ANAK bulan terbit, tibalah masanya umat Islam menyambut Aidilfitri. Bulan Ramadan yang baru berakhir merupakan bulan yang paling suci dan berkat dalam Islam, di mana para Muslimin dan Muslimat menyucikan diri dengan berpuasa, bersembahyang... Klik di sini untuk terus membaca

ANAK bulan terbit, tibalah masanya umat Islam menyambut Aidilfitri.

Bulan Ramadan yang baru berakhir merupakan bulan yang paling suci dan berkat dalam Islam, di mana para Muslimin dan Muslimat menyucikan diri dengan berpuasa, bersembahyang serta bersedekah dalam suasana tenteram dan harmoni. Dalam pada ini, tradisi bersatu padu, bergotong-royong, tolong menolong dan sayang menyayangi diamalkan.

Hari Raya Aidilfitri dianggap sebagai perayaan terpenting bagi umat Islam, dan juga waktu untuk berkumpul dan berkongsi kebahagiaan. Jadi bagi pihak Kedutaan China di Malaysia dan atas nama saya sendiri, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada kawan-kawan beragama Islam di Malaysia! Mungkin ada sesetengah kawan Malaysia yang tidak tahu bahawa China, sebagai sebuah negara dengan pelbagai etnik dan pelbagai budaya, juga mempunyai budaya Islam yang indah lagi makmur.

Sepanjang lebih 1,300 tahun sejak penyebarannya ke China, kebudayaan Islam telah berintegrasi dan berkembang bersama kebudayaan China. Kini, terdapat lebih 20 juta umat Islam yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik di seluruh China.

Kebanyakan mereka mendiami Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang serta wilayah-wilayah lain. Sama seperti saudara saudari beragama Islam di seluruh dunia, mereka kini sedang meraikan musim perayaan bersama keluarga dan rakan-rakan setelah sebulan menunaikan ibadah puasa.

Apabila kawan-kawan Malaysia sedang menikmati lemang, ketupat dan rendang ayam, umat Islam di Xinjiang turut menjamu selera dengan makanan seperti sanzi (mi gulung yang digoreng), pau bakar dan kambing gril. Apabila lagu Balik Kampung menghidupkan suasana hari raya di bandar dan desa Malaysia, dataran di Bazar Besar Urumqi, Masjid Id Kah dan tempat lain dipenuhi rakyat pelbagai etnik yang beragama Islam contohnya Uighur, Hui dan Kyrgyz yang menyanyi dan menari dengan penuh kegirangan.

Terletak di tengah-tengah Laluan Sutera kuno, Xinjiang merupakan tempat pertembungan tamadun Timur dan tamadun Barat yang memberi laluan kepada kedatangan budaya Islam, Buddha dan Kristian ke China.

Sejak zaman purba, Xinjiang sudah muncul sebagai tempat untuk pelbagai kumpulan etnik hidup bersama, tempat untuk budaya berbeza berinteraksi, tempat untuk pelbagai agama wujud dengan aman damai.

Kini, kesemua 56 kumpulan etnik China boleh ditemui menjalani kehidupan di Xinjiang, sekali gus membentuk satu keluarga besar yang hidup dalam harmoni.

KEMAKMURAN

Pendidikan rendah dan pendidikan menengah di Xinjiang dikendalikan dalam tujuh jenis bahasa termasuk bahasa etnik minoriti; Stesen Radio Rakyat Xinjiang menyiarkan program dalam lima jenis bahasa etnik minoriti yang berbeza; manakala al-Quran diterjemahkan dan diterbitkan dalam pelbagai bahasa etnik minoriti juga.

Terdapat 24,400 buah masjid di Xinjiang, secara puratanya terdapat satu masjid untuk setiap 530 orang Muslim. Rakyat berbilang etnik menyanyi dan menari di dataran Masjid Id Kah jelas menggambarkan keharmonian Xinjiang.

Xinjiang telah menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang kukuh buat bertahun-tahun.

Dari tahun 1978 ke 2021, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) wilayah Xinjiang meningkat sebanyak 409 kali ganda kepada 1.6 trilion Yuan (kira-kira AS$250 bilion), manakala KDNK per kapita meningkat sebanyak 197 kali ganda kepada 62,000 Yuan (kira-kira AS$9,600), sekali gus mencapai perkembangan yang cemerlang.

Xinjiang turut aktif memajukan sains dan teknologi bagi meningkatkan tahap modenisasi dan kecerdasan dalam pelbagai industri termasuk pertanian, penternakan, petrokimia dan lain-lain. Misalnya, kadar mekanisasi dalam industri penanaman kapas melebihi 80 peratus, malah 95 peratus kapas di utara Xinjiang adalah dipetik dengan mesin.

Penambahbaikan taraf hidup rakyat turut mengakibatkan purata jangka hayat di Xinjiang meningkat daripada bawah 30 tahun pada 1953 kepada 74 tahun pada 2020.

Dalam pada itu, jumlah penduduk Xinjiang mencatat peningkatan berterusan, antaranya penduduk etnik Uighur meningkat hampir empat kali ganda daripada 3.6 juta kepada 11.62 juta dalam tempoh yang sama, malah lebih tinggi berbanding purata nasional dan purata wilayah itu.

Sungguhpun Xinjiang penuh kebahagiaan, negara tertentu sentiasa memberikan gambaran yang membimbangkan dan menakutkan mengenai wilayah itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Bak kata peribahasa Uighur: "Walaupun anjing menyalak, kumpulan unta terus mara ke hadapan”. Baik pembohongan dan fitnah yang berniat jahat, mahupun sandiwara yang tidak munasabah, semuanya tidak akan menafikan fakta bahawa Xinjiang berada dalam kemakmuran dan kestabilan, tidak akan menghalang langkah China ke arah pembangunan dan kemajuan, serta tidak akan menjejaskan hubungan akrab China dengan negara Islam termasuk Malaysia.

Kedua-dua tamadun China dan tamadun Islam mendukung nilai kesederhanaan, keamanan dan kesayangan. Sebagai tempat percantuman kedua-kedua tamadun ini, Xinjiang mempunyai sejarah, budaya dan adat resam yang wajar diterokai dan dikenali.

Saya menantikan lebih ramai kawan Malaysia berkunjung ke Xinjiang selepas epidemik Covid-19 untuk mengalami keindahan pemandangan dari gunung salji ke padang pasir, menikmati keunikan makanan, serta merasai keramahan rakyatnya yang harmoni.

Sekali lagi, saya menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada kawan-kawan Malaysia yang beragama Islam. Semoga rakyat Malaysia sejahtera dan bahagia!

* Ouyang Yujing ialah Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca