JOHAN JAAFFAR: YB dinobatkan sebagai Wanita Paling Berpengaruh di CEO Summit, Singapura pada tahun 2018. Dalam ucapan, YB ada menyatakan harapan untuk memperkasakan wanita khususnya di Malaysia dalam proses membuat perubahan demi Malaysia... Klik di sini untuk terus membaca

JOHAN JAAFFAR: YB dinobatkan sebagai Wanita Paling Berpengaruh di CEO Summit, Singapura pada tahun 2018. Dalam ucapan, YB ada menyatakan harapan untuk memperkasakan wanita khususnya di Malaysia dalam proses membuat perubahan demi Malaysia yang lebih baik dan progresif. Adakah YB berpuas hati dengan pencapaian wanita Malaysia setakat ini?

NURUL IZZAH: Daripada dahulu, saya mendesak agar agenda keupayaan wanita termasuklah perlindungan untuk kanak-kanak itu diarusperdanakan sebagai agenda utama kabinet dan pentadbiran, seolah-olah merentasi kementerian dan kerajaan. Agendanya adalah untuk mengangkat semua golongan termasuklah golongan rentan kerana itu di bawah portfolio wanita.

Akhirnya, mungkin hasil daripada pandangan ramai dan kelemahan daripada peringkat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sendiri, kerajaan telah mengumumkan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi mengutamakan kebajikan golongan rentan. Pada saya, itu mungkin dalil utama ia diwujudkan, namun kita bersyukur ia diangkat.

Kita harus melakukan lebih banyak lagi, sebagaimana yang diusahakan dahulu oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Pada awalnya, ada tiga rang undang-undang diutamakan sebelum Langkah Sheraton.

Pertama, memperkenalkan undang-undang antigangguan seksual. Kedua, mengangkat status pekerja sosial dan ketiga, untuk warga emas. Pada saya, bila dah wujudkan jawatankuasa kabinet, kita kena perkenalkan ketiga-tiga RUU ini dan memastikan segala yang dirancang, dilaksanakan sehingga ke peringkat bawah.

Mewujudkan akta memungkinkan kenyataan itu, satu hal. Tapi realitinya adalah pelaksanaannya. Adakah YB merasakan pelaksanaannya mengikut rancangan yang difikirkan ketika itu?

Dalam setiap perkara, undang-undang adalah satu dimensi. Kita bercakap tentang dimensi pelaksanaan, dimensi sampai ke tahap dijatuhkan hukuman. Berapa undang-undang di Malaysia ini sebenarnya yang mencapai sasarannya? Jadi, di peringkat Kumpulan Parlimen Rentas Parti (APPGM) yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Azalina Othman Said, isu reformasi penjara, isu tahanan lain, kita sentiasa bincangkan. Dari peringkat mereka yang didakwa di mahkamah hingga ke peringkat bagaimana hakim dan majistret menjatuhkan hukuman serta apabila mereka keluar daripada institusi.

Nurul Izzah (kanan) ketika diwawancara dalam program Bersama Johan Jaaffar yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam.FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Apakah proses perlindungan atau rehabilitasi untuk memberikan keadilan untuk mereka yang masuk penjara disebabkan kemiskinan contohnya, mendapat peluang kedua untuk mendapat kehidupan baharu. Pada saya, kita masih kurang jaringan dan seolah-olah bergerak dalam cara berbeza atau berasingan. Di mana letaknya kalau kita nak pantau, kita nak tengok integrasi kukuh dan mampu melahirkan impak kepada mangsa atau orang yang mahu kita lindungi.

Ini merupakan cabaran besar dan bukannya mudah kerana kita ada undang-undang. Adakah satu daripada puncanya, kita kurang perwakilan wanita dalam proses membuat keputusan yang memungkinkan suara yang lebih lantang untuk memastikan itu semua berlaku?

Saya setuju. Tapi, pada masa sama, kita juga kena desak golongan lelaki yang dipilih sebagai wakil rakyat atau yang diangkat sebagai menteri untuk mengutamakan isu-isu ini. Kita nak KPWKM diberikan peranan tertentu tapi malangnya kementerian wanita sering kali dilihat sebagai kementerian kedua selepas kementerian seperti Kementerian Pertahanan atau Kementerian Dalam Negeri. Sedangkan semasa pandemik, yang menjaga golongan rentan dan yang sangat tertekan daripada sosio ekonominya adalah kementerian wanita. Siapa yang kita kena pergi dan boleh rujuk kalau kita sakit? Tentunya Kementerian Kesihatan tapi perspektif ini, kita memang perlukan lebih banyak perwakilan wanita.

Dalam korporat, kita ada sasaran 30 peratus wanita berada dalam lembaga pengarah syarikat, terutamanya syarikat yang tersenarai. Tapi, sasaran itu masih jauh. Adakah YB puas hati dalam konteks politik?

Memang jumlahnya tidak memberangsangkan. Kalau di Parlimen, sudah tentu kita kena berusaha lagi dan kalau boleh, kita nak perwakilan itu menggambarkan jumlah wanita di Malaysia yang hampir setengah di negara ini. Pada saya, banyak lagi perkara yang harus dilakukan. Contohnya, bukan semua yang mahu menjadi ahli politik tetapi mungkin kerana landskapnya sangat membebankan. Apabila melalui pandemik, mereka mengalami beban berganda, merekalah orang pertama yang kena tinggalkan kerjaya dan mereka juga yang tergolong dalam sektor informal tanpa perlindungan insurans kerja atau perlindungan sosial.

Separuh daripada rakyat kita adalah wanita tetapi nampaknya itu tidak refleks atau menggambarkan situasi perwakilan wanita dalam pelbagai lapangan. Apakah kerana sistem politik itu misoginis sifatnya?

Saya agak setuju, Tan Sri. Memang ada elemen tersebut tetapi Alhamdulillah, pada masa sama ada juga kesedaran. Bila ada kesedaran, maka dengan sendirinya melahirkan langkah-langkah dan tindak balas tertentu supaya kita lebih sensitif dan meraikan hubungan yang sihat dalam ruang bekerja.

Contohnya di Parlimen, ada banyak juga kecaman sekiranya disuarakan komentar-komentar misoginis, seksis dan kerana itu, kita kena faham ada dua cabang utama yang mengakibatkan perkara sedemikian.

Satu, kita gunakan cabang untuk undang-undang tapi pada masa sama, pembudayaan. Kita juga kena faham, kadang kala kita kena tahu latar belakang keluarga, latar belakang sosial, maka ia satu perjuangan yang sentiasa perlu diteruskan dengan empati, termasuklah tindakan menghukum.

Pada tahun 2018, YB secara tiba-tiba melepaskan semua jawatan dalam kerajaan, parti dan yang tinggal cuma kedudukan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh. Mengapa?

Sebenarnya, saya selalu melihat peluang kita untuk berjuang dan menambah nilai. Ia ada di mana-mana, sama ada kita berada dalam politik atau kita berada dalam ruang lingkup seorang suri rumah, ibu yang bekerja kerana kita sentiasa diberikan ruang untuk berbakti.

Semasa saya mengambil keputusan untuk bertanding pada tahun 2008, saya ingat lagi nasihat yang diberikan oleh naqib saya iaitu yang paling dekat dengan ALLAH SWT itu termasuklah wanita yang paling banyak berkebajikan untuk semua. Jadi, isu berkebajikan ini seolah-olah digambarkan sebuah perlumbaan.

Saya nampak pengaruh saya lebih kepada kuasa ‘aliran elektrik’ yang boleh membantu mengutamakan isu-isu tertentu. Saya susah sedikit untuk selesa dengan kedudukan atau pangkat kerana selalunya akan dihisabkan, dihitung. Mungkin, akhirnya saya lebih selesa dengan ruang lingkup yang ada ketika itu untuk menumpukan kepada kerja-kerja di lapangan.

Saya sudah lama berkempen, iaitu sejak tahun 1999. Setiap kali cuti semester sahaja, saya membantu pembangkang untuk berkempen dan ketika itu, kita berhadapan dengan kekalahan. Pada tahun 2004, kita menang satu kerusi sahaja dan dalam minda saya, tidak ada kamus atau perkataan putus asa. Hanya pada tahun 2018, saya nampak peluang bagi saya untuk belajar menerusi projek-projek rintis. Saya telah berjaya meyakinkan Profesor Dr Fatimah Kari yang juga pakar ekonomi.

Antara impian saya adalah melaksanakan kajian indeks kemiskinan pelbagai dimensi di Permatang Pauh. Semasa zaman Covid-19, saya dapatkan beliau. Masa yang terluang daripada berpolitik di peringkat arus perdana, saya mampu tujukan untuk kerja-kerja ini dan akhirnya diangkat oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk 10 projek kajian kemiskinan di seluruh negara.

YB adalah Naib Presiden ketika melepaskan jawatan dalam parti. Dalam parti, ada hierarki dan YB kena ada di mana-mana. Sebenarnya, ramai yang kecewa kenapa YB tak bertanding kali ini?

Langkah atau antara alasan sebenarnya sudah boleh dilihat melalui Langkah Sheraton. Saya banyak mengamati trend-trend tertentu. Saya sudah nampak beberapa tanda tapi tak bermaksud saya tidak bersama Pakatan Harapan (PH).

Kita kena ingat, yang masih bersama dan yang masih di sini adalah mereka yang setia dan tidak mensabotaj kerajaan yang diundi rakyat. Dalam hidup, ada pusingannya. Peti undi demokrasi juga ada pusingannya, jadi kita kena hormat walaupun Barisan Nasional atau sesiapapun. Saya hanya boleh menambah nilai dengan baik menerusi cara ini.

Kalau dilihat prestasi PKR akhir-akhir ini contohnya di Melaka, tak menang satu pun dan kemudian di Sarawak, daripada 28 kerusi yang ditandingi, 22 hilang wang pertaruhan. Menggunakan lambang PKR, menang satu. Apa pandangan YB tentang strategi untuk memperkukuhkan parti pada masa depan?

Saya rasa, ini merupakan kejutan bukan sahaja untuk PKR tetapi banyak lagi parti, lebih-lebih lagi di kala undi bagi UMNO dan BN dikira solid. Maksudnya, pengundi asal mereka keluar untuk mengundi secara berbondong-bondong walaupun peratusan mengundi untuk mereka tidak bertambah sangat, sebaliknya berkurangan.

Saya merujuk kajian UiTM pada 2018, antara punca utama kejatuhan BN pada PRU14 adalah peratusan keluar mengundi orang muda yang tinggi, sampai 41 peratus jumlah undi. Orang muda merupakan king maker sebenar PRU14. Sekarang, daripada negeri-negeri yang Tan Sri sebut termasuk Johor, hanya 54.92 peratus mereka yang layak mengundi, keluar membuang undi selepas penggazetan pendaftar pemilih secara automatik.

Nurul Izzah


Kalau di Melaka, 65.85 peratus dibandingkan dengan 82 peratus semasa PRU14, ada 20 peratus hilang. Sebab itu kita katakan, kena tumpu pengundi atas pagar yang tak mahu mengundi. Mereka merupakan king maker dan mereka boleh melahirkan keputusan yang berbeza. Tinggal lagi, mungkin mereka rasa kecewa dengan ahli politik. Kami yang setia pun kecewa dengan proses. Jadi, kita nak katakan undi anda bernilai dan akan membawa hasil. Ini cabaran utama.

Jadi, kerana itu dalam gerakan Ayuh Malaysia, jelajah itu nanti lebih kepada kita nak mendengar maklum balas orang ramai kerana pada saya, dalam masa pandemik, kita bukan boleh bertemu sangat dengan pengundi. Kita kena jaga juga prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya.

Kita kena mulakan balik dengan gerakan momentum supaya mereka tahu dan tengok analisis bila mereka tidak keluar mengundi, hasilnya memang akan menguntungkan geng kleptokrasi. Di sinilah konteks kekuatan Pakatan Harapan yang harus kita tambah menerusi kehadiran dan keluarnya pengundi atas pagar.

Apakah YB rasa dalam pilihan raya akan datang, keadaan akan kembali seperti 2018, golongan muda keluar mengundi?

Itulah yang kita sedang usahakan. Pada saya, banyak pilihan raya yang kita lalui, kadangkala berkecai hati dan fikiran tetapi tak bermaksud secara strategik. Kita gunakan kekuatan semua yang ada, kita gabungkan menerusi langkah-langkah tertentu. Saya percaya, kalau retoriknya jelas dan berkali-kali kita sebut dan target isu yang mereka rasa dekat dengan mereka, contohnya sekarang isu sekuriti makanan.

Kita tahu selagi tak selesai bab bahan dedak import selepas hari raya ini, maksudnya harga makanan akan melambung naik. Kita kena selesaikan bab itu dan angkat agenda tersebut termasuklah agenda untuk melestarikan alam.

Maka, semua ini akan memberikan kesan kepada pola demografi Malaysia. Rakyat akan lihat parti dan gerakan mana yang mampu meyakinkan rakyat dan kalau rakyat keluar mengundi, isu ini akan dibawa kepada perhatian dan dilaksanakan menerusi langkah-langkah konkrit politik. Insya-ALLAH, kita mampu selesaikannya.

PH telah membuat keputusan untuk meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin mereka untuk menghadapi pilihan raya. Komen YB?

Pada saya, pembangkang sekarang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tentunya dalam PH sendiri, banyak pemimpin yang berkaliber dan berkelayakan. Isu utama adalah bagaimana pembangkang mampu muncul sebagai pencabar utama kerajaan yang dilihat lemah dalam pentadbiran sekarang. Kita kena gabungkan usaha untuk memastikan kita benar-benar menyengat.

Baru-baru ini YB ada komen sukar untuk PH menang dan memerlukan sekurang-kurangnya dua PRU lagi? Bila PRU15?

Sama ada tahun ini atau maksimumnya tahun depan. Jadi, sudah tentu kita ada peluang yang sangat cerah kalau pengundi atas pagar keluar tapi kalau pengundi atas pagar tak keluar? Saya hanya mencoretkan, saya mengisahkan the worst case scenario.

Saya mohon maaf kalau mengguris hati sesiapa, tapi sebagai salah seorang Generasi X yang telah melihat gunung-gunung politik berapi yang dah meletup pun, dari 2004 sampai tinggal satu kerusi. Sudah tentu, bila kita tengok, kita kena sentiasa berhati-hati dan harus bersedia dengan sebarang kemungkinan. Mungkin itu cara saya tapi tak bermaksud saya putus asa.

Apa sebenarnya yang Nurul Izzah mahukan?

Saya percaya Malaysia ini tanah air yang sangat saya kasihi, haruslah dipimpin di setiap peringkat berpandukan keprihatinan dan juga empati. Kita seolah-olah menghadapi dua pola bertentangan. Kita percaya kepimpinan yang prihatin, yang empati, pemimpin yang merasakan apa yang rakyat rasa kerana selepas pandemik. Saya mahu sangat-sangat kita kembali kepada usaha untuk melindungi dan memperbaiki kerosakan sistem yang telah didedahkan menerusi pandemik.

Saya tahu banyak generasi yang hilang menerusi pendidikan dan penutupan sekolah. Saya tahu bagaimana pentingnya sektor kesihatan yang harus menerima pelaburan yang jauh lebih tinggi dari kerajaan dan saya tahu juga, bagaimana kita mampu mengangkat golongan rentan menerusi perlindungan sosial yang lebih menyeluruh.

Saya nampak kita kena sentiasa meneruskan agenda bergantung kepada sifat empati dan keprihatinan pada masa depan yang sangat baik kepada Malaysia. Saya mahu melibatkan diri ke arah Malaysia yang kalis cabaran masa depan ini kerana anak-anak saya di sini, di sinilah tanah air saya dan saya sudah melalui liku-liku sejarah sebagai salah seorang pemimpin Generasi X, maka begitulah saya nampak Malaysia yang bakal muncul dengan keprihatinan dan empati.

Klik di sini untuk terus membaca