bersaiz kecil, sederhana dan besar yang mampu menempatkan sehingga 400 ekor dalam satu masa.

Katanya, hotel kucing di premis yang terletak di Bandar Mahkota Cheras itu telah penuh ditempah sehingga 8 Mei ini.

"Selepas dua tahun dikekang wabak Covid-19, permintaan terhadap perkhidmatan jagaan kucing memang luar biasa pada tahun ini dan saya sudah menjangkakannya kerana bukan hanya pada musim perayaan, malah setiap kali ada cuti panjang, hotel kucing memang mendapat sambutan tinggi,” ujarnya.

Norsalina menambah, Dirna Meow Boarding telah penuh ditempah sebulan sebelum Ramadan berikutan kebimbangan pemilik yang menjangkakan permintaan tinggi terhadap perkhidmatan itu tahun ini.

"Tarikh yang paling banyak ditempah bermula 30 April hingga 4 Mei dan ada yang sehingga 8 Mei.

"Justeru, bagi memastikan tiada pelanggan yang membatalkan tempahan pada saat akhir, saya mengenakan deposit sebanyak RM50 untuk seekor kucing dan kadar perkhidmatan jagaan adalah RM15 untuk satu malam,” jelasnya.

Bilik hotel kucing yang disediakan Dirna Meow Boarding

Bagi pengendali perkhidmatan Kuceng.co, Shafeera Anuar, pihaknya terpaksa menutup tawaran penginapan untuk kucing sejak pertengahan Mac malah terpaksa menolak lebih 500 permintaan pelanggan kerana sudah tiada ruang untuk menempatkan kucing.

Menurutnya, keadaan itu jauh berbeza berbanding dua tahun musim perayaan ketika PKP sebelum ini.

"Mungkin ketika PKP, ramai yang bela kucing. Jadi tahun ini apabila ramai yang bercuti di kampung, mereka memerlukan hotel kucing.

"Jumlah kucing yang menginap di hotel kami sempena raya kali ini adalah sebanyak 120 ekor,” katanya.

KOS KOS KHIDMAT JAGAAN KUCING CECAH RM650

Pemilik kucing peliharaan menyediakan perbelanjaan tambahan untuk kos penginapan di pusat penjagaan haiwan itu sepanjang tempoh mereka pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri.

Seorang penulis blog, Nur Ain Fatima Zainal Azeman, 26, berkata, dia memperuntukkan sehingga RM400 untuk perkhidmatan jagaan tiga ekor haiwan peliharaannya.

"Paling murah, perkhidmatan jagaan bagi seekor kucing adalah RM18 sehari termasuk penyediaan makanan, minuman dan pembersihan najis, tidak termasuk caj perkhidmatan pekerja,” katanya.

Menurut Nur Ain Fatima, tempahan untuk perkhidmatan jagaan kucing juga telah dibuat dua bulan sebelum Aidilfitri bagi mengelakkan tempat penuh.

Penjawat awam, Haslinda Isa, 38, pula berkata, dia memperuntukkan RM200 bagi perkhidmatan jagaan seekor kucingnya selama lima hari di musim perayaan ini.

Beliau memberitahu, kos perkhidmatan jagaan kucing juga meningkat RM5 berbanding hari biasa.

"Saya hantar kucing ke sebuah kedai haiwan terkemuka kerana yakin dengan perkhidmatan dan jagaan yang diberikan selain bilik jagaan haiwan selesa serta dilengkapi sistem pendingin hawa.

"Saya sanggup bayar mahal kerana kucing baka British Shorthair sememangnya memerlukan penjagaan rapi. Jadi tidak menjadi isu mengeluarkan wang lebih bagi perkhidmatan jagaan haiwan kesayangan, asalkan kucing sihat, tidak ‘stress’ akibat terkurung dan dijaga rapi,” tambahnya.

Bilik hotel kucing yang disediakan Catswell.

Berlainan pula bagi seorang perunding hartanah, Nora Azianty Selamat, 35, dia mengambil keputusan untuk meninggalkan haiwan peliharaannya di rumah tanpa perlu penjagaan rapi.

Ini kerana, jelas Nora Azianty, kucingnya itu sudah biasa ditinggalkan di rumah meskipun untuk tempoh yang lama.

"Saya hanya perlu menyediakan makanan kering (kibbles), air minuman dan pasir kucing secara berlebihan. InsyaALLAH cukup untuk keperluan seekor kucing,” jelasnya.

Sementara itu bagi perunding insurans, Fadilah Rashid, 38, dia mengupah jirannya untuk menjaga tiga ekor kucing peliharaannya sepanjang tempoh di kampung sempena perayaan.

"Sebenarnya permintaan itu lebih kepada pertolongan daripada jiran kerana kos untuk perkhidmatan jagaan di kedai haiwan RM35 sehari untuk seekor kucing. Kalau tiga ekor kucing mencecah RM650,” ujarnya.

Seorang pekerja swasta, Aida Hayati Azis, 32, memaklumkan, dia memperuntukkan RM120 bagi perkhidmatan jagaan kucingnya dan kos itu masih murah berbanding di beberapa tempat lain.

Klik di sini untuk terus membaca