SHAH ALAM - Kelonggaran pembukaan sempadan negeri dan negara membolehkan industri penerbangan beroperasi hampir sepenuhnya dengan syarikat Malaysia Airlines mencatatkan peningkatan jualan tiket 100 peratus berbanding sebelum ini. Ketua... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kelonggaran pembukaan sempadan negeri dan negara membolehkan industri penerbangan beroperasi hampir sepenuhnya dengan syarikat Malaysia Airlines mencatatkan peningkatan jualan tiket 100 peratus berbanding sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Izham Ismail berkata, sejak pembukaan semula sempadan Malaysia pada 1 April lalu dan bersempena dengan musim perayaan, MAG melihat peningkatan ketara dalam penjualan tiket.

"Kami telah melihat respon positif daripada pelancong yang tidak sabar-sabar untuk meneruskan perjalanan mereka.

"Penjualan tiket kini melebihi 100 peratus jika dibandingkan dengan penjualan tiket sebelum ini.

"Antara destinasi yang merekodkan faktor muatan lebih 90 peratus ialah Kuching, Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Kota Bharu,” katanya kepada Sinar Premium.

Tambahnya, Malaysia Airlines meningkatkan kekerapan dan rangkaian secara beransur-ansur untuk mencapai lebih dari 70 peratus daripada kapasiti pra Covid-19 bagi perjalanan domestik dan antarabangsa menjelang akhir tahun 2022.

"Pada masa ini, kapasiti kami adalah 45 peratus daripada tahap pra-Covid-19 pada bulan April dengan peningkatan ketara dalam penjualan tiket berikutan pembukaan semula sempadan Malaysia.

MAS mengakui terdapat permintaan tinggi tiket penerbangan tahun ini.

"Malah, hasil penumpang MAB turut meningkat sebanyak 57 peratus serta merekodkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang positif iaitu RM433 juta pada tahun lepas,” katanya.

CABARAN HARGA BAHAN API

Izham berpandangan biarpun industri penerbangan kini semakin pulih dengan peralihan ke fasa endemik berbanding dahulu, kelangsungan perniagaan bagi kebanyakan syarikat penerbangan bergantung kepada keadaan pasaran semasa dan kadar permintaan para penumpang.

"Syarikat penerbangan yang ada bukan sahaja perlu bersaing dengan lambakan kapasiti dan saingan sesama syarikat penerbangan tetapi juga terpaksa mengharungi cabaran harga bahan api yang tinggi berikutan konflik Rusia-Ukraine.

"Malaysia Airlines tidak terkecuali daripada menerima impak akibat Covid-19 sehingga terpaksa mengurangkan kapasiti sehingga 96 peratus di kemuncak musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara Mac hingga Mei 2020 dengan kadar pembakaran tunai (cash burn) yang amat tinggi setiap bulan ekoran tiada aliran pendapatan yang positif,” katanya.

HAPUS HUTANG RM10 BILIION

Sementara itu Izham berkata, hasil kejayaan penstrukturan semula, MAG telah dapat mengurangkan liabiliti melebihi RM15 bilion dan menghapuskan hutang sebanyak RM10 bilion."Penstrukturan semula kumpulan yang dilaksanakan pada 2021 telah mengubah landskap dan memberi peluang kepada MAG untuk membaiki kunci kira-kira secara holistik dan menangani isu-isu warisan selama berdekad-dekad.

"Kos operasi serta pajakan yang lebih rendah hasil daripada inisiatif penjimatan di seluruh kumpulan selepas penstrukturan semula juga telah menyumbang kepada peningkatan prestasi pada 2021,” katanya. Biarpun terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda industri penerbangan, MAG tidak pernah memberhentikan kakitangan sepanjang krisis pandemik itu dan hanya melaksanakan inisiatif pemotongan gaji dalam usaha mengekalkan kelangsungan perniagaan dan melindungi kebajikan kakitangannya yang berpendapatan rendah.

"Pihak syarikat telah mengambil langkah alternatif yang melibatkan pemotongan gaji sebanyak 10 hingga 60 peratus bagi kakitangan dari pihak pengurusan termasuk juruterbang dan memperkenalkan program cuti tanpa gaji serta rundingan semula tempoh kontrak bagi kakitangan berumur 60 tahun ke atas.

"Malaysia Airlines juga akan mengaktifkan semula pengambilan juruterbang dan kru kapal secara progresif bagi memenuhi keperluan operasi,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca