SHAH ALAM - Setelah dua tahun negara dilanda pandemik Covid-19, akhirnya industri penerbangan kembali pulih apabila sejumlah 75 pesawat kumpulan AirAsia sudah beroperasi secara keseluruhan semasa pembukaan semula sempadan negara pada April... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Setelah dua tahun negara dilanda pandemik Covid-19, akhirnya industri penerbangan kembali pulih apabila sejumlah 75 pesawat kumpulan AirAsia sudah beroperasi secara keseluruhan semasa pembukaan semula sempadan negara pada April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, untuk AirAsia Malaysia sahaja sudah 36 buah pesawat membelah langit biru pada suku pertama tahun 2022 ke 44 destinasi domestik.

Jumlah pesawat itu dijangka terus meningkat dalam bulan Mei dan suku kedua tahun ini.

"Pada suku pertama tahun ini, AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) mengendalikan 36 pesawat berbanding hanya 14 pesawat pada suku yang sama tahun lepas.

"Selebihnya, pesawat kami berada dalam barisan penyelenggaraan dan menjangkakan untuk kembali kepada tahap pra-Covid sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini.

"AirAsia akan mengendalikan sebanyak 909 penerbangan mingguan ke 44 destinasi domestik dalam bulan Mei. Ini merupakan 78 peratus daripada kekerapan penerbangan mingguan pra-pandemik dalam tempoh yang sama. "Untuk penerbangan antarabangsa pula, kami akan beroperasi ke 32 laluan dalam 12 buah negara.

"Lebih banyak laluan dan kekerapan akan ditambah apabila permintaan perjalanan meningkat seiring dengan pembukaan semula destinasi percutian dalam masa terdekat,” katanya kepada Sinar Premium.

TERBANGKAN TIGA JUTA PENUMPANG

Tambahnya, dengan sekatan perjalanan yang semakin longgar, AirAsia telah meningkatkan kapasiti penerbangan domestiknya sebanyak 156 peratus sejak Oktober 2021 yang bermula dengan gelembung perjalanan Langkawi, manakala kapasiti untuk penerbangan antarabangsa meningkat sebanyak 50 peratus sejak pembukaan semula sempadan pada April ini.

"Bagi AirAsia Malaysia, bilangan penumpang yang dibawa dan peningkatan kapasiti masing-masing melonjak 464 peratus dan 455 peratus berbanding suku yang sama pada tahun sebelumnya berikutan penyambungan semula sejumlah besar penerbangan domestik.

"Ini termasuk pelancaran beberapa laluan domestik untuk menghubungkan orang ramai antara bandar utama terutamanya semasa musim perayaan,” katanya.

Selain itu, tempahan penerbangan turut meningkat sebanyak 20 peratus pada suku pertama tahun ini berikutan pemulihan perjalanan udara terutamanya untuk perjalanan domestik.

Enjin pesawat yang tidak terbang ditutup sementara menanti waktu yang sesuai untuk terbang semula. Gambar dirakam di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada Mac 2021.

"Antara destinasi popular ialah dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuching, Langkawi dan Kota Kinabalu. Ini adalah selaras dengan permintaan pra-Covid pada tempoh yang sama.

"Jumlah penumpang turut meningkat sebanyak 464 peratus yang mana seramai 2,807,892 penumpang direkodkan pada bulan Januari hingga Mac tahun ini berbanding 497,742 penumpang pada bulan yang sama tahun lalu,” katanya.

Riad Asmat berkata, walaupun fasa pandemik pada dua tahun lalu menjejaskan sektor penerbangan di seluruh dunia, AirAsia telah memanfaatkan tempoh sekatan perjalanan dalam tempoh tersebut untuk menaik taraf dan memperbaharui prosedur penerbangan demi keselamatan dan kesejahteraan para tetamu dan kakitangan.

"Kami menggalakkan semua penumpang untuk mendaftar masuk secara kendiri semasa kemuncak pandemik Covid-19 pada tahun lalu dan sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk mengukuhkan lagi pelan mitigasi Covid-19 melalui operasi tanpa sentuhan.

"Sebagai persediaan pembukaan semula sempadan dan penyambungan semula perjalanan antarabangsa, AirAsia Malaysia telah mengaktifkan semula 45 peratus juruterbang dan 11 peratus kru kabin yang terjejas akibat pandemik. Kami akan terus mengaktifkan semula lebih ramai kru penerbangan dalam beberapa bulan akan datang sambil kami meningkatkan kapasiti penerbangan,” katanya.

ISU HARGA TIKET MAHAL

Riad Asmat turut menjawab dakwaan syarikat penerbangan mengambil kesempatan dengan menaikkan harga tiket semasa musim perayaan sehingga 10 ke 20 peratus dengan menyatakan tambang AirAsia secara amnya adalah berdasarkan model harga dinamik berdasarkan penawaran dan permintaan.

"Secara umumnya, harga tambang akan meningkat apabila ia semakin hampir dengan tarikh perjalanan dan pada waktu puncak seperti musim perayaan yang mana kebanyakan penerbangan kami sudah hampir penuh. Trend ini juga dapat dilihat pada syarikat penerbangan lain pada masa yang sama,” katanya.

"AirAsia masih mengekalkan tambang terendah dalam pasaran walaupun menghadapi pelbagai cabaran semasa seperti kekangan kapasiti, peningkatan kos penyelenggaraan pesawat akibat gangguan rantaian bekalan dan kenaikan harga bahan api pesawat, yang telah melebihi AS$120 setong atau lebih 160 peratus berbanding tahun 2015.

Selain itu, AirAsia menjangkakan pendapatan daripada syarikat digital transformasi yang dilakukan bakal menyumbang 50 peratus kepada pendapatan kumpulan itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Sepanjang tempoh pandemik yang bermula sejak awal tahun 2020, AirAsia telah berjaya menyempurnakan transformasi digital dengan penstrukturan semula daripada hanya sebuah syarikat penerbangan tambang rendah menjadi sebuah perniagaan digital yang menyeluruh, merangkumi pelbagai perkhidmatan digital lain termasuklah e-hailing, penghantaran makanan, e-dagang, teknologi kewangan, kargo dan logistik serta lain-lain.

"Harapan terbesar kami adalah untuk sektor penerbangan negara kembali pulih secepat mungkin dan mengembalikan prospek positif ke atas industri yang begitu terjejas oleh Covid-19,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca