SHAH ALAM - Malaysia menggunakan kaedah rukyah yakni melihat hilal atau anak bulan dan juga menggunakan kiraan falak dalam menentukan tarikh Hari Raya Aidilfitri. Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, melalui... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Malaysia menggunakan kaedah rukyah yakni melihat hilal atau anak bulan dan juga menggunakan kiraan falak dalam menentukan tarikh Hari Raya Aidilfitri.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, melalui kaedah rukyah, apabila anak bulan kelihatan ia menandakan kedatangan bulan Syawal.

Bagaimanapun, katanya, pengumuman tarikh perayaan itu juga bergantung kepada keputusan cerapan anak bulan yang dimaklumkan oleh semua negeri di Malaysia kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

"Bergantung pada pertimbangan beliau untuk mengisytiharkan. Jadi, tahun ini, mereka ada ubah sedikit kaedah di mana jarak lengkung dari pusat matahari ke bulan telah dikurangkan sedikit.

"Ini yang menyebabkan tahun ini (tarikh hari raya) jadi bercelaru sedikit. Sebab dalam kiraan falak dijangkakan anak bulan sukar kelihatan, namun yang berlaku adalah sebaliknya.

"Berlaku penampakan anak bulan di balai cerap di Labuan dan Langkawi. Jadi, kita dah sepakat mana-mana balai cerap di Malaysia yang nampak anak bulan, kita kena patuh dan seluruh Malaysia akan sambut 1 Syawal pada keesokan harinya.

"Keadaan ini agak luar biasa dan tidak pernah berlaku lagi seperti ini kerana lazimnya apabila kiraan falak maklumkan tidak nampak (anak bulan), maknanya tidak nampaklah, tetapi ketentuan ALLAH SWT mengatasi segala-galanya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Ditanya mengenai kejadian negeri Perak dan Johor yang pernah menyambut Hari Raya Aidilfitri awal sehari berbanding negeri lain pada 12 Jun 1982, Wan Salim berkata, ketika itu Malaysia masih belum ada kesepakatan untuk menetapkan tarikh 1 Syawal yang sama untuk seluruh Malaysia.

"Ini kerana apabila tidak selaras, berlaku kecelaruan. Jadi eloklah ada keselarasan,” ujarnya.

UMAT ISLAM PERLU BERSEDIA

Dalam pada itu, umat Islam di negara ini seharusnya melatih diri dan bersedia dengan apa sahaja kemungkinan yang berlaku seperti melibatkan pengumuman bagi menyambut Ramadan atau hari raya awal.

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, ini kerana umat Islam disuruh untuk menunggu tentang bilakah akan berpuasa atau berhari raya dan perkara itu juga merupakan kemanisan syiar Islam.

"Sebagaimana Rasulullah SAW kata-kan hendaklah kamu berpuasa atau raya apabila kamu melihat anak bulan. Maknanya, setiap orang memang tidak tahu dan dengan itu kita sepatutnya bersedia daripada awal.

"Kalau esok raya, kita sudah ada bahan-bahan dimasak untuk raya. Tetapi oleh kerana kita sudah biasa melihat kepada kalendar, akhirnya kita yakin raya itu akan berlaku sebagaimana yang ada di dalam kalendar itu,” katanya.

Ujarnya, mereka yang pernah merasai hari raya yang disambut awal sebelum ini tidak mempunyai masalah untuk menyambutnya seperti tahun ini.

Klik di sini untuk terus membaca