LARUT - Kerinduan seorang adik terhadap abang kandung yang hilang sejak empat bulan lalu makin dirasai menjelang Syawal ini sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi. Mohammad Ridzuan Zakaria, 27, dilaporkan hilang di kawasan hutan berhampiran... Klik di sini untuk terus membaca

LARUT - Kerinduan seorang adik terhadap abang kandung yang hilang sejak empat bulan lalu makin dirasai menjelang Syawal ini sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi.

Mohammad Ridzuan Zakaria, 27, dilaporkan hilang di kawasan hutan berhampiran rumahnya di Kampung Sempeneh Cempaka, Batu Kurau di sini sejak 30 Disember lalu.

Meskipun pelbagai usaha telah dilakukan, anak kelima daripada lapan beradik yang merupakan orang kurang upaya (OKU) autisme itu masih belum ditemui.

Adik mangsa, Nor Aina Zakaria, 20, berkata, walaupun tiada sebarang petunjuk ditinggalkan, kepulangan Mohammad Ridzuan yang mesra dengan panggilan Firdaus itu tetap dinantikan ahli keluarga.

Lebih-lebih lagi, katanya, apabila sepanjang Ramadan ini, dia kerap bermimpikan Firdaus pulang ke rumah dan dapat meraikan Aidilfitri bersama ahli keluarga dengan gembira.

"Dalam mimpi itu, abang nampak sihat dan ceria. Dia juga sempat makan juadah raya yang disediakan emak.

"Entah kenapa bila terkenang mimpi itu, saya jadi sedih dan dalam masa sama sangat berharap abang akan pulang hari raya ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Nor Aina berkata, sempena Aidilfitri ini, ibu bapa mereka, Zakaria Hashim, 72, dan Rokiah Abdul Mutalib, 60, tetap menyediakan sepasang baju Melayu untuk Firdaus berwarna biru cerah sedondon bersama adik beradik lain.

Mohammad Ridzuan yang mesra dipanggil Firdaus hilang sejak Disember lalu sehingga kini belum ditemui.

Menurutnya, walaupun ibu bapa sudah boleh menerima hakikat tetapi dalam diam sangat berharap Firdaus dapat ditemui dan pulang dalam keadaan selamat.

"Ayah dan mak tidaklah kerap mimpikan abang, tetapi mereka selalu cakap seolah-olah merasakan kelibat abang ada di sekitar rumah ini. Mungkin terlalu rindu membuatkan mereka rasa sedemikian,” katanya.

Ujarnya, kebiasaan menjelang hari raya, Firdaus akan turut sama membantunya mengemas rumah termasuk memasang langsir dan mengalihkan sofa.

"Tahun ini rutin itu sudah tak sama. Abang tak ada di sini untuk membantu saya mengemas rumah,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Jawatankuasa Mencari dan Menyelamat (SAR) Kampung Sempeneh Cempaka, Ahmad Hasbullah Elias berkata, pencarian mangsa masih diteruskan dalam skala yang kecil melibatkan dua atau tiga penduduk sahaja.

Jelas beliau, tiada petunjuk baharu dapat dikesan menyebabkan mereka buntu untuk berikhtiar dalam mencari mangsa yang hilang tersebut.

Antara gambar Rohaya bersama Qaseh yang dirakamkan pada 2017 iaitu tahun sama ketika Qaseh dilaporkan hilang.

TIDAK AKAN BERPUTUS ASA

Harapan untuk melihat kepulangan Qaseh Qumairah Damia Abdullah tidak pernah luput dalam diri ahli keluarganya meskipun sudah lima tahun kanak-kanak itu menghilang tanpa sebarang kesan.

Neneknya, Rohaya Nemat, 54, berkata, dia sentiasa menyimpan kerinduan amat besar terhadap cucu sulung kesayangannya itu yang berusia 8 tahun ketika kejadian tersebut berlaku.

"Perasaan rindu ini memang tidak perlu katalah. Lebih-lebih lagi ketika hampir menyambut hari raya ini.

"Bila kita teringat dan tengok gambar dia, jiwa ini sedih sangat. Tapi harapan saya untuk melihat dia kembali tu sentiasa ada.

"Kalau lebih 1,000 kali harapan diberikan pun dan Qaseh tidak juga ditemui, saya tetap tidak akan berputus asa,” katanya kepada Sinar Harian.

Qaseh yang hilang pada 23 Januari 2017 itu kali terakhir dilihat bermain bersama adiknya, Mohd Dani Aqasha, 7, serta seorang lagi rakan di sekitar kawasan perumahan Taman Saujana, Kota Tinggi, Johor.

Dia yang ketika itu merupakan murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Saujana ketika itu dilihat dengan berpakaian baju-T dan berseluar sukan sekolah.

Rohaya berkata, setakat ini, masih tidak ada apa-apa perkembangan terbaharu berkaitan usaha menjejaki Qaseh.

Klik di sini untuk terus membaca