BARU-BARU ini saya dijemput seorang sahabat lama untuk berkongsi cerita mengenai SDGs atau Matlamat Pembangunan Mampan kepada sekumpulan pemimpin yang menerajui khazanah ilmu negara yang datang daripada pelbagai pelosok negeri dan bagaimana... Klik di sini untuk terus membaca

BARU-BARU ini saya dijemput seorang sahabat lama untuk berkongsi cerita mengenai SDGs atau Matlamat Pembangunan Mampan kepada sekumpulan pemimpin yang menerajui khazanah ilmu negara yang datang daripada pelbagai pelosok negeri dan bagaimana mereka dapat membantu kerajaan mencapai SDGs ini menjelang tahun 2030.

Dalam kolum saya ini juga beberapa bulan yang lalu saya pernah menulis panjang lebar mengenai SDG ini dan bertanya adakah sudah cukup semua usaha kita untuk mencapai kesemua 17 matlamat yang dikenal pasti?

Namun apabila kita melihat papan pemuka status Malaysia mengenai SDG setakat ini, kita dapati daripada 17 matlamat itu, hanya satu yang kita telah capai dan ditandakan dengan warna hijau. Yang 16 lain masih lagi berwarna kuning (6), oren (4) dan merah (6). Tiap-tiap warna itu memberi indikator tahap pencapaian kita, dan merah menunjukkan yang kita masih belum berjaya menunjukkan sebarang kemajuan.

Pada masa yang sama saya pasti ada yang ingin tahu apakah sebenarnya matlamat yang telah kita berjaya capai itu? Berdasarkan status laporan yang saya semak, Malaysia telah berjaya mencapai matlamat yang diletakkan pada SDG No. 1 iaitu tiada lagi kemiskinan dalam negara.

Syabas kita ucapkan kepada kerajaan atas kejayaan ini, namun suka atau tidak ramai daripada kita yang masih terdedah melihat kemiskinan dalam kalangan rakyat di sekeliling kita. Miskin dan kemiskinan seseorang itu adalah satu perkara subjektif.

Ada orang yang pendapatan isi rumahnya rendah tetapi oleh kerana mereka berada di kawasan luar bandar atau kampung di mana hasil buminya lumayan, maka orang tersebut dan keluarganya dapat hidup dengan selesa berbanding keluarga lain yang pendapatan isi rumahnya sama tetapi cuba hidup di tengah-tengah kota.

HARAP MAKANAN PERCUMA

Pun begitu sambil kita bergembira sekurang-kurang ada matlamat yang telah kita capai berdasarkan indikator yang dipersetujui di peringkat dunia, kita hanya ada lapan tahun sahaja lagi untuk diusahakan agar kesemua 17 matlamat tercapai.

Namun kita agak khuatir melihat data mengenai SDG No. 2 iaitu Zero hunger.

Kalau kita sudah berjaya menghapuskan kemiskinan, kenapa SDG No. 2 ini status kita masih lagi merah? Kita tahu dan sedar, masih ramai lagi rakyat yang mengharapkan belas ihsan dan bantuan daripada dapur-dapur bergerak yang memberi makanan percuma kepada rakyat yang memerlukan. Jadi sejauh mana benarnya kita sudah selesaikan masalah kemiskinan?

Saya sedia maklum bahawa SDG 2 ini lebih daripada hanya menamatkan masalah kebuluran, tetapi juga harus menangani masalah keselamatan makanan, menambah baik nutrisi dalam pemakanan dan menentukan pertanian kita mampan.

Namun pada masa yang sama kita juga ada membaca laporan akhbar mengenai isu bekalan ayam. Isu kenaikan harga ayam, walaupun bukan isu yang baru tetapi sangat membimbangkan sekiranya masalah ini berlanjutan. Ia boleh menjadi ancaman kepada keselamatan dan kecukupan makanan nasional.

Berdasarkan laporan survei perbelanjaan isi rumah tahun 2019, 88 peratus isi rumah di Malaysia berbelanja untuk membeli ayam sebagai sumber makanan kedua terpenting selepas beras yang mencatat 96.9 peratus. Maknanya dua sumber makanan ini adalah antara makanan yang penting untuk rakyat.

Negara memerlukan strategi jangka panjang untuk kemampanan bekalan makanan ruji nasional ini. Kita sudah terlalu lama bergantung kepada negara pengeksport makanan lain. Apa akan berlaku sekiranya negara-negara ini juga menghadapi masalah bekalan dalam negara mereka?

Pada hari Jumaat terakhir dalam bulan Ramadan yang lalu, dalam doa pada khutbah kedua, khatib memohon agar agensi yang mengawal selia zakat dan fitrah menggunakan kebijaksanaan mereka untuk menentukan agar rakyat yang memerlukan dibantu dengan segera.

Sempena bulan Syawal ini, marilah kita memikirkan jalan lebih baik bukan sahaja selesaikan masalah kemiskinan atas kertas tetapi dapat selesaikan segala rintihan rakyat.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia, dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM

Klik di sini untuk terus membaca