SHAH ALAM - Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berhasrat untuk terus bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya diberikan peluang oleh partinya, Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Menurutnya, walaupun mengambil keputusan untuk tidak bertanding dalam pemilihan PKR, beliau masih mahu berkhidmat kepada rakyat sebagai ahli Parlimen.
"Saya sudah lahirkan suara saya menerusi surat kepada anggota parti dan memaklumkan kepada mereka, saya nak tumpukan kepada Kempen Ayuh Malaysia.
"Jika berikan kerusi untuk bertanding (PRU15), saya memang alu-alukan. Saya mahu terus bertanding dalam pilihan raya akan datang sekiranya diputuskan oleh pimpinan,” katanya pada program Bersama Johan Jaaffar di Kompleks Karangkraf pada Rabu.
Sementara itu, mengulas mengenai pertandingan dua penjuru bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah percaya pertembungan antara Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Rafizi Ramli tidak akan mengulangi peristiwa pahit sebagaimana pemilihan PKR pada 2018 membabitkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi.
Jelasnya, situasi pertandingan antara Saifuddin dan Rafizi kali ini jauh berbeza dengan situasi pada tahun 2018.
"Situasinya jauh berbeza dan memang tak boleh disamakan dengan nilai, pada pandangan saya secara peribadi yang mengenali mereka agak lama.
"Tetapi pada masa sama, sudah tentu kalau diberikan pilihan, kita mahu tumpuan kepada pilihan raya umum. Tetapi sekarang dengan proses yang telah dimulakan, saya percaya dengan perbualan dan perbincangan saya dengan Rafizi, kita memang melihat segala usaha ke arah itu.
"Cara Datuk Seri Saifuddin berucap pun, ‘gentlemanly’ tapi sudah tentu kita nak kembali kepada perjuangan asal kita iaitu menang dalam pilihan raya dan menjaga agenda berkebajikan untuk rakyat,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca