ALOR SETAR - "Tok percaya cucu masih hidup walaupun dia sudah lima tahun hilang di laut. "Setiap kali Ramadan, tok masih bayarkan zakat fitrah untuknya. Kalau betul dia sudah tiada, tok anggap sebagai sedekah sahaja untuknya,” kata Jamnah... Klik di sini untuk terus membaca

ALOR SETAR - "Tok percaya cucu masih hidup walaupun dia sudah lima tahun hilang di laut.

"Setiap kali Ramadan, tok masih bayarkan zakat fitrah untuknya. Kalau betul dia sudah tiada, tok anggap sebagai sedekah sahaja untuknya,” kata Jamnah Ibrahim, 85, semasa ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Mati dekat sini.

Pada 7 Mac 2018, cucunya, Mohd Azrul Mohd Hassan, 24, bersama dua lagi nelayan keluar untuk menangkap ikan dengan bot pukat tunda, namun dipercayai hilang di Perairan Pulau Payar, Langkawi dan masih gagal dikesan sehingga kini.

Menurut Jamnah yang mesra dipanggil tok, sehingga kini belum ada perkhabaran terbaharu tentang anak ketiga dari empat beradik itu, namun mereka tetap tidak putus harapan selain berhubung dengan Maritim Malaysia Kedah bagi mendapatkan perkembangan terbaharu.

"Tiga bulan selepas kejadian, kami terima telefon bimbit, beg duit dan beberapa barangan miliknya yang dihantar pihak berkuasa Indonesia.

"Penduduk sana menemuinya berada di atas pelampung di sebuah pulau. Penemuan barang-barang ini menguatkan lagi harapan bahawa Mohd Azrul masih hidup,” ujarnya yang gagal menahan sebak.

Susulan kejadian tersebut, Jamnah sekeluarga pernah membuat bacaan Yasin di rumah ibu saudara Mohd Azrul demi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan cucunya dan dua rakannya yang hilang itu.

Sementara itu, bapa Mohd Azrul, Mohd Hassan Zainon, 65, berkata, anaknya itu mahu keluar ke laut menangkap ikan untuk mengumpul wang persediaan mendaftarkan diri menyertai tentera darat di Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Dia memang sudah dapat surat tawaran untuk jadi askar dan perlu mendaftar diri tiga bulan sebelum hilang di laut.

"Saya sudah minta dia jangan pergi ke laut dan fokus pada persiapan ke Port Dickson, tapi dia mahu juga keluar cari duit kerana tidak mahu menyusahkan keluarga,” jelasnya.

Tambah Mohd Hassan, ibunya menaruh harapan bahawa Mohd Azrul masih hidup berikutan terdapat nelayan di kampung itu yang hilang di laut beberapa tahun, namun kemudiannya pulang semula ke pangkuan keluarga.

"Ramai yang terkejut dengan kepulangan nelayan itu selepas beberapa tahun hilang di laut. Sebelum ini orang kampung sudah mengadakan tahlil dan bacaan Yasin selepas pihak berkuasa menamatkan pencarian kerana tiada petunjuk,” katanya.

Ahmad Yahya yang masih belum ditemui hingga kini.

SAMBUTAN TIDAK SEPERTI BIASA

"Kami sekeluarga sudah reda walaupun sedih kian terasa menjelang Aidilfitri ini,” kata pemandu lori, Mohamad Zulhelmi Ahmad, 32, dari Felda Chemomoi dekat Karak di sini.

Selepas lebih empat bulan, ayahnya, Ahmad Yahya, 71, yang dikhuatiri lemas dihanyutkan arus deras akibat kepala air ketika melalui Jambatan Telemong dekat Karak pada 18 Disember lalu masih belum ditemui sehingga kini.

Anak bongsu daripada lima beradik itu memberitahu, sambutan Aidilfitri tahun ini tidak seperti kebiasaan berikutan tragedi yang menimpa keluarga mereka.

Selain masih belum menemui ayah mereka, Mohamad Zulhelmi juga kehilangan ibunya, Rokiah Ismail, 69, dan kakaknya, Siti Zaitun Ahmad, 50, dalam kejadian itu, namun mayat kedua-duanya ditemui beberapa hari kemudian.

"Ayah paling suka makan macam-macam dan antara kegemarannya ialah soto ayam bersama kopi ketika bulan puasa, selain ketupat pada Aidilfitri.

"Terasa lain macam, sepi ditambah pula nasib ayah tidak diketahui hingga sekarang dan kami tetap berharap hingga kini untuk temui ayah dalam apa jua keadaan,” katanya.

Mohamad Zulhelmi juga memberitahu, mereka sekeluarga akan berkumpul di rumah ibu bapanya pada Aidilfitri nanti walaupun dua insan tersayang tersebut tiada di sisi mereka lagi.

"Selalu waktu begini, arwah ibu yang paling sibuk membuat persediaan, tetapi kini semua jadi kenangan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, Mohamad Zulhelmi bersama 13 ahli keluarga lain menaiki tiga buah kenderaan sebelum kenderaan mereka dihanyutkan arus deras.

Klik di sini untuk terus membaca