SHAH ALAM - "Pusat ini menjadi penghubung untuk saya mendekatkan diri kepada ALLAH selepas sedekad lebih melakukan kegiatan gengsterisme dan terkutuk di sisi-Nya.”
Itu luahan seorang bekas banduan yang terlibat dengan pelbagai kes jenayah seawal usia 16 tahun.
Dia yang hanya ingin dikenali sebagai Ashraf, 29, berkata, kisah silamnya dahulu yang pernah terlibat dengan kes pecah rumah, samun kereta, pergaduhan dan juga mengambil dadah adalah satu kesilapan besar yang tidak boleh dimaafkan diri sendiri.
Menurut Ashraf, perbuatan itu dilakukan disebabkan pengaruh rakan sebaya yang akhirnya dia dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney pada usia 18 tahun dan keluar pada umurnya 21 tahun.
"Di dalam (sekolah) ini juga, kami masih melakukan perkara jahat, seperti bergaduh. Kena bergaduh untuk dapatkan kedudukan. Selain itu, rakan-rakan juga ada menyediakan perkhidmatan membuat tatu. Saya pun terlibat sama sebab saya rasa ia trend dan menampakkan saya gengster.
"Namun, saya kesal terhadap tindakan ini dan saya berniat untuk memadamnya. Namun, tidak digalakkan kerana akan memberikan kesan yang lain pula terhadap kulit saya,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Ashraf yang kini berada di Madrasah Darul Solihin Al Qadiri berkata, ia merupakan pusat pemulihan yang terbaik bagi dirinya untuk mempercayai semula kewujudan ALLAH yang pernah dipertikai dahulu.
"Pada awalnya, saya masuk ke penjara, memang ada lakukan solat dan sebagainya. Namun begitu, kita tidak dapat rasa perasaan tersebut disebabkan kita tinggal bersama orang yang tiada niat nak berubah, tiada kefahaman agama dan tidak mendorong kita jadi baik.
"Setelah keluar penjara, saya membantu ibu saya berniaga. Kemudian saya kerja di sebuah syarikat swasta. Masa itu, saya tidak mencuri kerana takut kepada polis sahaja.
"Kemudian, ketika Perintah Kawalan pergerakan (PKP), saya terduduk kerana pelbagai ujian yang melanda. Saya hilang pekerjaan dan pendapatan sehingga saya jual van yang ada. Saya memang anggap ALLAH tidak adil.
"Ditambah lagi sebelum itu rumah saya terbakar, keluarga saya berpisah, semuanya serba tidak kena dalam diri saya. Kemudian, saya kembali menghisap dadah semula. Memang hampir setiap hari.
"Saya tidak tahan, kemudian, ibu saya hantar ke pusat pemilihan akhlak ini pada umur 28 tahun. Bila saya duduk sini, baru saya sedar bahawa selama ini saya silap,” katanya.
Sementara itu, penghuni lain, yang ingin dikenali sebagai Atan, 41, berkata, jenayah dan lukisan tatu yang dilukis pada lengannya hanya untuk menampakkan dirinya seorang gengster itu merupakan satu perbuatan yang amat dikesali selama-lamanya.
Menurutnya, lukisan tatu yang dilukis pada umurnya 14 tahun setelah dimasukkan ke pusat tersebut adalah sebagai simbol keganasan dan perlu ditakuti oleh ramai orang di sekolah tersebut.
"Saya masuk ke sini sebab terlibat samun. Awalnya, bukan niat saya nak lakukan jenayah ini. Ketika itu, keluarga susah dan tiada kenderaan. Jadi, saya ternampak sebuah kereta, saya cuba naik dan memandunya. Namun dituduh mencuri.
"Di sini, saya mula terjebak kegiatan samun sebab banyak bercampur dengan budak nakal. Banyak benda negatif yang diajar. Satu hari, saya jumpa kawan dari Pulau Pinang ajar cara mencuri kereta dan sebagainya.
"Saya keluar sahaja, saya buat kegiatan itu dan sangat menguntungkan. Jualan satu kereta mencecah sehingga RM30,000. Saya juga menghisap dadah seawal usia 14 tahun,” katanya.
Menurut Atan, pada 2008, dia ditangkap dan dipenjarakan selama 12 tahun di penjara Kajang akibat terlibat dalam sindiket samun kereta.
"Semasa di penjara, saya dapat khabar yang ayah saya meninggal. Detik itu, saya berazam untuk berubah. Dengan kuasa ALLAH, saya ditukarkan ke penjara Tapah. Di sini ada sekolah pondok dan saya dapat belajar sikit-sikit.
"Setelah dibebaskan, saya mula mencari madrasah ini untuk saya benar-benar dekatkan diri kepada ALLAH. Saya memang betul-betul insaf,” katanya.
Turut melakukan jenayah yang sama, Isham, 39, berkata, sebanyak 14 kali dia dimasukkan ke penjara berkaitan jenayah dadah dan juga samun kenderaan.
"Saya lakukan samun di Singapura kerana ia lebih menguntungkan dan dapat permintaan yang banyak. Kerja ini saya buat dari umur 16 tahun. Terpaksa lakukan kerana tiada sumber rezeki. Ketika itu, RM2,000 juga dikira banyak.
"Kemudian, ketika umur 28 tahun, kawan saya terlibat kemalangan setelah samun kereta dan menyebabkan kematian. Ketika itu saya tidak lakukan bersama kerana melawat ayah di hospital,” ujarnya.
Isham memberitahu, setelah kejadian itu, sikapnya mula berubah dan cuba menghindarkan diri dari melakukan jenayah.
"Keluarga pula pada awalnya masukkan saya ke pondok agama di Johor. Awalnya saya memberontak dan lari. Kemudian saya dimasukkan ke sini meskipun masih dalam keadaan belum rela sepenuhnya,” katanya.
Bagi penghuni dan juga warden yang dikenali sebagai Azroy, dia bersyukur sekiranya dapat tinggal di pusat pemulihan akhlak itu untuk selamanya bagi membaiki kesilapan yang pernah dilakukan.
"Saya ditangkap kerana mengedar dadah pada umur 22 tahun. Saya mula jalankan pekerjaan ini pada umur 18 tahun. Tetapi ALLAH masih sayang kerana ditangkap dengan jumlah yang sikit sahaja. Jadi, hukuman tidak terlalu berat.
"Dalam penjara, saya masih tidak mengenal Tuhan. Selepas keluar penjara pada umur 34, ibu bapa saya yang hantar ke sini.
"Saya tidak rela pada awalnya. Lama-kelamaan, saya sedar bahawa ALLAH telah beri hidayah di depan mata, mengapa saya tidak laksanakan dan saya mula berubah ke arah kebaikan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca