SHAH ALAM - Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini pastinya paling meriah buat umat Islam di Malaysia setelah dua tahun menyambutnya dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan pergerakan rentas negeri dan daerah.
Hampir pasti juga ramai tidak melepaskan peluang pulang ke kampung halaman masing-masing demi meraikan hari kemenangan itu bersama kaum keluarga dan sahabat handai.
Tidak ketinggalan, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau lebih dikenali dengan panggilan mesra Dira Abu Zahar yang teruja untuk menyambut kedatangan Syawal pada kali ini.
Pernah meniti dunia glamor ketika bergelar pelakon, pengacara dan pengarah, Dira kini Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka (ADUN) Rim susulan kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November 2021 di bawah tiket Barisan Nasional (BN).
Ketika ditemubual Sinar Premium baru-baru ini, Dira mengakui sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini terasa sedikit berbeza berbanding sebelum bergelar Yang Berhormat (YB) atau wakil rakyat.
"Tidak terfikir sebenarnya bakal menyambut raya sebagai YB pada tahun ini, tetapi perasaan kali pertama ini sangat overwhelming (luar biasa), gementar dan pada masa sama gembira.
"Jika sebelum ini kita menjaga diri dan keluarga sahaja, paling pun kita mengadakan program menghulurkan sumbangan dengan kumpulan kecil tetapi setelah bergelar YB kita harus melayani pelbagai lapisan masyarakat terutama dalam kawasan sendiri, seperti saya di DUN Rim,” katanya lagi.
Dalam pada itu, seperti ramai lagi rakyat Malaysia yang terpaksa beraya PKP akibat penularan Covid-19, Dira turut menzahirkan kegembiraan kerana akhirnya dapat pulang meraikan hari lebaran di kampung halaman tercinta.
"Saya pun antara yang terkesan tidak dapat pulang beraya akibat PKP sebelum ini. Pada tahun 2020 saya beraya di rumah sendiri di Kuala Lumpur manakala pada tahun 2021 saya terpaksa menyambut raya di rumah singgah keluarga ibu saya di Bangi.
"Sambutan raya dua tahun berkenaan langsung tidak seronok kerana saya selalunya akan pulang kampung di Merlimau (kampung arwah ayah) dan Rim (kampung arwah ibu) sama ada sebelum atau selepas bergelar YB,” ujar ibu kepada lima cahaya mata itu.
Tambah Dira lagi, telah menjadi kebiasaan kaum keluarganya pulang ke kampung sekurang-kurangnya dua hari sebelum raya dan menjadi kebiasaan juga sebelum ini untuk ahli keluarganya mengacau dodol serta menganyam ketupat sebagai persediaan menyambut Syawal.
"Tetapi sekarang ramai ahli keluarga yang telah bertambah usia dan sudah tidak larat mengacau dodol sendiri di rumah, jadi saya melakukannya bersama-sama dengan program masyarakat setempat.
"Namun yang pasti kami sekeluarga akan berkumpul, memasak bersama dan makan beramai-ramai untuk sambutan raya.
"Menariknya, keluarga saya lebih ramai perempuan berbanding lelaki jadi kami teruja untuk melihat rekaan baju masing-masing, warnanya dan sulamannya,” ujar Dira.
Katanya lagi, setiap kali Syawal menjelma juadah yang menjadi kegemaran dan wajib ada selain rendang adalah sambal kacang resipi turun-temurun keluarganya.
"Resipi turun-temurun dari arwah nenek kepada ibu saya, kakak sulung dan kakak keempat saya yang hebat memasak sambal kacang sesedap air tangan arwah nenek tetapi kakak saya itu telah meninggal dunia pada Syawal tahun lalu.
"Sebagai anak yang bongsu, agak menyesal juga tidak belajar daripada kakak saya cara memasak sambal kacang tersebut,” katanya lagi.
Ditanya kenangan raya sewaktu kecil yang masih terpaut diingatan, Dira mengakui seisi keluarganya gemar bermain bunga api.
"Ada satu ketika saya ‘tersalah’ bakar tetapi Alhamdulillah tiada apa-apa berlaku. Tidak mahu bercerita lebih sebab benda itu agak ‘menyeramkan,” katanya.
Mengakhiri perbualan, Dira menyatakan akan mengadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama rakyat di DUN Rim selagi mana dibenarkan prosedur operasi standard (SOP).
"Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua umat Islam di Malaysia dan memohon maaf kepada semua khususnya kepada masyarakat di DUN Rim andai kata dalam tempoh beberapa bulan saya menjaga kawasan ini masih belum mencapai harapan dan ekspektasi ramai,” katanya lagi.
Klik di sini untuk terus membaca