REMBAU - Meskipun jasad ayahnya yang dipercayai mati dibunuh kira-kira 11 tahun lalu masih tidak ditemui, namun jauh di sudut hati Ibrahim Hamzah, 33, orang tuanya itu masih hidup.
Sehingga hari ini setiap kali ternampak tubuh lelaki kurang siuman di mana-mana, matanya akan menoleh kerana merasakan kemungkinan itu adalah ayahnya.
"Walaupun secara zahirnya ayah sudah tiada, tapi hati saya berat nak mengatakannya kerana mayatnya sehingga kini tidak pernah ditemui.
"Sebab itu setiap kali saya nampak orang kurang siuman, saya akan menoleh kerana terfikir itu mungkin ayah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Taman Chembong di sini.
Ibrahim bagaimanapun berkata, itu bukanlah bermaksud dia tidak menerima ketentuan Ilahi bahawa ayahnya sudah tiada.
Malah, Ibrahim pernah bermimpi yang ayahnya memberitahu dia tidak mati, sebaliknya telah disorok bunian selepas berjaya menyelamatkan diri daripada cuba ditenggelamkan oleh penjenayah.
Meskipun kes itu sudah 11 tahun berlalu, jalan cerita kehilangan ayah yang dimaklumkan polis masih tersemat dalam ingatannya.
"Saya masih ingat pada 8 Oktober 2011, selepas Maghrib ayah keluar rumah tanpa beritahu apa-apa. Selepas itu dia tidak pulang buat selama-lamanya.
"Kami buat laporan polis. Disebabkan selepas seminggu tiada sebarang berita, kami ikhtiar mencarinya di sekitar Rembau sehingga ke Alor Gajah, Melaka,” katanya.
Jelas Ibrahim, keluarga turut mencari ayahnya sehingga ke Alor Gajah kerana sebelum itu dia pernah memberitahu mahu mengutip hutang daripada kawannya di sana.
Bagaimanapun, katanya, polis memberitahu kereta ayah telah dijumpai terbakar di Bandar Enstek, Nilai, namun dia tidak dijumpai.
Bermula dari situ, kata Ibrahim, siasatan dilakukan melibatkan tangkapan seramai 20 orang suspek.
"Berdasarkan keterangan daripada suspek yang telah dimaklumkan polis kepada kami, ayah telah ditikam dan dikelar dalam pergaduhan.
"Suspek kemudian telah mengikat batu pada badan ayah dan dibuang ke dalam Sungai Mambau di Taman Angsamas. Tapi operasi mencari mayat ayah di lokasi itu tidak menemui apa-apa,” katanya.
Ibrahim bagaimanapun berkata, dia sedikit pun tidak menyimpan dendam dengan suspek yang telah dijatuhkan hukuman.
MASIH SIMPAN BARANG ANAK
KAJANG - Tanggal 15 April 2019, negara dikejutkan dengan berita seorang kanak-kanak lelaki, Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi hilang selepas keluar dari rumahnya di Pangsapuri Seri Dahlia, Bandar Seri Putra di sini.
Ketika itu, Muhammad Zahiruddin berusia 8 tahun keluar untuk bermain berdekatan kawasan rumah, namun sehingga kini anak bongsu daripada lima beradik itu masih belum pulang.
Ibunya, Sainih Sunding, 49, berkata, dia tidak putus doa dan sentiasa mengharapkan kepulangan anaknya.
Menurutnya, dia mengambil keputusan berpindah ke rumah baharu beberapa bulan selepas kejadian kerana banyak kenangan bersama Muhammad Zahiruddin di rumah lama.
"Saya tak boleh duduk di rumah lama kerana asyik terkenangkan Zahiruddin, namun saya tinggal berdekatan. Jika dia pulang, orang-orang di situ boleh maklumkan kepada saya.
"Barang-barang Zahiruddin saya masih simpan, cuma baju terakhir yang belum dibasuh sudah tiada kerana diberikan untuk tujuan pencarian namun sehingga kini tidak dipulangkan,” katanya kepada Sinar Harian.
LANGSIR BAHARU SAMBUT ANAK
KOTA BHARU - Seorang ibu tetap teruja menghias rumah dengan menggantikan langsir dan menukar tikar getah baharu sempena Aidilfitri ini bagi menyambut kepulangan anak bongsu yang masih hilang di laut.
Besah Dollah, 78, ibu kepada orang hilang, Mohd Rafi Omar, 38, tetap menunggu kepulangan anak lelaki daripada tujuh beradik itu walaupun sudah lapan bulan berlalu.
Kakak mangsa, Zakiah Omar, 52, berkata, ibu mereka kerap bermimpi melihat Mohd Rafi atau mesra dipanggil Su dalam kalangan ahli keluarganya itu pulang ke rumah setelah hilang di laut di perairan Pantai Sabak di sini ketika mencandat sotong pada 19 Ogos 2021.
"Sejak akhir-akhir ini, ibu memberitahu banyak kali bermimpikan adik saya pulang ke rumah tetapi wajahnya tidak jelas.
"Cuma kali terakhir dia bermimpi pada jam 3 pagi minggu lepas, wajah Su jelas pulang ke jeti bersama bot fiber miliknya di Kuala Besar dengan diselamatkan oleh bot nelayan lain yang besar,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam kejadian lalu, Mohd Rafi keluar bersama abangnya, Mohd Zaki Omar, 49, dari rumah mereka di Kampung Pulau Gajah dan menaiki bot berasingan dari Jeti Nelayan Pantai Sabak untuk pergi mencandat sotong.
Mohd Rafi pulang dengan hasil tangkapan yang kurang memuaskan menyebabkan dia kembali turun ke laut dan dikhuatiri hilang selepas tidak pulang sejak hari tersebut.
Klik di sini untuk terus membaca