PADA Jumaat (malam Sabtu) terakhir Ramadan 1443, saya bersama rakan saya, Prof Woo Wing Thye dan Wo Chang Xi menyertai sesi iftar beramai-ramai, ala Madina, di premis Sinar Harian, Shah Alam. Ruang kosong tempat letak kereta diletakkan... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Jumaat (malam Sabtu) terakhir Ramadan 1443, saya bersama rakan saya, Prof Woo Wing Thye dan Wo Chang Xi menyertai sesi iftar beramai-ramai, ala Madina, di premis Sinar Harian, Shah Alam.

Ruang kosong tempat letak kereta diletakkan tikar yang berlanjut dari satu hujung ke hujung lain. Kecuali mereka yang kurang keupayaan dan uzur duduk makan di beberapa meja di tepi, tetamu lain duduk bersila di atas tikar.

Bagi kami, maksud pengaturan jelas sekali, semua duduk sama rendah, sekalipun jika kita tidak dapat berdiri sama tinggi kerana kelainan tubuh kita.

Ini ada kesamaan dengan kehidupan masyarakat. Kita tidak mungkin mencapai kesamarataan mutlak dalam kejayaan atau keempunyaan tanpa menyekat kebebasan dan kemajuan masyarakat. Sudah pasti ada yang lebih berjaya atau lebih kaya daripada yang lain, mungkin kerana pilihan, usaha, bakat atau tuah.

Akan tetapi, ketidaksamarataan ini tidak boleh keterlaluan sampai persaudaraan antara manusia pun terhakis. Apabila masyarakat secara keseluruhannya dapat hidup selesa, maka golongan yang paling kekurangan harus dijamin kualiti kehidupan asas yang secukupnya.

Pada pagi hari raya, saya menerima satu video clip bertajuk "Ini Bukan Iklan Raya” hasilan Iskul Sama DiLaut Omadai, sebuah sekolah komuniti di Pulau Omadal di Semporna, Sabah.

BERAYA DALAM KEMISKINAN

Ini kisah dua orang remaja miskin dan kurus suku kaum Sama DiLaut (Bajau Laut) yang tinggal di rumah kayu atas air.

Apabila anak-anak jiran mereka yang lebih berada pakai baju baru pergi menziarahi saudara di pantai dengan bot berenjin, hiburan raya mereka yang serba kekurangan ialah mengayuh perahu untuk bermain bola di pantai yang sama.

Selepas kanak-kanak itu balik dengan bot, salah seorang remaja itu menangis pada rakannya di jeti.

"Kenapalah nasibku begini? Kita bukan macam diaorang itu, pakai baju baru, dapat berjalan-jalan... Malas sudah aku hidup begini. Aku penat hidup begini. Kita ini miskin, tiada duit,” budak itu mengeluh dalam bahasa Sama DiLaut.

Rupa-rupanya, bukan saja raya tidak berupaya dirayakan selain bermain bola, malah seliparnya yang tertinggal di tepi rumah saudara kanak-kanak itu terpakai oleh salah seorang kanak-kanak. Dah tiada baju baru, kini perlu berbelanja membeli selipar baru.

Dan irama lagu Saloma Selamat Hari Raya pun bermain. Baru saya sedar, ayat 'miskin kaya memakai baju baru warna-warni' itu sebenarnya hanya boleh berlaku jika orang miskin tidak terlalu miskin.

Malangnya, kemiskinan seperti kaum Sama Dilaut yang kebanyakannya tiada kewarganegaraan kerana kehidupan nomad di laut sering tersembunyi kerana kelainan mereka.

Sememangnya naluri manusia sering mengaitkan kesamarataan dengan kesamaan.

Untuk yang sama kaum, agama atau bahasa dengan kita, kita biasanya lebih sedia untuk menghulurkan pertolongan, lebih-lebih lagi jika kelihatan berlaku ‘perlumbaan’ daripada ‘orang lain’ yang juga ingin membantu.

Sebaliknya, kita kerap kehilangan empati kepada insan lain kerana kelainan mereka.Kelainan ini mungkin kerana kewarganegaraan, agama, kaum, bahasa atau kelas, seolah-olah mereka tidak layak hidup bermaruah sebelum mereka dijadikan seperti kita.

Dalam konteks ini, indah sekali ingatan Surah Al-Hujurat "Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal.”

*Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca