SHAH ALAM - Perlaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada bila-bila masa dari sekarang disifatkan bukan lagi satu kejutan kerana rakyat dijangka sudah bersedia.
Pensyarah Undang-Undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, soal mahu melaksanakan PRU15 sudah dibahaskan sejak berlakunya pergolakan politik ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah lagi.
Menurutnya, apatah lagi apabila kemungkinan berlakunya PRU15 ketika Pandemik Covid-19 juga pernah diperkatakan.
"Suasana politik negara kita memang sangat menarik, PRU akan berlaku pada bila-bila masa. Kalau berlaku sekalipun, tak dianggap mengejut sebab rakyat mungkin dah jangka.
"Hari ini, dah tahun 2022 perbualan itu sudah begitu panjang dan saya percaya rakyat bersedia pada bila-bila masa saja untuk diadakan PRU15," katanya ketika Program Sinar Live disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.
Program dikendalikan oleh Hazwan Mokhtar itu membincangkan tajuk 'PRU15: Jangan Terburu-buru, Raya Dulu'.
Sebelum itu, Muhammad Fathi menjelaskan, selepas BN kecundang pada PRU 2014, PH mengambil alih namun sebagai mana yang berlaku di negara-negara lain, parti baharu yang tidak mempunyai pengalaman mentadbir negara akan berdepan dengan kesukaran dan juga cabaran dalaman dan luaran.
"Isu-isu dalaman dan luaran mencengkam pemerintahan PH yang membawa kepada situasi teka teki PRU akan berlaku sejak awal lagi terutamanya apabila Tun Dr Mahathir Mohamad letak jawatan (sebagai Perdana Menteri).
"Kemudiannya berlaku bergolakan ketika kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Begitu juga situasi kemungkinan pembubaran Parlimen dalam situasi pandemik," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca