SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berpandangan tahap produktiviti pekerja di negara ini semakin meningkat dan bertambah baik.
Pemangku Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, oleh kerana itu pihaknya menyuarakan agar pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500.
"Kita nampak tahap produktiviti pekerja kita meningkat dari masa ke masa,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Mohd Effendy, sebelum ini Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Syed Hussain Syed Husman turut memaklumkan lebih ramai majikan memberikan kenaikan gaji kepada pekerja mereka pada 2021 berbanding 2020, sekali gus menandakan pemulihan perniagaan yang positif di negara ini.
"Jadi, kita lihat ia juga antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya peningkatan dari segi tahap produktiviti pekerja di Malaysia dan menunjukkan ekonomi negara berada di landasan pemulihan,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun turut melahirkan kebimbangan dengan pengambilan pekerja asing dan berharap dengan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 itu dapat memberikan keutamaan kepada golongan pekerja tempatan.
"Maknanya, kerajaan ataupun pihak industri perlulah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, sebaliknya utamakan pekerja tempatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, MTUC menggesa agar kerajaan melakukan perubahan drastik terhadap sistem pekerjaan di negara termasuklah segera meratifikasi beberapa protokol Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Jelas Mohd Effendy, ia susulan terdapat beberapa protokol yang tidak sepenuhnya diikuti seperti Konvensyen 98 iaitu hak untuk berkesatuan dan perjanjian bersama.
"MTUC mahu kerajaan segera mewujudkan dasar di setiap syarikat supaya mempunyai kesatuan untuk mewakili pekerja.
"Setakat ini kita ada lebih kurang 16 juta tenaga pekerja tetapi jumlah yang menjadi ahli persatuan hanya lapan peratus sahaja. Tidak sampai satu juta,” katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal pula berharap agar tahun ini dapat memberikan satu perangsang baharu kerana pekerja sekarang masih lagi terhimpit dengan masalah ekonomi dan juga politik.
"Kalau kedua-dua perkara ini tidak dapat diselesaikan, maka kita nampak jaminan pekerjaan itu masih lagi samar-samar,” jelasnya.
Beliau turut menggesa majikan tidak menjadikan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dan Skim Pemisahan Bersama (MSS) sebagai alat untuk mengurangkan pekerja.
"Walaupun kita kata ekonomi sudah semakin pulih tetapi masih ada lagi usaha-usaha majikan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang uba mengurangkan pekerja dengan menawarkan VSS dan MSS.
"Kita cadangkan Kementerian Sumber Manusia pantau perkara tersebut. Apa yang penting sekarang ini adalah majikan sepatutnya adakan semula refreshment dan program latihan kepada pekerja supaya mereka boleh meningkatkan tahap produktiviti.
"Majikan perlu anggap pekerja ini sebagai tulang belakang dan aset negara,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca