KETIBAAN Syawal tentunya disambut meriah oleh rakyat beragama Islam di seluruh negara. Kemeriahan ini dianggap berganda oleh ramai kerana tiada lagi halangan perjalanan atau syarat ketat yang dikenakan untuk perjalanan pulang dan beraya di... Klik di sini untuk terus membaca

KETIBAAN Syawal tentunya disambut meriah oleh rakyat beragama Islam di seluruh negara. Kemeriahan ini dianggap berganda oleh ramai kerana tiada lagi halangan perjalanan atau syarat ketat yang dikenakan untuk perjalanan pulang dan beraya di kampung halaman masing-masing.

Dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri ini kita tidak sepatutnya lupa bahawa di banyak negara yang penduduknya beragama Islam, penduduknya tidak dapat meraikan Syawal dengan gembira, aman serta selamat.

Apa tidaknya, sehingga 2019, dalam seminar yang telah dianjurkan oleh The Statistical, Economic and Social Research and Training Centre for Islamic Countries (SESRIC) yang merupakan sebahagian daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), mendapati 60 peratus daripada konflik yang berlaku di serata dunia berlaku di negara Islam.

Apa yang terjadi di Iraq, Libya, Afghanistan, Somalia, Yaman, Syria dan Palestin terus menjadi fokus di kaca TV dan malangnya sekali mampu dilakukan OIC. Perpecahan mazhab dan ideologi, selain perancangan pihak-pihak tertentu menjadikan perpaduan antara negara Islam sukar dicapai.

Tahun 2022, umat Islam di seluruh dunia terus menjadi sasaran pelbagai pihak atas berbagai sebab. Malah pada bulan Ramadan yang mulia, insiden pembakaran al-Quran di Sweden, serta pencemaran dan serangan ketika umat Islam sedang menunaikan solat di masjid Al-Aqsa berlaku di negara-negara yang mencanangkan diri sebagai tonggak negara demokrasi dan hak asasi manusia global.

Layanan terhadap umat Islam yang tertindas akibat serangan dan penaklukan Israel umpamanya tidak dianggap kejam atau melampau, berbanding layanan dan bantuan yang diberi kepada penduduk Ukraine dari segi bantuan kemanusiaan dan ketenteraan apabila ia diceroboh oleh Rusia.

DOUBLE STANDARD KUASA BESAR

Realiti dunia hari ini tidak lagi mempunyai sempadan ideologi, malah sifat kemanusiaan dan hak asasi hanyalah retorik politik yang sebenarnya berlandaskan kepada kepentingan penguasaan ekonomi serta sumber tenaga asli oleh negara atau kuasa besar terhadap negara yang sedang membangun.

Untuk kesejahteraan negara kekal terjamin, Palestin dan Ukraine memberi kita pengajaran bagaimana pilih kasih atau double standard yang diamalkan kuasa-kuasa besar yang dengan mudah mampu menukar piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kepada undang-undang rimba.

Antara langkah perlu dilaksana negara bagi mengekalkan keutuhan kedaulatan dan sempadannya dari diceroboh adalah dengan mempersiapkan kelengkapan pertahanan dengan aset dan modal insan yang moden serta berkemampuan.

Rakyat mungkin cuba memahami perkara ini secara mudah, iaitu dengan merujuk kepada peruntukan atau bajet Kementerian Pertahanan yang diberi oleh kerajaan bagi sesuatu tempoh masa.

Kadangkala perkara ini agak mengelirukan kerana jumlah yang diberi mungkin menunjukkan peningkatan dari tahun sebelumnya, tetapi ia sebenarnya perlu diselaraskan dengan nilai Ringgit Malaysia (RM) untuk tempoh tersebut berbanding sebelumnya.

Walaupun nilai RM kerap dikaitkan dengan kestabilan ekonomi dan komoditi global, perkara ini turut mempunyai kaitan dengan persepsi kestabilan politik dan tadbir urus yang baik dalam perkhidmatan awam negara ini.

Rasuah, salah guna kuasa, kronisme, nepotisme, tiada integriti atau akauntabiliti merupakan faktor-faktor yang bakal mempengaruhi apakah pelabur luar menganggap negara ini sebagai sumber pelaburan yang baik.

Dengan kemerosotan nilai RM, hakikatnya kuasa membeli Kementerian Pertahanan bakal merosot.

Umpamanya walaupun negara dilanda konflik dalaman yang dahsyat ketika berlaku rusuhan kaum pada 1969, kesemua faktor-faktor yang disebutkan di atas berada pada tahap yang amat baik. Nilai RM tidak jatuh memandangkan pihak luar melihat keutuhan pasukan keselamatan yang jitu, keadaan parti politik pemerintah yang stabil selain kepimpinan politik yang bertanggungjawab. Malah dari tahun 1969 hingga 1980 nilai RM adalah setaraf dengan nilai Dolar Singapura.

Namun kini menyaksikan nilai RM jatuh pada tahap yang paling rendah, iaitu melebihi RM3.17 bagi setiap satu Dolar Singapura, manakala mencecah RM4.20 bagi setiap satu Dolar Amerika.

Dengan kata lain jika trend ini berterusan, Kementerian Pertahanan bakal menghadapi kemampuan yang amat terhad untuk memperoleh aset baru dan memperoleh alat ganti bagi kelengkapan dimiliki, seterusnya menggugat kemampuan Angkatan Tentera Malaysia untuk mempertahankan negara.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007

Klik di sini untuk terus membaca