SEREMBAN - Gara-gara ‘raya terkejut’, seorang pesara terpaksa ‘mengorbankan’ lapan ekor ayam dalam reban ibu mentuanya di Temerloh, Pahang.
Berkongsi cerita lucu itu Rosle Darham, 61, berkata, sekeluarga telah pulang ke kampung pada Ahad kerana menjangkakan Hari Raya pada hari Selasa.
"Kami memang tak buat apa-apa persiapan kerana mahu pergi membeli segala keperluan di pasar pada hari Isnin.
"Lagipun saya dah keluarga baru sampai ke kampung waktu petang. Tapi baru saja selesai solat Maghrib, saya dengar adik ipar menjerit kata esok raya,” katanya.
Disebabkan itu katanya, masing-masing mula kelam kabut dan melihat apa yang ada di dalam peti ais untuk dimasak.
Menurutnya, buntu memikirkan tidak sempat mahu membeli barang keperluan di kedai, ibu mentua mencadangkan untuk sembelih ayam di dalam reban belakang rumah.
"Seingat saya kali terakhir saya sembelih ayam ketika berusia 20 tahun dan itu pun disebabkan membantu arwah ayah.
"Tapi kali ini saya kena beranikan diri sembelih lapan ekor ayam di dalam reban ibu mentua kerana kami memang tak beli apa-apa lagi bahan untuk memasak juadah raya,” katanya.
Sementara itu isterinya, Anisah Zulkifli, 52, berkata, jika bukan kerana hari raya, emak sememangnya berhasrat untuk sembelih beberapa ekor ayam di dalam reban untuk diberi makan cucu-cucu.
"Kalau ikut perancangan awal, kami nak hantar ayam ini proses di pasar, tapi tak sempatlah.
"Saya pun masak rendang ayam tanpa cukup rempah ratusnya dan seingat saya ‘raya terkejut’ begini pernah berlaku ketika saya masih kecil,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca