SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disaran mengkaji semula syarat kenampakan anak bulan dalam kaedah penyusunan takwim hijri penetapan 1 Syawal supaya tidak timbul kekalutan menyambut Hari Raya Aidilftri kerana situasi itu memberi kesan kepada ekonomi, kehidupan dan kemashlatan ummah.
Ahli Falak daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Baharuddin Zainal berkata, sebelum ini, syarat kenampakan anak bulan ditetapkan pada ketinggian dua darjah dan jarak sendeng tiga darjah atau umur bulan lebih lapan jam.
Katanya, bagaimanapun, mulai Muharram 1443H, syarat penampakan anak bulan yang ditetapkan adalah pada ketinggian tiga darjah dengan jarak sendeng 6.4 darjah.
"Dahulu syarat kenampakan anak bulan rendah, maka timbul saranan supaya mengambil kira rekod kenampakan anak bulan sebelum ini untuk dibuat syarat. Masalahnya saintis tidak akan dapat satu teori (penggunaan syarat kenampakan anak bulan) yang betul sepenuhnya dengan hasil cerapan.
"Namun, usaha perlu dibuat untuk mendapatkan syarat yang benar-benar menepati keputusan rukyah nanti. Bagi penentuan Syawal kali ini, dengan sifat bulan ‘border line’ menimbulkan spekulasi tarikh permulaan awal bulan Syawal,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Ahad lalu, ramai terkejut apabila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan Hari Raya Aidilfitri disambut umat Islam di Malaysia pada keesokannya, Isnin.
Ia susulan ramai yang menjangkakan tarikh Hari Raya Aidilfitri jatuh pada 3 Mei sebagaimana di dalam takwim rasmi Jakim.
Mengulas lanjut, Baharuddin menjelaskan, perubahan pada syarat kenampakan anak bulan itu sepatutnya menggambarkan syarat kenampakan anak bulan yang digunakan sepadan dengan takwim kegunaan awam.
Apabila takwim tidak sama dengan keputusan melihat anak bulan, sudah tentu ia menjejaskan kredibiliti takwim hijri itu sendiri.
"Jadi saya rasa pihak berkuasa patut kaji semula kredibiliti syarat ini dengan sedikit penyesuaian dengan melihat secara terperinci apakah nilai sebenar yang menentukan anak bulan itu boleh kelihatan. Terutama penggunaan nilai sudut jarak sendeng yang agak besar berbanding dengan rekod kenampakan anak bulan sebelum ini.
"Sebaik-baiknya syarat yang digunakan nanti adalah adalah sepadan dengan anak bulan yang kelihatan,” ujarnya.
Beliau menegaskan, masyarakat memerlukan takwim yang mereka yakin sebagaimana mereka yakin apabila merujuk jadual waktu solat dalam takwim.
"Oleh itu kajian penggunaan syarat kenampakan anak bulan perlu dilakukan secara berterusan. Pihak berkuasa juga boleh mempertimbangkan penggunaan rekod kenampakan anak bulan tempatan atau sekurang-kurangnya di rantau Asia Tenggara,” katanya.
Memperincikan kaedah penetapan 1 Syawal tersebut, menurut beliau, ia mengikut kaedah rukyah dan hisab yang diamalkan di Malaysia dan hanya terdapat perbezaan dari segi syarat kenampakan anak bulan berbanding syarat yang digunakan sebelum ini.
"Prosedurnya melihat anak bulan, jika kelihatan di mana-mana tempat rasmi, maka penggunaan syarat tidak terpakai.
"Tapi oleh sebab sifat anak bulan kali ini berada dalam keadaan hampir memenuhi syarat, maka timbullah berbagai spekulasi,” tambahnya.
Namun, dari segi kaedah rukyah dan hisab, penetapan tarikh pada takwim mengikut syarat yang ditetapkan dan apa-apa yang dispekulasikan tidak boleh dimaklumkan lebih awal kepada umum, kerana rukyah perlu dilakukan terlebih dahulu.
Klik di sini untuk terus membaca