SHAH ALAM - Merayakan Syawal pertama sebagai wakil rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh mencipta kelainan dengan mengecat bangunan-bangunan lama di sekitar DUN terbabit.
Muhamad Akmal berharap inisiatif mengecat bangunan-bangunan lama dengan warna-warna ceria akan memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri warga Merlimau pada tahun ini.
"Selalu kita tengok orang mengecat rumah setiap kali tiba Syawal tetapi istimewa pada tahun ini sempena saya menjadi wakil rakyat, kita mengecat bangunan-bangunan lama di sekitar Merlimau dengan pelbagai warna untuk menambah lagi keceriaan. Projek bermula pertengahan bulan Mac dan tamat pada pertengahan bulan April.
"Tahun ini penduduk Merlimau memang betul-betul raya sakan,” ujarnya penuh semangat kepada Sinar Premium.
Dalam pada itu, menurut Muhamad Akmal yang menyambut raya di kampung Merlimau Tengah, kelainan ketara beraya pertama kali sebagai wakil rakyat adalah skala sambutan yang lebih besar berbanding tahun-tahun sebelum ini.
"Ini kali pertama kita menjadi milik rakyat, ada juga rasa sedikit gementar. Biasanya kita menyambut raya bersama keluarga sahaja tetapi kali ini beraya bersama rakyat.
"Persiapan masih sama namun dalam skala yang lebih besar, dulu kalau mengadakan rumah terbuka jemputan terdiri daripada rakan-rakan tetapi kali ini jemputan lebih ramai.
"Insya-ALLAH rumah terbuka akan diadakan di kediaman saya pada sebelah malam hari raya kedua, pelbagai juadah enak disediakan dan semua dijemput hadir khususnya warga Merlimau,” ujarnya lagi.
Berkongsi rutin setiap kali tiba hari lebaran, Muhamad Akmal berkata, seluruh kaum keluarga yang berkesempatan pulang ke kampung akan berkumpul pada petang mantai bagi membuat segala persiapan raya.
"Keluarga saya selalu berkumpul pada petang mantai untuk melakukan persiapan raya seperti mengemas rumah, memasak juadah raya, membuat dodol dan tidak ketinggalan menziarahi dan membersihkan kubur ahli keluarga yang telah tiada.
"Dan pada pagi raya, kami sekeluarga berkumpul dan saling bermaaf-maafan,” katanya lagi.
LONTONG MASAKAN IBU
Ditanya juadah yang menjadi pilihan utama di pagi raya selain ketupat dan rendang, anak jati Merlimau berumur 34 tahun itu mengakui amat menggemari lontong dan sambal ikan bilis yang dimasak ibunya.
"Paling istimewa saya selalu meminta ibu untuk memasak lontong dan sambal ikan bilis, apa sekali pun mesti kena ada,” katanya lagi.
Muhamad Akmal juga sempat berkongsi satu kenangan raya mencuit hati sewaktu kecil yang masih diingati sehingga ke hari ini.
"Malam sebelum raya, saya berdegil mahu pakai baju raya (baju Melayu) ketika mengikut orang kampung bertakbir raya walaupun ibu sudah melarang.
"Pulang mengikut orang kampung bertakbir raya, kawan-kawan mengajak pula bermain bunga api dan mercun. Mahu dijadikan cerita, baju raya saya terkena bunga api dan terkoyak.
"Akibat tidak mendengar kata ibu, esoknya saya terpaksa beraya dengan baju koyak namun ia tidak langsung mematahkan semangat untuk terus beraya keliling kampung,” ujar beliau.
Di akhir bicara, Muhamad Akmal sempat mengingatkan dalam keterujaan menyambut Aidilfitri janganlah leka untuk terus mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) agar terlindung daripada dijangkiti Covid-19.
"Setelah dua tahun tidak dapat beraya akibat keterbatasan pergerakan, Alhamdulillah tahun ini kita diberi kesempatan pulang kampung untuk berhari raya berkat usaha frontliners dan rakyat mematuhi SOP.
"Namun dalam keterujaan dan kegembiraan menyambut raya SOP jangan sesekali dilupakan,” ujar Muhamad Akmal yang turut menyusun 10 jari memohon maaf kepada semua warga Merlimau dan rakyat Melaka atas segala salah dan silap.
Klik di sini untuk terus membaca