[WAWANCARA] Sebut sahaja nama AMIRA AISYA ABD AZIZ, pasti ramai yang sudah mengenali gadis berusia 27 tahun itu yang baru sahaja memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa biarpun pertama kali bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu.
Setiausaha Agung parti Muda yang baru menjinakkan diri dalam dunia politik itu menunjukkan prestasi yang memberangsangkan apabila berjaya menjadi satu-satunya calon yang menang serta meraih undian tertinggi dalam parti itu.
Di sebalik kejayaannya sebagai wanita yang mula menempah nama dalam dunia politik, Amira Aisya dibesarkan oleh ibu tunggal bersama empat orang adik-beradik yang lain selepas kematian ayah pada tahun 2007.
Semestinya Syawal kali ini agak berbeza selepas status beliau bertukar daripada anak kelahiran Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru menjadi wakil rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa.
Ikuti temu bual wartawan Sinar Premium, NURUL NABILA AHMAD HALIMY bersama Amira Aisya dalam berkongsi perasaan dan pengalaman beliau menyambut Aidilfitri pertama sebagai wakil rakyat.
SINAR PREMIUM: Apa perasaan Amira Aisya pertama kali beraya sebagai wakil rakyat di DUN Puteri Wangsa?
AMIRA AISYA: Saya berasa sangat seronok kerana sekarang keluarga saya semakin besar. Saya anggap seluruh DUN Puteri Wangsa sebagai keluarga saya dan semestinya apabila kita mempunyai keluarga yang besar, suasana raya itu akan lebih bermakna dan riuh.
Apa perbezaan beraya sebagai wakil rakyat berbanding rakyat biasa pada tahun-tahun sebelumnya? Adakah tanggungjawab Amira Aisya semakin besar dan bertambah?
Selama ini kalau beraya, saya fikir hendak balik ke kampung dan beraya bersama mak, adik-beradik dan keluarga sahaja. Sekarang ini, saya juga perlu pastikan raya kali ini bermakna untuk seluruh penduduk DUN Puteri Wangsa.
Saya juga seronok dapat membantu orang ramai menyumbang baju raya untuk anak-anak yang kurang berkemampuan di kawasan DUN Puteri Wangsa baru-baru ini.
Saya berharap dengan kelonggaran prosedur standard operasi (SOP) untuk raya kali ini lebih bermakna untuk semua kerana boleh balik ke kampung halaman selepas dua tahun.
Selepas menjadi wakil rakyat, adakah penduduk di sana meminta bantuan raya serba sedikit daripada Amira Aisya?
Adakah Amira Aisya sering turun padang dan membantu mereka yang memerlukan? Ya, memang ada penduduk yang memerlukan dan memohon bantuan daripada saya. Sebagai wakil rakyat, saya bantu sebaik mungkin selagi mampu dalam kapasiti saya.
Semenjak PRN Johor tempoh hari, saya dan rakan seperjuangan belum berhenti turun padang untuk berjumpa dengan rakyat dan membantu menyelesaikan masalah mereka. Insya-ALLAH, kami akan buat yang terbaik dengan mandat yang telah diberikan.
Bagaimana keadaan situasi beraya di sana? Adakah sebelum raya, masyarakat di sana atau Amira Aisya sendiri mengadakan aktiviti seperti mantai, gotong-royong dan sebagainya?
Setakat ini, aktiviti gotong-royong memang ada dalam perancangan namun saya belum sempat lagi menghadiri mana-mana aktiviti tersebut.
Bagaimana persediaan raya kali ini? Amira Aisya akan beraya di mana dan bersama siapa?
Sebenarnya raya kali ini saya lebih banyak membuat persediaan untuk kawasan daripada diri sendiri. Saya juga tidak berkesempatan untuk membeli baju raya sehinggalah saat-saat akhir kerana agak sibuk dengan pelbagai aktiviti.
Namun, saya tetap berasa seronok kerana tahun ini saya dapat beraya bersama keluarga di Johor. Tahun lepas, saya tidak dapat beraya bersama keluarga dan berada di Kuala Lumpur kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Hidangan raya kegemaran Amira Aisya yang mesti ada pada pagi raya?
Hidangan raya yang wajib ada semestinya ketupat, rendang dan lodeh. Nenek saya sebelah mak ialah orang Jawa jadi setiap kali raya, kami juga akan makan sate Padang yang mana merupakan makanan kegemaran saya.
Tidak ketinggalan juga hidangan raya seperti burasak dengan asam pedas kerana saya berketurunan Bugis. Itu juga adalah salah satu hidangan yang paling dinanti-nantikan.
Apa aktiviti raya Amira Aisya tahun ini? Adakah anda akan berkunjung rumah ke rumah penduduk Puteri Wangsa?
Tahun ini, saya hendak pastikan saya dapat memenuhi jemputan raya sebanyak yang mungkin. Saya ingin mengambil peluang ini untuk lebih rapat dan dekat dengan penduduk di DUN Puteri Wangsa.
Harapan selepas menjadi wakil rakyat?
Harapan saya adalah saya dapat menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Saya mahu pastikan pengundi tidak menyesal memilih saya sewaktu pilihan raya tempoh hari.
Saya akan menggalas mandat ini dengan sebaiknya. Sudah tentu saya juga tidak lepas dari membuat kesilapan. Namun, saya berharap segala silap dapat dimaafkan dan ditegur dengan cara yang baik. Insya-ALLAH, semoga kita semua dapat membina negara ini bersama.
Klik di sini untuk terus membaca