SUSULAN kekalahan teruk blok pembangkang dalam empat Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula di Sabah pada tahun 2020 diikuti Melaka, Sarawak dan Johor, suara-suara akar umbi Pakatan Harapan (PH) yang menuntut pendekatan khemah besar pembangkang... Klik di sini untuk terus membaca

SUSULAN kekalahan teruk blok pembangkang dalam empat Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula di Sabah pada tahun 2020 diikuti Melaka, Sarawak dan Johor, suara-suara akar umbi Pakatan Harapan (PH) yang menuntut pendekatan khemah besar pembangkang semakin kuat kedengaran.

Bermula dengan tuntutan akar umbi Parti Amanah Negara (Amanah) yang lantang mengajak parti-parti pembangkang kembali bekerjasama bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), gesaan itu turut disahut sebilangan pemimpin DAP.

Hakikat sebenar adalah PH dan parti-parti pembangkang lain (termasuk Perikatan Nasional (PN) di peringkat negeri) dilihat semakin hilang punca selepas peristiwa Langkah Sheraton pada tahun 2020.

Menyedari realiti politik itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri seolah-olah memberi bayangan koalisi itu bersedia menyertai agenda khemah besar pembangkang, apabila menyatakan kesediaan berunding dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRU15.

Cadangan itu turut disambut Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meminta pimpinan parti pembangkang berjiwa besar dengan memaafkan dan melupakan perkara lalu demi merealisasikan pendekatan khemah besar.

Bagaimanapun, Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Pengerusi PH sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudiannya bersepakat menegaskan pendekatan khemah besar hanya melibatkan parti-parti pembangkang dan tidak merangkumi kerjasama parti-parti kerajaan sama ada UMNO dan PN.

Kenyataan itu sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penyokong PH dan PN, pada saat majoriti pemerhati politik meramalkan hanya strategi pertembungan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) sahaja yang mampu mengelakkan keputusan PRU15 mengulangi skrip PRN Melaka dan Johor.

Namun, bagi ketua-ketua parti dalam PH dan PN, mereka sebenarnya menyedari halangan terbesar untuk merealisasikan konsep khemah besar adalah berkaitan soal prinsip dan ego kepimpinan setiap parti.

Sebagai contoh, terdapat dua faktor penghalang besar utama yang dikenal pasti mampu menggagalkan kerjasama politik dua koalisi terbesar selain BN iaitu keberadaan DAP dan Pas di dalam PH dan PN yang mungkin memberi kesan penolakan penyokong kedua-dua koalisi.

Faktor kedua pula adalah isu calon Perdana Menteri di mana PH masih mengekalkan Anwar sebagai calon tunggal Perdana Menteri koalisi itu setakat ini, manakala PN lebih awal menamakan Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri kelapan sebagai calon mereka.

"Segalanya terserah kepada kebijaksanaan, keberanian dan juga keazaman politik elit blok pembangkang termasuk PN untuk menyelesaikan dua isu halangan terbesar berkenaan.

"Dengan corak kepimpinan Anthony Loke sebagai Setiausaha Agung DAP baharu dilihat tidak sekeras bekas penyandangnya, Lim Guan Eng, sekiranya DAP bersikap lebih pragmatik dan berpeluang melunakkan sedikit label chauvinisme dan anti-Melayu yang sering dikaitkan terhadap mereka, mungkin penyokong parti-parti dalam PN termasuk Pas boleh menerima PH.

"Dalam soal penentuan siapa calon Perdana Menteri pula, saya fikir kedua-dua pihak perlu bersikap lebih terbuka untuk menentukan formula terbaik bagi menyelesaikannya. Mungkin cadangan terbaik adalah koalisi mana yang menang lebih banyak kerusi, maka calon koalisi itu lebih layak menjadi Perdana Menteri,” ujar Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar kepada Sinar Premium pada Selasa.

Cadangan pembentukan khemah besar pembangkang yang turut melibatkan PN mungkin sukar direalisasikan sekiranya PH dan PN gagal menangani dua halangan terbesar ke arah itu.

RISIKO KHEMAH BESAR

Mengulas lanjut, Hisommudin pada saat ini masih melihat lontaran cadangan pembentukan khemah besar pembangkang oleh pemimpin-pemimpin daripada PN dan PH sebagai satu ujian pasaran sama ada rakyat menerima baik idea itu atau sebaliknya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan blok pembangkang sebenarnya perlu membuat penilaian risiko mendalam dan terperinci sama ada idea khemah besar perlu melibatkan PN.

"Kalau PH menerima PN, mereka perlu menilai sejauh mana keuntungan politik bakal diperoleh. Antara risiko bekerjasama semula dengan PN adalah majoriti aktivis PH terutama sebilangan pemimpin PKR akan kecewa dengan keputusan pimpinan menerima golongan pengkhianat kerajaan PH.

"Jadi, perkara ini melibatkan persaingan penerimaan dalam kalangan penyokong parti masing-masing sama ada dari blok PH dan PN. Sudah tentu satu tinjauan atau kajian yang lebih terperinci diperlukan bagi memastikan formula khemah besar berakhir dengan solusi ‘menang-menang’,” katanya.

Satu lagi persoalan adalah sama ada strategi itu diterima oleh kelompok pengundi atas pagar atau tidak cenderung menyokong mana-mana parti politik.

Hal ini kerana terdapat pandangan majoriti rakyat Malaysia kini berdepan fenomena kelesuan politik disebabkan mereka muak dengan agenda percaturan elit politik tidak berkesudahan untuk meraih kuasa.

"Golongan pengundi atas pagar ketika ini sudah malas hendak ambil tahu apa yang berlaku di peringkat elit politik. Paling penting, mereka mahukan satu kumpulan politik yang boleh memberi jaminan pembentukan kerajaan stabil, kuat dan tiada lagi episod lompat parti.

"Hakikatnya kefahaman ini sahaja yang memberi kelebihan kepada UMNO dan BN untuk menang besar pada PRN Melaka dan Johor, susulan mereka melihat blok pembangkang terutama PH berpecah-belah dan tidak mampu membentuk kerajaan stabil,” tegas Hisommudin.

Atas faktor itu, sudah menjadi tanggungjawab kepada blok pembangkang untuk meyakinkan kembali rakyat bahawa mereka berupaya membentangkan teori dan formula pembentukan kerajaan stabil dalam mendepani PRU15 supaya peristiwa Langkah Sheraton tidak berulang.

Dengan strategi mengemukakan tawaran manifesto luar biasa, mengungkit isu rasuah dan kleptokrasi dalam kalangan pimpinan BN dianggap lapuk, kelompok pengundi atas pagar merangkumi 12 juta orang sebenarnya lebih berminat mengetahui siapa boleh memberi jaminan membentuk kerajaan stabil pasca PRU15.

"Jika PH dan PN menyedari kekalahan koalisi masing-masing pada PRU15 bakal menamatkan jangka hayat politik mereka, seharusnya kedua-dua koalisi bersikap lebih pragmatik dan mengurangkan ego demi menjayakan strategi satu lawan satu,” luah Hisommudin lagi.

Klik di sini untuk terus membaca