SAN FRANCISCO - Perjalanan hidup Elon Musk daripada seorang mangsa buli kepada individu terkaya di dunia selain pernah menyertai ekspedisi ke angkasa lepas seperti sebuah kisah luar biasa dalam dunia perniagaan moden. Nama jutawan inovatif... Klik di sini untuk terus membaca

SAN FRANCISCO - Perjalanan hidup Elon Musk daripada seorang mangsa buli kepada individu terkaya di dunia selain pernah menyertai ekspedisi ke angkasa lepas seperti sebuah kisah luar biasa dalam dunia perniagaan moden.

Nama jutawan inovatif di Amerika Syarikat (AS) itu mula menjadi sebutan sejak minggu lalu selepas beliau memeterai perjanjian untuk membeli Twitter dengan nilai AS$44 bilion (RM191.5 bilion) sekali gus memberi kuasa kepadanya untuk mengawal rangkaian media sosial tersebut yang turut mencetuskan perdebatan dan pelbagai reaksi di seluruh dunia.

Ia merupakan ‘penaklukan’ terbaharu Musk selepas beliau merevolusikan industri kereta, menghantar roketnya sendiri ke angkasa lepas dan membina empayar kekayaan terbesar di dunia.

Pada tahun lalu, Musk, 50, dinamakan sebagai individu terkaya di dunia setelah beliau merampas gelaran itu daripada Jeff Bezos yang mengasaskan Amazon susulan peningkatan mendadak pembuat kereta elektrik, Tesla yang diasaskannya pada 2003.

Pengambilalihan laman blog mikro itu dijangka mencetuskan lagi kontroversi berhubung pandangan politik beliau, kaedah perniagaan dan personaliti luar biasanya.

Musk dikenali sebagai pendukung kebebasan, anti-woke (antikeadilan sosial dan keadilan kaum), mempunyai tingkah laku impulsif dan sering mempromosikan dirinya sebagai juara kebebasan bersuara.

Segelintir pihak menggelar beliau sebagai ‘anggota berhaluan kanan’ manakala pengkritik Musk menyifatkan bilionair itu sebagai autokratik dan pembuli.

Walaupun Tesla dilihat berada pada kedudukan yang kukuh, ia didakwa berdepan siri tindakan undang-undang yang mendakwa berlaku diskriminasi terhadap pekerja kulit hitam dan insiden gangguan seksual.

Menerusi pendedahan mengejutkan ketika wawancara bersama saluran TED Talk di YouTube baru-baru ini, Musk dengan selamba mengakui beliau tidak memiliki kediaman sendiri atau rumah agam yang sinonim dengan bilionair sepertinya.

"Saya menumpang di rumah beberapa rakan secara bergilir-gilir buat masa ini,” katanya yang dianggarkan mempunyai nilai kekayaan berjumlah AS$266 bilion (RM1.16 trilion) oleh Forbes.

Bekas pasangannya yang kini tidak lagi tinggal sebumbung, Grimes yang merupakan seorang ahli muzik warga Kanada juga mengesahkan mereka pernah tinggal di ‘rumah tidak selamat’ tanpa dilengkapi kawalan keselamatan yang hanya bernilai AS$40,000 (RM174,140).

Kehidupan peribadi Musk sememangnya penuh misteri walaupun beliau menjadi sumber inspirasi banyak pihak kerana berjaya mengorak langkah menjadi usahawan teknologi yang tersohor pada masa ini.

BERHIJRAH KE AS

Elon Reeve Musk FRS dilahirkan pada 28 Jun 1971 di Pretoria, Afrika Selatan dan merupakan anak kepada seorang jurutera elektromekanikal manakala ibunya adalah seorang model kelahiran Kanada.

Sejak dari kecil, beliau telah menunjukkan minat dalam pengkomputeran dan pengaturcaraan komputer.

Musk bagaimanapun melalui zaman persekolahan yang ‘gelap’ kerana menjadi mangsa buli malah pernah dimasukkan ke hospital selama dua minggu kerana kecederaan dialaminya.

Beliau kemudiannya menyimpan hasrat untuk berhijrah ke AS kerana melihat peluang yang amat besar di negara tersebut.

Empat angkasawan amatur yang menyertai misi Inspiration4 yang dilancarkan SpaceX pada tahun lalu.

Musk melanjutkan pengajian di University of Pennsylvania dan memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang fizik dan perniagaan.

Beliau bagaimanapun membatalkan rancangannya untuk sambung belajar ke peringkat doktor falsafah di Stanford University.

Beliau kemudiannya membuka Zip2, sebuah syarikat yang membuat perisian penerbitan dalam talian dan untuk industri media sebelum ia dijual kepada firma pembuat komputer, Compaq dengan nilai lebih AS$300 juta (RM1.3 bilion) pada 1999.

Musk kemudiannya mengasaskan perkhidmatan kewangan digital, X.com dan bergabung dengan firma pembayaran dalam talian, PayPal yang akhirnya dibeli gergasi lelongan internet, eBay dengan nilai AS$1.5 bilion (RM6.5 bilion) pada 2002.

BERCITA-CITA TINGGI

Selepas meninggalkan PayPal, Musk memulakan siri usaha niaga yang lebih bercita-cita tinggi dengan mengasaskan SpaceX pada 2002 dan menjadi Pengerusi Tesla dua tahun kemudian.

Walaupun beberapa ujian dilakukan SpaceX gagal, ia akhirnya berjaya membuka mata dunia setelah berjaya menghantar empat pelancong ke angkasa lepas pada akhir tahun lalu ketika negara antarabangsa masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

SpaceX mencipta sejarah tersendiri atas kejayaannya melaksanakan misi orbit pertama tanpa penglibatan angkasawan profesional.

Ketika ini, terdapat khabar angin yang mendakwa Musk merancang untuk membangunkan sistem kereta api ‘hyperloop’ yang bergerak pada kelajuan supersonik.

Antara cita-cita tinggi beliau adalah untuk menjadikan manusia sebagai ‘spesies antara planet’ dengan menempatkan koloni penduduk bumi di planet Marikh.

Bagi merealisasikan rancangan itu, SpaceX sedang membangunkan prototaip roket, Starship.

Bapa kepada tujuh anak yang memegang kerakyatan AS, Kanada dan Afrika Selatan pernah berkahwin dan bercerai sebanyak tiga kali sebelum menjalinkan hubungan dengan Grimes dan dikurniakan dua cahaya mata. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca