KEPIMPINAN Pakatan Harapan (PH) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa tidak mengambil mudah kemungkinan berlakunya fenomena tsunami pengundi Cina yang tidak akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Calon Timbalan Presiden... Klik di sini untuk terus membaca

KEPIMPINAN Pakatan Harapan (PH) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa tidak mengambil mudah kemungkinan berlakunya fenomena tsunami pengundi Cina yang tidak akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, kebimbangan senario itu bakal menjadi realiti adalah rentetan hasil keputusan kaji selidik pihaknya termasuk dua keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, bermula Februari lalu.

Jelas beliau, dalam keadaan pengundi Cina masih setia bersama PH dan PKR, mereka juga sangat tidak gembira dengan hala tuju koalisi itu mendepani PRU15 ketika ini.

Tambah bekas Ahli Parlimen Pandan itu, kelompok pengundi Cina merasakan bahawa mereka tidak boleh menerima keputusan PH berunding dengan parti-parti yang dianggap mereka sebagai 'pengkhianat mandat rakyat' selepas peristiwa Langkah Sheraton dahulu, termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

"Mereka (pengundi Cina) mahu PH mencari solusi lebih baik untuk kembali menang PRU15. Mereka tidak mahu PH dan PKR mengambil remeh terhadap soal kehendak pengundi Cina dengan beranggap kelompok itu akan menyokong kami secara buta-buta.

"Kehendak dan kemahuan mereka yang paling utama adalah usaha parti-parti mencari jalan menyelesaikan isu ekonomi. Walaupun kesetiaan terhadap PH tetap ada, tetapi apabila mereka tidak bersetuju dengan hala tuju PH, berkemungkinan besar wujud senario tsunami kaum Cina enggan keluar mengundi.

"Tahap sokongan pengundi Cina kepada PH dan PKR ketika ini masih dianggap 80 peratus, namun sama ada kelompok itu akan keluar mengundi setelah meneliti hala tuju terkini PH, perkara itu jangan diambil mudah kepimpinan parti-parti dalam PH," dedahnya kepada Sinar Premium.

Pada PRU14, tahap sokongan pengundi Cina kepada koalisi PH yang dianggotai Bersatu ketika itu dianggarkan sekitar 85 hingga 90 peratus serta dianggap sebagai faktor utama penyumbang kejayaan koalisi pembangkang itu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) selain jumlah peralihan signifikan sokongan pengundi Melayu.

Bagaimanapun, kerajaan PH yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh ketika itu hanya mampu bertahan selama 22 bulan setelah tumbang menerusi peristiwa Langkah Sheraton pada Februari tahun 2020.

Susulan keputusan Bersatu keluar PH diikuti isu perpecahan dalaman di antara parti-parti dalam blok pembangkang, PH dan PKR berdepan kekalahan teruk dalam empat siri Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula di Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor.

IKTIBAR PERALIHAN SOKONGAN PENGUNDI INDIA

Mengulas lanjut, Rafizi turut mengajak kepimpinan PH dan PKR mengambil iktibar daripada tsunami peralihan sokongan pengundi India daripada BN sekitar tahun 2007 sehingga dianggap faktor utama koalisi kerajaan itu hilang lima negeri dan beberapa kerusi 'deposit tetap' UMNO pada PRU12.

Jelas beliau, ramai pihak tidak menjangkakan senario peralihan sokongan pengundi India kepada pembangkang itu bakal menjadi realiti susulan sokongan kaum India terhadap BN sebelum itu konsisten dan sangat kukuh sehingga mencecah 90 peratus.

"Namun selepas kehadiran Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) pada tahun 2007, sokongan pengundi India beralih sepenuhnya terhadap PKR dan Pakatan Rakyat (PR) ketika itu dengan trend peralihan itu dianggap 'pukul mati' atau tiada jalan kembali kepada BN.

"Meskipun komposisi pengundi India di Malaysia sekitar lima hingga tujuh peratus, peralihan itu menyebabkan lima negeri dikuasai BN tumbang pada PRU tahun 2008. Sebab itu saya menyeru rakan-rakan PH, jangan ambil mudah walaupun kelihatan pengundi Cina menjadi penyokong kuat PH sejak 15 tahun lalu," ujarnya.

Ujar Rafizi lagi, sejarah kekalahan BN pada PRU12 membuktikan kalau suara sesuatu kumpulan itu diambil mudah, apabila rasa tidak berpuas hati kelompok itu memuncak maka sesebuah parti itu tidak mampu membendung peralihan sokongan pengundi.

"Saya tidak rasa tsunami pengundi Cina akan kembali kepada BN.

"Tetapi terdapat kebimbangan tsunami bakal berlaku adalah tsunami tidak keluar mengundi, Perkara ini tidak sewajarnya diambil mudah, PH hanya boleh menang sekiranya mendapat maksimum sokongan penyokong tegar termasuk kelompok pengundi Cina dan bukan Melayu," tegasnya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca